KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Sabtu, 22 Januari 2011

City waspada kelibat Bent




MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini memberi amaran kepada anak-anak buahnya bahawa kehadiran Darren Bent (gambar) bakal memberikan semangat baru buat Aston Villa pada pertembungan awal pagi esok.
City di tangga kedua ketika ini bertandang ke Villa Park untuk berdepan skuad bimbingan Gerard Houllier yang kini terperosok di tangga ke-17 liga.
Namun Villa mendapat nafas baru selepas Houllier berjaya membeli Bent daripada Sunderland awal minggu lalu.
"Bent seorang penyerang yang hebat. Dia telah banyak menjaringkan gol. Pasti dengan kehadirannya, Villa bakal meningkat persembahan mereka.
"Bent telah menjaringkan purata satu gol setiap dua perlawanan. Jadi dia seorang yang berbahaya," kata Mancini.
Pengurus City itu turut mengulas mengenai pergolakan yang berlaku di Villa tetap masih beranggapan Houiller, bekas pengurus Liverpool mampu mengubah nasib kelab itu.
"Mereka telah menukar pengurus. Jadi ia pasti bermula dengan sukar. Tapi Houllier memiliki pengalaman yang mampu dimanfaatkan pasukan tersebut.
"Villa sama seperti Liverpool. Mereka cuma sedang menghadapi tempoh sukar pada ketika ini," jelasnya.
Pada aksi awal pagi esok, Mancini tidak dapat menurunkan Mario Balotelli setelah penyerang Itali itu terbang ke Amerika Syarikat untuk merawat kecederaan lututnya.
Sementara itu, Bent berkata, dia memiliki memori indah apabila menjaringkan gol kemenangan Sunderland ketika bertemu City awal musim ini dan berhajat mengulanginya bersama pasukan baru.
"Saya berjaya menewaskan Joe Hart menerusi sepakan penalti ketika Sunderland menang perlawanan itu. Jadi bersama pasukan baru ini, saya begitu teruja untuk mencatat permulaan yang baik," kata Bent. 

Tiada ulasan: