KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Ahad, 29 Ogos 2010

Malaysia kehilangan legenda bola sepak


SUASANA di hadapan rumah Allahyarham Isa di Sungai Ara, Pulau Pinang semalam.


LEGENDA bola sepak negara, Isa Bakar meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang pagi semalam setelah mengalami batuk berdarah yang teruk.

Beliau atau nama sebenarnya Isa Abu Bakar, 58, meninggal kira-kira pukul 9.40 pagi.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Jalan Perak, George Town petang semalam.

Turut menziarahi jenazah beliau di rumahnya di Sungai Ara ialah bekas rakan-rakan sepasukannya seperti Datuk Soh Chin Aun, Shukor Salleh, Santokh Singh dan Abdah Alif.

Allahyarham meninggalkan isteri, Mazlina Md. Ismail, tiga anak perempuan, Nur Kamalia, 19, Nur Liyana 21, Nur Aishah dan seorang anak lelaki, Muhd. Firdhaus, 16.

Menurut Mazlina, Isa dimasukkan ke sebuah hospital swasta sejak Khamis lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang.

"Kami tidak menyangka dia akan meninggalkan kami kerana kami berbual-bual elok malam tadi dan dia masih sihat, tetapi dia tiba-tiba meninggal pagi ini," katanya.

Semasa zaman kegemilangannya, Isa pernah membantu skuad negara memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia 1974 di Tehran.

Beliau juga membantu skuad negara memenangi pingat emas pada Sukan SEA 1977 di Kuala Lumpur setelah membelasah Burma (kini Myanmar) 8-1.

Allahyarham merupakan penyerang berkaliber bersama gandingan seorang lagi legenda iaitu Allahyarham Mokhtar Dahari sekitar tahun 1970-an.

Dalam persada bola sepak tempatan, beliau sentiasa menjulang nama Pulau Pinang bersama abangnya, Ali Bakar dan pernah membantu pasukan negeri itu menjulang Piala Malaysia pada 1974.

Isa mula menggilap bakatnya pada peringkat kelab dengan mewakili Malayawata, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan seterusnya, Telekom Utara.

Pemergian Allahyarham disifatkan sebagai satu kehilangan besar bagi dunia bola sepak negara.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa menyifatkan Allahyarham sebagai seorang bintang yang pernah menyinari persada sukan bola sepak negara pada era 70-an.

"Jasanya tetap akan kita kenang dan semoga rohnya ditempatkan bersama orang yang beriman oleh Allah S.W.T," kata Annuar yang turut merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Ketua jurulatih skuad bola sepak negara, K. Rajagobal berkata, pemergian Isa merupakan peristiwa sedih kepada negara di mana kehadirannya sautu masa dahulu telah memberi impak besar kepada arena bola sepak tanah air.

"Kita kehilangan salah seorang personaliti bola sepak veteran tempatan kerana dahulunya cara mereka (pemain veteran negara) bermain mempunyai perbezaan (dengan pemain sekarang) serta karektor permainan yang tersendiri dalam mencorakkan sesebuah perlawanan," katanya.

Bekas pemain bola sepak negara, Dollah Salleh berkata, satu ciri perwatakan yang tidak dapat dilupakan tentang Isa ialah sikapnya yang suka berjenaka dengan teman-teman.


ALLAHYARHAM ISA ABU BAKAR


"Saya mengenali beliau ketika perlawanan persahabatan bola sepak veteran antara negeri. Oleh kerana beliau veteran, saya memanggil beliau dengan membahasakannya sebagai abang.

"Ada saja cerita yang akan dibualkannya dan beliau sering menceriakan keadaan," katanya.

Chin Aun pula berkata, Allahyarham telah menghubunginya malam kelmarin untuk memberitahu beliau dimasukkan ke wad selepas muntah darah Khamis lalu berikutan masalah perubatan.

"Saya fikir ia tidak serius kerana Isa memberitahu saya yang doktor memberitahu beliau akan dibenarkan keluar Isnin ini (esok).

"Saya juga menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) untuk bertanyakan keadaan beliau pagi ini (semalam) dan Isa membalas beliau okay.

"Saya tidak menjangka Isa meninggal secara tiba-tiba selepas beliau membalas SMS saya," katanya yang menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemain hebat.

Tiada ulasan: