KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Rabu, 26 Januari 2011

Nasib Chelsea di tangan United


JOHN Terry (kiri) tonggak yang membantu Chelsea menang 4-0 ke atas Bolton, kelmarin untuk kembali bernafsu mencabar United.


BOLTON - Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti menganggap dua pertemuan dengan Manchester United nanti bakal menjadi penentu sama ada mereka mampu untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana England atau sebaliknya.
Skuad bimbingannya awal pagi semalam berjaya merekodkan kemenangan pertama di tempat lawan dengan membelasah Bolton 4-0 setelah kali terakhir mereka berjaya melakukannya pada Oktober lalu.
Chelsea kini di tangga keempat liga di belakang United, Arsenal dan Manchester City dengan ketinggalan tujuh mata berbanding United.
Kemenangan ke atas Bolton itu juga merupakan detik kebangkitan Chelsea yang kini berjaya mencatat dua kemenangan berturut-turut setelah mereka hanya menang satu daripada sembilan perlawanan sebelum itu.
"Untuk merapatkan jurang bukan perkara yang mudah kerana ketika ini United sudah jauh meninggalkan kami. Tapi kami tetap akan berusaha melakukan apa saja untuk bangkit semula.
"Kami akan naik sedikit demi sedikit dan saya rasa kami mampu melakukannya. Tapi ia tetap bergantung kepada prestasi United.
"Jika mahu merapatkan jurang mata, kami perlu menang kedua-dua pertemuan dengan United nanti," kata Ancelotti.
Pada aksi awal pagi semalam, gol-gol Chelsea dijaringkan Didier Drogba pada minit ke-11, Florent Malouda (41), Nicolas Anelka (56) dan Ramires (74).
"Kami telah memenangi perlawanan yang cukup penting ini dan bakal mempunyai perlawanan penting lain selepas ini bermula dengan pertemuan Piala FA dengan Everton pada Sabtu ini," jelas Ancelotti.
Chelsea akan bertemu United di Stamford Bridge pada 1 Mac sebelum bertandang pula ke Old Trafford pada 7 Mei.

Tiada ulasan: