KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Selasa, 28 Disember 2010

Sinetron Indonesia


SAFEE bakal menjadi tumpuan di Jakarta malam esok.


ENTAH apa agaknya yang akan diulas oleh Indonesia andainya mereka menang pada perlawanan akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 menentang Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.
Adakah mereka akan menyalahkan sinaran laser atau sebaliknya?
Mungkin pemain, pegawai serta pemimpin tertinggi skuad Indonesia lupa dengan reputasi skuad Malaysia.
Mereka lupa bahawa skuad bola sepak negara adalah yang terbaik di Asia Tenggara ketika ini.
Sukan SEA 2009 di Laos sudah cukup untuk membuktikan tentang kehebatan skuad bimbingan K. Rajagobal itu.
Pada temasya di Laos itu, Malaysia menang pingat emas meskipun 1,001 macam dugaan serta tipu muslihat yang mereka hadapi daripada pasukan lawan.
Namun, mereka tetap meneruskan perjuangan dan akhirnya muncul juara selepas menewaskan Vietnam pada perlawanan akhir.
Kali ini, pada Kejohanan Piala Suzuki AFF, skripnya hampir sama.
Pada aksi pembukaan menentang Indonesia di peringkat kumpulan, mereka dibelasah 5-1 tetapi kekalahan tersebut diterima dengan hati terbuka tanpa membuat kecoh meskipun penjaga gol Malaysia pada perlawanan pertama itu, Sharbine Alawee telah beberapa kali diganggu pancaran laser oleh penyokong Indonesia.
Alasan Rajagobal atas kekalahan tersebut ialah barisan pertahanan mereka goyang dan bukannya disebabkan laser.
Kelmarin, Indonesia tewas 3-0 dan ‘laser’ dijadikan alasan.
Andai pertahanan Indonesia kental, tidak mungkin gawang mereka dibolosi.
Tetapi sayang, kerenah penjaga gol mereka, Markus Harison yang mendakwa diganggu pancaran laser daripada penonton telah mematikan rentak permainan Indonesia yang dilihat seimbang pada separuh masa pertama.
Lakonan penjaga gol Indonesia hanya berlaku setiap kali Malaysia mendapat sepakan percuma di hadapan pintu gol mereka.
Tetapi jaringan yang dihasilkan oleh pasukan Malaysia bukannya berpunca daripada sepakan percuma, semuanya bermula daripada gerakan padang.
Adakah keempat-empat pertahanan Indonesia itu ‘diganggu’ oleh pancaran laser sehingga gagal menyekat kelincahan penyerang Malaysia?
LAPORAN akhbar utama Indonesia semalam.


Nak menuduh biarlah berasas dan kekalahan itu perlu diterima secara terbuka.
Sebahagian besar akhbar Indonesia pula tidak menyalahkan laser sebagai punca kekalahan itu.
Sedarkah Indonesia bahawa pemain Malaysia pada kejohanan ini dibarisi ‘budak mentah’ yang sebahagian besarnya berusia bawah 23 tahun.
Mereka juga tidak memiliki pemain import seperti mana yang dipraktikkan oleh skuad Indonesia.
Indonesia boleh dianggap bernasib baik pada kejohanan ini kerana diberi peluang beraksi di tempat sendiri pada dua perlawanan separuh akhir menentang Filipina. Jika tidak, semua peminat akan tahu sejauh mana skuad bimbingan Alfred Riedl boleh pergi.
Pada aksi kedua di Gelora Bung Karno malam esok, Indonesia perlu mencari empat gol untuk muncul juara tetapi persoalannya, mampukah mereka?

Norshahrul tak gentar GBK

NORSHAHRUL (tengah) menunggu untuk menaiki bas yang akan membawa pasukan negara ke hotel penginapan mereka di Jakarta semalam.


JAKARTA – Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK) sering menghadirkan gerun buat pemain pasukan lawan setiap kali berdepan skuad Indonesia di gelanggang keramat itu.
Namun, berlainan pula dengan penyerang skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha yang langsung tidak gentar untuk menguasai GBK pada aksi final kedua Piala Suzuki AFF 2010 malam esok.
Jika rakan gandingannya, Mohd. Safee Mohd. Sali menjadikan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai gelanggang bertuah dengan meledak dua gol ketika membenam Indonesia 3-0 pada aksi final pertama kelmarin, Nor- shahrul ada misi tersendiri pada aksi kedua ini.
“Bagi seseorang penyerang, selagi tidak dapat menjaringkan gol, selagi itu kita tak berasa puas. Samalah seperti saya yang baru menjaringkan dua gol sepanjang kejohanan ini.
“Salah satu gol tersebut dijaringkan di GBK ketika kita tewas 1-5 pada aksi pertama peringkat kumpulan. Mungkin saya lebih ada ‘feel’ untuk menjaringkan gol di sini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Hotel Sultan, Jakarta semalam.
Norshahrul, 24, bagaimanapun tetap memainkan peranan penting mencipta gerakan untuk dua dari- pada tiga gol Malaysia pada aksi final pertama malam kelmarin.
Dia berjaya menggelecek pemain pertahanan lawan menerusi gerakan di penjuru kanan padang sebelum melorongkan bola untuk Safee menjaringkan gol pertama dan Ashari Samsudin untuk gol kedua.
“Saya cuba memasuki kotak penalti dari penjuru kanan dan kiri. Tapi nampaknya gerakan dari penjuru kanan lebih berhasil dengan dua gol berjaya dicipta,” jelasnya.
Sementara itu, pada sidang media selepas perlawanan kelmarin, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal telah menamakan Norshahrul sebagai pemain terbaiknya sepanjang kejohanan tersebut.
Kata Rajagobal: “Semua pemain terlibat membawa kejayaan pasukan. Tetapi Norshahrul layak menjadi pemain terbaik kejohanan. Dia telah melaksanakan segala tugasnya dengan baik.”
Namun, Norshahrul sendiri enggan terlalu berharap untuk memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Piala Suzuki AFF 2010 biarpun sebelum ini dia telah memenangi anugerah MVP bagi Liga Malaysia 2010.
“Insya-Allah kalau ada rezeki. Siapa yang tak mahu menang anugerah ini. Jadi saya akan cuba mempamerkan aksi terbaik pada final kedua nanti bagi memastikan kejuaraan mutlak milik Malaysia,” ujar Norshahrul.

Malaysia bersemangat tinggi


PENJAGA gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat menurunkan tandatangan di baju seorang penyokong skuad negara sebaik tiba di Jakarta semalam.


JAKARTA – Kira-kira 12 jam setelah menumpaskan Indonesia pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin, pasukan Malaysia tiba di Jakarta pagi semalam dengan penuh keyakinan bagi menghadapi perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno malam esok.
Berbekal kelebihan agregat 3-0, jurulatih skuad Malaysia, K. Rajagobal berkata, pasukan Malaysia tampil dengan keyakinan untuk menghadapi Indonesia.
“Sudah tentu kami datang dengan keyakinan dan semangat kesukanan yang tinggi. Jika ditanya kepada sesiapa sekalipun pastinya masing-masing mahu menang dan tiada siapa mahu tewas.
“Jadi, kita tunggu dan lihat sahaja hari Rabu ini,” katanya sebaik tiba bersama pasu- kan negara di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Cengkareng, Tangerang, Banten semalam.
Ditanya sama ada beliau yakin pasukannya akan muncul juara Piala AFF kali ini, Rajagobal berkata: “Tunggu dan lihat sajalah.”
Sebelum menaiki bas bersama anak-anak buahnya menuju hotel penginapan di Jakarta, Rajagobal sempat berseloroh apabila ditanya pemberita sama ada pemain Malaysia ada yang cedera.
“Ada dua orang yang mengalami cedera ringan.”
“Yang cedera adalah jurulatih dan pembantu jurulatih,” katanya sambil ketawa dan meluru menaiki bas.
Terdahulu ketibaan mereka di Lapangan Terbang Soekarno- Hatta itu disambut dengan nyanyian lagu patriotik oleh sekumpulan pelajar Malaysia di Indonesia.
Pertandingan bola sepak Piala Suzuki AFF kali ini menarik minat besar warga Indonesia sete- lah pasukan mereka muncul unggul dalam perlawanan peringkat kumpulan sehingga ke separuh akhir.
Kekalahan Indonesia 0-3 kepada Malaysia di Kuala Lumpur kelmarin mengecewakan para penyokong pasukan itu, namun mereka tetap berharap pasukan negara itu akan berjaya mengatasi Malaysia di gelanggang sendiri malam esok.
Indonesia sekurang-kurangnya perlu menang 4-0 pada final kedua malam sekiranya mahu menjuarai kejohanan kali ini.

Isnin, 27 Disember 2010

Final Leg 1 - Malaysia vs Indonesia

Wenger mahu 'bunuh' Chelsea


WENGER yakin dapat memusnahkan hajat Chelsea pada aksi di Stadium Emirates awal pagi esok.


LONDON - Arsene Wenger mahu memusnahkan terus sisa-sisa harapan Chelsea untuk bergelar juara liga musim ini apabila menerima kunjungan lawan mereka itu di Stadium Emirates awal pagi esok.
Amaran keras yang dibuat pengurus Arsenal itu bertujuan untuk mengingatkan Chelsea bahawa hanya kemenangan menjadi matla- mat anak-anak buahnya.
Keyakinan Wenger itu ditambah dengan kehadiran semula Cesc Fabregas dan Robin Van Persie dalam kesebelasan utama pasukannya buat kali pertama sejak Ogos lalu.
"Sudah tentu ini adalah perlawanan 'mesti menang'. Ia peluang terbaik buat pemain muda saya melakukannya untuk membuatkan nasib Chelsea bertambah parah," katanya.
Begitupun, berdasarkan pertemuan sebelum ini, rekod Arsenal tidaklah begitu baik setiap kali berdepan Chelsea tetapi prestasi semasa menjadi ukuran Wenger.
Ini memandangkan Chelsea yang kini di tangga keempat Liga Perdana England gagal mencatat kemenangan dalam lima perlawa- nan terbaru mereka.
Sedangkan Arsenal berjaya kembali melonjak ke tangga kedua liga dengan di- pisahkan hanya satu mata sahaja berbanding pendahulu, Manchester United.
"Kami yakin untuk mencatat kemenangan ke atas Chelsea kali ini walaupun gagal menewaskan United dua minggu lalu. Peningkatan pasukan kami cukup membanggakan berbanding pasukan lain.
"Chelsea kini berada dalam situasi semakin hilang keyakinan berbanding prestasu mereka pada Oktober lalu," tegasnya.

Rajagobal lega, Riedl malu besar


PENJAGA gol Indonesia, Markus (dua dari kiri) terpaksa bekerja keras untuk menyelamatkan gawangnya daripada terus diancam penyerang Malaysia pada perlawanan akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi. Malaysia menang 3-0.


JURULATIH Indonesia, Alfred Riedl akhirnya terpaksa akur untuk kembali berpijak di bumi nyata tatkala jurulatih Malaysia, K. Rajagobal pula terus dengan sikap tenang dan rendah dirinya.
Biarpun gembira dengan kejayaan membelasah Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 malam tadi, Rajagobal masih belum mahu berasa puas kerana beliau sedar tugas mereka belum selesai.
Beliau mahu menyelesaikan dahulu baki 90 minit aksi final kedua di Jakarta, Rabu ini.
"Final belum berakhir lagi. Kita tetap kena fokus baki 90 minit aksi di Jakarta. Tetapi secara jujur memang saya optimis kita boleh menang di Kuala Lumpur ini.
"Ini kerana, Indonesia menang kesemua lima perlawanan sebelum ini hanya dengan beraksi di Jakarta. Ini aksi pertama mereka di gelanggang luar.
"Kita menang 3-0. Tetapi sepatut- nya boleh 4-0 kerana jelas saya nampak Kunanlan dijatuhkan pada masa kecederaan dan sepakan penalti wajar diberi," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Ditanya adakah Malaysia akan beraksi secara bertahan pada Rabu ini, Rajagobal berkata ringkas: "Tidak. Kita akan main seperti biasa. Kita takkan boleh bertahan sepanjang 90 minit."
Sementara itu, nada Riedl pada sidang media tersebut seakan mengakui kehebatan pasukan Malaysia tetapi tetap mengharapkan keajaiban pada aksi kedua nanti.
"Tahniah Malaysia kerana menang. Perlawanan ini biasa sahaja sehinggalah Malaysia mendapat gol pertama.
"Ia telah mengubah segalanya. Malaysia bertambah yakin manakala pertahanan kami semakin keliru.
"Memang aksi terhenti pada minit ke-53 itu memberi kesan kepada kami. Tetapi ketinggalan 0-1 itu lebih memberi kesan sebenarnya.
"Untuk aksi kedua di Jakarta, memang tampak cukup sukar. Tetapi apa pun boleh terjadi, mungkin kami boleh menang 4-0 atau menang 5-1 seperti sebelum ini," jelas Riedl.

Malaysia garang

SAFEE SALI (tengah) menanduk masuk gol ketiga Malaysia pada aksi menentang Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.


SKUAD bola sepak Indonesia sebenarnya tidaklah sekuat mana dan terbukti mereka memang layak digelar ‘jaguh kampung’.
Keegoan Indonesia akhirnya memakan diri apabila Malaysia dengan mudah membelasah mereka 3-0 pada aksi perlawanan akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Terikat 0-0 pada separuh masa pertama, Malaysia meledak tiga gol tersebut pada babak kedua menerusi Mohd. Safee Mohd. Sali pada minit ke-59 dan 71 serta pemain gantian, Mohammad Ashari Samsudin pada minit ke-67.
Ia meletakkan Malaysia kini sebelah tangan untuk menjulang trofi Piala Suzuki AFF buat pertama kali sejak kejohanan ini diperkenalkan pada 1996.
Namun kejuaraan mutlak untuk edisi kelapan ini hanya akan ditentukan selepas berakhirnya final kedua di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta Rabu ini.
Pada aksi malam tadi, suasana bingit oleh 75,000 penyokong Malaysia serta 15,000 penyokong Indonesia telah menghangatkan babak awal permainan.
Namun pemain sayap kiri Indonesia, Oktovianus Maniani dan pemain sayap kanan Malaysia, Amirulhadi Zainal kempunan untuk beraksi pada final kedua nanti kerana memungut kad kuning kedua.
Oktovianus dilayangkan kad kuning seawal minit kelima sebelum Amirulhadi menerima nasib sama pada penghujung babak pertama.
Kerancakan permainan terhenti pada minit ke-53 akibat gangguan sinaran laser terhadap penjaga gol Indonesia, Markus Harison Rihihina ketika Malaysia mendapat sepakan penjuru.
Masa permainan berjalan selama enam minit tanpa aksi cemas tetapi tidak sampai seminit selepas ia bersambung semula, Malaysia berjaya memperoleh gol pertama.
Jaringan pada minit ke-59 itu terhasil setelah Norshahrul Idlan Talaha bijak membawa bola secara solo dari penjuru kanan melepasi Maman Abdulrahman dan melorongkannya untuk dirembat masuk oleh Safee.
Hanya lapan minit kemudian, Malaysia terus selesa dengan gol kedua juga menerusi gerakan Norshahrul dari sebelah kanan tetapi kali ini lorongan cantiknya disudahkan pula dengan rembatan Ashari yang masuk menggantikan Amirulhadi.
Malaysia terus mengukuhkan kedudukan apabila mem peroleh gol ketiga pada minit ke-71 menerusi tandukan cantik Safee hasil hantaran lintang S. Kunanlan dari sebelah kanan.
Ketika masa kecederaan selama lapan minit diberi, Malaysia sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti setelah Kunanlan dijatuhkan Markus tetapi pengadil, Toma Masaaki dari Jepun sebaliknya memberikan sepakan gol buat Indonesia.
Indonesia sepatutnya menyalahkan diri sendiri atas kekalahan tersebut kerana mereka terlalu gemar untuk melakukan protes kononnya penjaga gol diganggu oleh pancaran laser.
Yang peliknya, mereka akan melakukan protes setiap kali Malaysia mendapat sepakan percuma di hadapan pintu gol mereka.
Apa yang pasti, bukan pancaran laser yang menjadi penyebab kerana kesemua tiga gol Malaysia dihasilkan menerusi gerakan padang.
Ia sekadar helah penjaga gol Indonesia untuk menyembunyikan gementarnya.

Ahad, 26 Disember 2010

Leonardo disahkan jurulatih baru Inter


LEONARDO bakal menggantikan tempat Benitez di Inter.


MILAN - Seperti yang diramal, bekas jurulatih AC Milan, Leonardo telah dinamakan sebagai pengurus baru Inter Milan bagi menggantikan Rafael Benitez semalam.
Benitez telah dipecat selepas hanya enam bulan menggendalikan juara kelab dunia, Eropah dan Itali itu.
Keputusan itu dibuat selepas kelab gergasi Itali itu mencatat keputusan yang buruk dalam saingan Serie A dan tindakan Benitez yang mengkritik Inter secara terbuka berkaitan dengan pelaburan untuk membeli pemain baru.
"Selamat datang, Leonardo adalah jurulatih baru Inter," menurut satu kenyataan dalam laman web kelab itu beberapa jam selepas presiden Massimo Moratti berkata, tidak ada pengumuman akan dibuat sehingga 27 Disember ini.
"Beberapa minit lalu, satu perjanjian telah ditandatangani, sekali gus akan mengikat dia bersama kelab ini sehingga 30 Jun 2012."
Leonardo gagal menyerlah sepanjang setahun bersama Milan, hanya mampu membawa kelab itu menduduki tempat ketiga Serie A dan pusingan kedua Liga Juara-Juara musim lalu.
Penggendali berusia 41 tahun itu turut bermain untuk Milan sebelum menjadi pengarah teknikal di kelab itu.
Bagaimanapun pelantikan Leonardo ini dianggap sebagai sesuatu yang mengejutkan dan mendapat komen yang berbeza dalam laman web sosial, Twitter serta penulis kolum di beberapa akhbar. - Reuters

'Kekalahan 1-5 sudah dilupakan'


SKUAD negara berazam untuk menebus kekalahan 1-5 kepada Indonesia pada aksi peringkat kumpulan di Gelora Bung Karno, Jakarta sebelum ini.


"KEKALAHAN 1-5 kepada Indonesia tempoh hari sudah lama berlalu. Saya takkan fikir lagi kerana ia sudah tidak bermakna lagi. Lagipun Real Madrid pun boleh kalah 0-5 kepada Barcelona.
"Kami sudah melupakannya. Final esok (hari ini) merupakan perlawanan yang berbeza dan kami tidak takut dengan kekalahan 1-5 itu. Saya yakin barisan pemain muda kami akan melaksanakan tugas dengan baik."
Demikian jelas jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal sejurus tamat sesi latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam sebagai persiapan terakhir sebelum menentang Indonesia pada final pertama Piala AFF Suzuki 2010 malam ini.
Malaysia dibelasah 1-5 oleh Indonesia pada aksi sulung peringkat kumpulan di Jakarta pada 1 Disember lalu tetapi ketika itu, kesemua lima gol tersebut bukan kerana kehebatan Indonesia tetapi hanya kesilapan individu oleh pemain pertahanan Malaysia.
"Saya mahu pemain beraksi seperti biasa saja tetapi dengan keyakinan dan penuh optimis untuk aksi final ini. Saya hanya mahu fikir dan tumpu kepada pemain dan pasukan saya, bukannya pasukan lain," tegas Rajagobal.
Namun sesi latihan tersebut hanya disertai 21 pemain kerana penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha terpaksa pulang ke Kota Bharu untuk majlis resepsi perkahwinannya di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) malam tadi.
"Saya beri dia (Norshahrul) rehat sehari kerana ada perkara yang perlu diselesaikannya. Saya yakin ia tidak akan menganggu pasukan. Mungkin rehat ini lebih memberi ketenangan kepadanya. Dia akan kembali pagi esok (hari ini)," jelas Rajagobal.
Dalam pada itu, penyerang utama negara, Safee Sali tidak mahu terlalu memikirkan satu kad kuning yang dipegangnya ketika ini tetapi lebih memberi sepenuh fokus bagi menjaringkan gol buat Malaysia.
PARA pemain Malaysia melakukan sesi pemanas badan di Stadium Nasional Bukit Jalil petang semalam.


"Tak perlu nak main berhati-hati. Saya akan main seperti biasa dan harap tuah Bukit Jalil akan berpihak kepada saya sekali lagi seperti ketika menentang Vietnam bagi memberikan bekalan selesa ke Jakarta," kata Safee ketika ditemui selepas sesi latihan petang semalam.
Tiga pemain Malaysia iaitu Safee, Amirulhadi Zainal dan Mahalli Jasuli serta lima pemain Indonesia iaitu Cristian Gonzales, Oktovianus Maniani, Ahmad Bustomi, Muhammad Ridwan dan Hamka Hamzah perlu mengelak kad kuning agar tidak kempunan beraksi pada final kedua di Jakarta, Rabu ini.

Sabtu, 25 Disember 2010

Rajagobal kagum semangat pemain

TENANG... Barisan pemain negara turun menjalani latihan ringan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam sebagai persiapan menghadapi Indonesia, malam esok.


JURULATIH skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal tidak senang duduk menjelang perlawanan akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.
Dia bukan takut, tetapi pening memikirkan kesebelasan utamanya kerana semua pemain dalam skuadnya berebur-rebut untuk merampas tempat kerana terlalu memiliki semangat yang cukup tinggi untuk membelasah Indonesia.
Mereka tidak sabar dan setiap pemain telah mempamerkan komitmen yang tinggi malah semua berazam untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.
Begitupun, Rajagobal hanya akan memilih yang terbaik untuk menggalas perjuangan negara pada perlawanan malam esok dan dia kini memerlukan sedikit ketenangan untuk merencanakan strateginya.
Namun pengendali berusia 54 tahun itu enggan mendedahkan apakah bentuk persiapan yang menjadi tumpuannya bagi mengekang Indonesia daripada mendapat bekalan selesa dari tempat lawan.
"Persiapan kita tak banyak beza. Cuma kita sedang menilai bahagian mana yang perlu diberi fokus lebih. Tapi saya tak boleh mendedahkannya.
"Apa pun, para pemain saya sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi final. Saya mahu mereka turun dengan mempamerkan aksi terbaik dan mencatat kemenangan.
"Saya sendiri menjangkakan aksi final bertemu Indonesia ini bakal menampilkan satu perlawanan yang cukup menarik," kata Rajagobal pada sidang media selepas mesyuarat pengurus pasukan di Stadium Nasional petang semalam.
Mesyuarat tersebut turut memutuskan bahawa Malaysia bakal turun dengan jersi biru dan seluar putih manakala Indonesia pula dengan jersi putih dan seluar hijau.
Dalam pada itu, Rajagobal memberitahu, pemain sayap kanan, Amirulhadi Zainal sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut kanan yang dialami ketika aksi separuh akhir menentang Vietnam di Hanoi minggu lalu.
"Keadaan Amirulhadi nampak okey. Tapi ada dua hari lagi untuk saya menilai tahap kecergasannya. Kemungkinan besar dia boleh diturunkan.
"Cuma Khyril Muhymeen Zambri yang juga cedera lutut masih belum pulih seratus peratus," jelas Rajagobal sebelum bergegas ke Wisma FAM, Kelana Jaya untuk sesi latihan petang semalam.
Sebelum memulakan latihan tersebut, mereka menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang telah memberikan kata-kata semangat kepada pemain bagi menghadapi Indonesia, malam esok.
Skuad kebangsaan bakal menjalani latihan terakhir di Stadium Nasional pada pukul 5 petang ini.

Arsenal gentar kelibat Drogba


DROGBA ancaman buat Arsenal.


LONDON - Carlo Ancelotti mengakui Arsenal gementar untuk berdepan Didier Drogba pada pertemuan Liga Perdana England di Stadium Emirates, Isnin ini.
Pengurus Chelsea itu berharap penyerang Ivory Coast tersebut untuk meneruskan sentuhan jaringan selepas dia meledakkan 13 gol daripada 13 perlawanan menentang skuad The Gunners itu.
"Saya fikir, Arsenal gementar melihat kelibat Drogba kerana dia seringkali bermain dengan baik apabila bertemu mereka.
"Sekiranya dia bermain pada tahap terbaik Isnin ini, kami memperoleh peluang yang baik untuk menang. Kami memiliki rekod yang baik setiap kami menentang Arsenal dan mereka mengetahui kemampuan kami dengan baik.
"Arsenal menampilkan aksi bola sepak yang menakjubkan tetapi mereka mungkin menggunakan strategi bertahan dan kami perlu menggunakan kemampuan yang ada untuk membuka ruang, sekali gus mencipta sesuatu yang menyukarkan mereka.
Untuk rekod, Chelsea memenangi kesemua tujuh perlawanan terakhir menentang Arsenal manakalaThe Gunners hanya menang dua kali daripada 18 pertemuan.
Situasi yang sama berlaku di Stamford Bridge pada Oktober lalu apabila Drogba sekali lagi menjaringkan gol untuk membantu mereka mencatat kemenangan 2-0.
Bagaimanapun, Chelsea menurun di tempat keempat selepas hanya mampu mengutip tiga mata daripada lima perlawanan terakhir mereka.
"Kami menghadapi masalah kerana ramai pemain kami mengalami kecederaan.
"Apabila kamu berada dalam situasi yang buruk, sangat sukar menurunkan barisan pemain muda kerana kamu tidak mahu meletakkan tanggungjawab yang besar kepada mereka.
"Tetapi, kini kami sudah dua minggu tidak bermain dan kami perlu menggunakan cuti itu sebagai kelebihan.

Liga Super Mula 29 Januari



PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memutuskan bahawa saingan Liga Super 2011 bakal bermula 29 Januari depan manakala Liga Perdana 2011 pula bermula dua hari selepas itu.
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah menemukan Selangor dan Kelantan turut akan berlangsung pada 29 Januari di Stadium Shah Alam.
“Sebelum ini, kita telah menetapkan perlawanan sumbangsih serta aksi pertama Liga Super 2011 untuk pasukan lain akan berlangsung pada 15 Januari depan.
“Namun setelah diteliti berhubung aspek teknikal dan penajaan, kita akan mulakan Liga Super 2011 pada 29 Januari depan,” kata Hamidin selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Kosmo! difahamkan, kontrak Telekom Malaysia Berhad (TM) selaku penaja utama Liga Malaysia sejak 2004 hanya akan berakhir pada 26 Januari depan dan TM tidak berhasrat menyambung tajaan untuk musim 2011.
Justeru, FAM terpaksa mencari tarikh selepas 26 Januari depan untuk memulakan saingan musim 2011 di bawah label penaja baru.
Hamidin turut memberitahu, saingan Liga Super 2011 tidak akan dihentikan ketika skuad Harimau Muda A menentang Pakistan untuk aksi pusingan pertama kelayakan Sukan Olimpik 2012 pada 23 Februari dan 9 Mac depan.
“Saingan tidak akan dihentikan. Harimau Muda A mempunyai baki pemain lain yang boleh diturunkan untuk aksi Liga Super ketika sebahagian besar pemain mereka beraksi pada kelayakan Olimpik itu,” jelas Hamidin.
Namun tindakan itu turut menjejaskan beberapa pasukan lain kerana jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee bercadang menyerapkan Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Faizal Abu Bakar dan Ahmad Shakir Md. Ali (Kedah) untuk dua aksi kelayakan Olimpik itu.
Sementara itu, JKPT semalam turut memutuskan saingan Piala Presiden akan bermula 10 Februari, Liga FAM bermula 13 Februari, final Piala FA pada 11 Jun, Piala Malaysia bermula 7 September dan final Piala Malaysia pada 29 Oktober.

Jumaat, 24 Disember 2010

Arsenal miliki barisan terkuat


VAN PERSIE (kanan) dan Nasri antara pemain muda yang sedang meningkat naik di Arsenal musim ini.


LONDON - Berdepan Chelsea pada Isnin ini sedikit melegakan Arsenal apabila mereka berpeluang menurunkan kesemua pemain utama yang sudah pulih daripada kecederaan.
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata, kekuatan penuh itu akan digunakan sebaiknya untuk terus menekan pendahulu Liga Perdana England, Manchester United.
Antara pemain yang dimaksudkan Wenger bakal menerima kunjungan Chelsea itu ialah Robin van Persie, Cesc Fabregas, Abou Diaby dan penjaga gol, Lukasz Fabianski.
"Mereka sempat cergas selepas perlawanan ditunda minggu lalu. Tempoh tersebut digunakan khusus untuk bersiap menghadapi Chelsea. Ia memang banyak membantu," katanya.
Arsenal tidak boleh kalah apabila berdepan Chelsea di Stadium Emirates pada 27 Disember ini jika tidak mahu melihat United lebih jauh meninggalkan mereka.
Malah selepas tewas 0-1 kepada United dua minggu lalu, Arsenal juga perlu sedar mereka tidak lagi kebal apabila sudah tiga kali kalah di gelanggang sendiri musim ini.
Sementara itu, Wenger berkata, mereka sudah bersedia untuk beraksi tanpa khidmat Thomas Vermaelen sekurang-kurangnya untuk tempoh satu bulan lagi.
Pemain pertahanan Belgium itu tidak beraksi sejak Ogos lalu selepas mengalami kecederaan Achilles.
Awal bulan ini, Arsenal berharap Vermaelen akan sembuh sepenuhnya tetapi Wenger berkata: "Saya memberi jaminan dia akan beraksi semula pada akhir Januari.
"Dia masih belum cergas dan kami perlu membentuknya. Ia akan mengambil masa tiga atau empat minggu lagi.
"Dia sudah mula bermain dan memberi petanda yang baik. Tetapi saya telah melalui banyak peristiwa hitam, sekali gus menjadi saya lebih berhati-hati dengan Vermaelen."