![]() |
XAVI |
BERNE - Trio Barcelona, Xavi, Lionel Messi dan Andres Iniesta bakal bersaing untuk merebut anugerah pemain terbaik tahunan, Ballon D'Or yang buat kali pertamanya dianjur Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) malam ini.
Anugerah itu merupakan gabungan daripada anugerah Pemain Terbaik FIFA yang diperkenalkan pada 1991 dengan anugerah Ballon D'Or yang diilhamkan majalah France Football pada 1956.
Buat pertama kali juga, jurulatih terbaik tahunan bakal diumumkan dengan tiga calon akhir bersaing iaitu jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque, jurulatih Barcelona, Pep Guardiola dan jurulatih Real Madrid yang membawa Inter Milan menjuarai Liga Juara-Juara musim lalu, Jose Mourinho.
FIFA turut akan mengumumkan senarai 11 pemain untuk kesebelasan terbaik 2010 dengan seorang penjaga gol, empat pertahanan, tiga pemain tengah dan tiga penyerang dengan lima pemain disenaraikan bagi merebut setiap posisi tersebut.
Dengan penggabungan dua anugerah pemain terbaik tahunan itu, ia menjadikan panel pemilihannya semakin besar dengan melibatkan undian dari kalangan wartawan terpilih serta jurulatih dan kapten skuad kebangsaan setiap negara.
Persembahan luar biasa Messi dianggap cukup untuk membolehkannya memenangi anugerah tersebut.
Namun kegagalannya membantu Argentina pada Piala Dunia 2010 mungkin akan membuka ruang buat Xavi dan Iniesta yang berjaya membantu Sepanyol muncul juara.
"Xavi dan Iniesta layak untuk memenangi anugerah ini kerana mereka berdua juga pemain yang cukup hebat," kata Messi kepada media Sepanyol.
Namun Pemain Terbaik Piala Dunia 2010, Diego Forlan tidak terpilih untuk berada dalam senarai tiga calon terakhir itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan