KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Isnin, 19 Julai 2010

Ferguson takut 'badi'

ALEX Ferguson percaya tugas sebagai pengurus England ‘berhantu’ dan itulah sebabnya beliau menolak menerima jawatan itu dua kali.

ROONEY...pamer aksi longlai di Afrika Selatan
ROONEY...pamer aksi longlai di Afrika Selatan
Fabio Capello menjadi pengurus terbaru Three Lions yang menerima kritikan hebat selepas satu lagi persembahan buruk kejohanan utama.


Pengurus Manchester United itu berkata: “Saya pernah diminta menguruskan England beberapa kali, tapi sudah tentu, ia tidak pernah saya pertimbangkan.


“Ia satu jawatan berhantu - ia tugas yang memeritkan.

“Lagipun saya memiliki kekurangan kerana saya berbangsa Scottish. Bagaimana caranya anda lihat sekalipun, ia tetap penting.”

Pengurus Old Trafford itu juga menyelar harapan menggunung yang diletakkan di bahu bintang serangan, Wayne Rooney yang gagal beraksi cemerlang untuk England di Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.


Ditanya jika tekanan terlalu tinggi buat pemain berusia 24 tahun itu, Fergie berkata: “Saya fikirkan itulah sebabnya. Harapan yang diletakkan di bahu Rooney adalah kejohanan itu bakal menjadi miliknya.


“Tapi Wayne tidak pernah mengalami pengalaman hebat di Piala Dunia.


“Bola sepak Piala Dunia hadir setiap empat tahun sekali dan bagi kebanyakan pemain ia adalah pengalaman sekali seumur hidup.

“Wayne akan berdepan peluang lagi selepas ini dan dia akan menjadi lebih baik kerana pengalaman.”

Ferguson turut mengakui pertahanan United, Patrice Evra membuat tindakan silap kerana menjadi sebahagian daripada pasukan Perancis yang mogok.


Les Bleus enggan untuk berlatih berikutan tidak puas hati dengan tindakan menghantar pulang penyerang Chelsea, Nicolas Anelka dari Afrika Selatan kerana memaki hamun jurulatih, Raymond Domenech.

“Saya sudah bercakap dengannya. Mereka membuat keputusan yang saya fikir mungkin mereka kesali sekarang, kerana tidak berlatih.


“Ia keputusan yang teruk sekali. Ia bukannya keputusan seorang individu, ia adalah keputusan secara beramai-ramai dan sebagai ketua pasukan, dia mencabar jurulatihnya. Kerana itu, kesannya dirasai Patrice sendiri.”

Kelmarin, Trevor Brooking mendedahkan Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) berharap pengurus Three Lions selepas ini berbangsa Inggeris.


Pengarah Pembangunan FA itu berkata: “Saya fikir dalam jangka masa panjang, selepas Fabio, kami mahu memilih jurulatih berbangsa Inggeris.


“Kami mahu melantik jurulatih Inggeris dan Fabio boleh membantu kami dengan merapatkan jurang itu dan membantu ketika tempoh transisi.”

Brooking adalah anggota kumpulan FA yang memilih untuk mengekalkan Capello ketika masa depan jurulatih berbangsa Itali itu kelihatan kabur selepas kegagalan Piala Dunia.


Legenda West Ham itu berkata: “Kami terkejut bagaimana teruknya persembahan kami. Fabio juga amat kecewa tapi mahu melakukan yang lebih baik dan membantu pembentukan semula pasukan.”

Tiada ulasan: