KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 6 Januari 2011

Kejayaan Tidak Melalaikan Saya – Apek



KOTA BHARU – Penjaga gol utama skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat tidak menyangka bakal menerima hadiah sebuah rumah oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan di atas kejayaan beliau membantu pasukan negara muncul juara buat pertama kali Kejohanan Piala AFF Suzuki minggu lalu.
“Alhamdulilah ini satu rezeki yang tidak diduga. Saya bersyukur sangat-sangat dan hadiah ini begitu bermakna bagi keluarga saya. Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana menghadiahkan sebuah rumah kepada saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Majlis Sambutan Kepulangannya di Kampung Cherang dekat sini semalam.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat seperti Kerajaan Negeri  yang meraikan kepulangan saya dan juga penduduk kampung yang bertungkus lumus menjayakan majlis ini. Saya memang tidak menyangka dengan sambutan luar biasa bermula dari Machang sehingga ke sini (Kampung Cherang, Kota Bharu).
“Walaupun diberi publisiti meluas oleh pihak media tetapi saya percaya kejayaan yang saya kecapi pada hari ini tidak akan melalaikan saya. Tekanan tetap ada tetapi saya harus meletakkan semangat juang yang tinggi pada kedudukan yang sama. Saya harus memikirkan perkara-perkara yang positif sahaja,” katanya.
Khairul Fahmi berkata, beliau belum layak digelar pemain bintang kerana masih banyak perkara yang perlu dipelajari untuk itu tumpuan beliau kini terarah untuk memperkembangkan karier bola sepak beliau.
“Saya mahu fokus kepada karier saya selepas ini. Keluarga merupakan sumber inspirasi utama diatas kejayaan saya ini selain daripada rakan-rakan sepasukan dan penduduk kampung.
“Ini merupakan satu permulaan, saya akan buat yang terbaik untuk untuk negeri dan juga negara. Apa yang lebih penting selepas ini ialah terus memberikan tumpuan sepenuhnya untuk memantapkan lagi persembahan saya,” katanya.
Menurut Khairul Fahmi, belum pasti bila akan kembali menjalani latihan bersama skuad Kelantan setelah baru menyelesaikan tugasan bersama skuad kebangsaan minggu lalu.
“Saya perlu menghubungi jurulatih terlebih dahulu. Saya tidak ada banyak masa untuk berehat kerana perlu kembali menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan Kelantan dalam masa terdekat.
Menyentuh azam sempena tahun baru ini, Khairul Fahmi atau lebih disapa dengan panggil Apek berazam membawa Kelantan menjuarai piala yang belum pernah dimenangi oleh Kelantan sebelum ini iaitu Piala Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Tiada ulasan: