KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 8 Julai 2010

Mancini berdepan tekanan



SILVA antara pemain yang dibeli Mancini dalam usaha mempertajamkan jentera serangan City musim depan.


LONDON - Roberto Mancini mungkin akan dipecat sekiranya gagal menghadiahkan gelaran Liga Juara-Juara kepada Manchester City musim depan.

Ini kerana, City telah berbelanja besar apabila membawa masuk David Silva, Yaya Toure dan Jerome Boateng ke Eastlands dengan bayaran 60 juta pound (RM292 juta) pada musim panas ini .

Malah pemain tengah England, James Milner dan penyerang Sepanyol, Fernando Torres turut menjadi buruan Mancini.

Penjaga gol City dan Republik Ireland, Shay Given yakin sekiranya semua pemain yang baru dibeli itu gagal membantu mereka memenangi gelaran, sekurang-kurangnya trofi Liga Juara-Juara, Mancini mungkin menerima akibatnya.

"Kami berada di situasi di mana kelab telah berbelanja besar dan pengurus mengetahui serta menyedari tekanan untuk memperoleh keputusan yang baik dan memenangi trofi," kata Given.

"Saya tidak mahu berkata, kami akan menyertai Liga Perdana England untuk menamatkan saingan di tempat keempat. Kami mahu menang dan jika kami tidak dapat memenanginya, kami akan berpuas hati berada dalam kelompok empat terbaik.

"Tetapi dengan barisan pemain yang ada dan pemain tambahan, kami bersedia untuk memberi cabaran kepada Chelsea, Manchester United dan Arsenal untuk memenangi gelaran liga.

"Itu adalah sasaran yang perlu kami tetapkan. (David ) Silva adalah seorang pemain terbaik. Saya tahu, dia telah beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara di Valencia sejak beberapa tahun lalu.

"Saya tahu Silva dan David Villa menjadi tulang belakang kejayaan pasukan itu (Valencia) dan kini, dia akan melakukannya bersama kami."

Ketika ditanya mengenai sasaran yang ditetapkan kepada Mancini, Given berkata: "Terdapat tekanan sepanjang masa buat pengurus dan pemain. Ini kerana, kelab telah berbelanja besar dan mereka mahukan satu keputusan yang baik.

Tiada ulasan: