KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Sabtu, 12 Februari 2011

Safee buru gol ke-110



SAFEE mengintai jaringan ke-110 pada aksi menentang Kuala Lumpur malam ini.

ANGKA 10 tampak sudah sebati dalam diri Mohd. Safee Mohd. Sali apabila dia menggunakan nombor berkenaan pada jersi skuad kebangsaan dan skuad Selangor.
Malah untuk pasukan barunya, Pelita Jaya yang akan disertai Safee pada Isnin ini, penyerang sensasi negara itu turut diberikan jersi No. 10.
Justeru bagi aksi terakhirnya bersama Selangor apabila turun menentang Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam malam ini, Safee, 27, bakal memburu satu lagi angka penting iaitu gol ke-110 peribadinya bagi aksi peringkat kelab.
Sejak bergelar pemain profesional pada 2003, Safee kini sudah pun menjaringkan 109 gol dalam saingan Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala AFC.
Safee menjaringkan 24 gol sepanjang tiga musim bersama Kuala Lumpur (2003-2005), 19 gol sepanjang semusim bersama Sarawak (2006) dan 65 gol sepanjang empat musim bersama Selangor (2007-2010).
Bagi musim 2011, selepas beraksi dua perlawanan, Safee berjaya merekodkan gol ke-109 ketika dia membuka jaringan Selangor sewaktu menewaskan Perlis 2-0 pada 1 Februari lalu.
"Memang semangat untuk turun perlawanan terakhir bersama Selangor esok (hari ini) agak lain macam. Lebih-lebih lagi bertemu Kuala Lumpur, pasukan pertama saya.
"Apa pun saya berhajat mencari gol ke-110 pada perlawanan ini dan memberikan tiga mata penuh buat Selangor sebagai menghargai para penyokong yang hadir ke stadium," katanya ketika dihubungiKosmo! semalam.
Ditanya tentang hajat Kuala Lumpur mahu 'mencalarkan' malam perpisahannya itu, Safee tetap yakin bahawa Selangor memiliki kelebihan untuk meraih kemenangan.
"Memang saya akui Kuala Lumpur kini pada tahap terbaik selepas mereka seri 1-1 dengan Perak dan menewaskan Sabah 1-0.
"Tapi Selangor memiliki barisan pemain yang lebih berkualiti. Jadi tiada sebab untuk kami tewas kepada Kuala Lumpur, lebih-lebih lagi di gelanggang sendiri," jelas Safee.
Pemain kelahiran Kajang itu turut menyatakan bahawa dia akan melakukan penghormatan terakhir kepada para penyokong selepas perlawanan malam ini.
"Ini perlawanan terakhir saya bersama Selangor musim ini tetapi ia bukan perlawanan terakhir saya bersama Selangor. Saya akan tetap kembali suatu hari nanti," tambah Safee yang akan berlepas ke Jakarta, Indonesia pada Isnin ini.

Tiada ulasan: