MILAN - Pengendali baru Inter Milan, Rafael Benitez ternyata gembira kerana dapat kembali menjalankan tugas sepenuhnya sebagai jurulatih.
Bekas pengurus Liverpool itu telah menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Inter dengan tanggungjawabnya terhadap urusan pentadbiran kini berkurangan berbanding ketika beliau bersama skuadThe Reds.
Di Anfield, Benitez sering kali dilapor tidak sependapat dengan pemilik bersama kelab itu, George Gillett Jr. dan Tom Hicks.
"Di England saya adalah pengurus dan di sini saya menjadi jurulatih. Di sini kami memiliki pengarah sukan (Marco Branca) dan presiden (Massimo Moratti) yang mempunyai tanggungjawab mereka tersendiri.
"Mereka akan membuat kerja mereka dan saya hanya perlu fokus terhadap para pemain yang kami miliki ketika ini.
"Saya berasa gembira dapat berada di sini dengan sebuah pasukan yang memiliki pemain-pemain berkualiti serta mempunyai mental yang kuat. Saya yakin kami akan dapat melakukan yang terbaik," kata Benitez.
Beliau telah dilantik sebagai pengurus Liverpool pada 2004 dan membawa pasukan itu muncul juara Liga Juara-Juara pada 2005 dan trofi Piala FA setahun kemudian.
Namun, beliau tetap gagal membawa Liverpool meraih kejuaraan Liga Perdana England buat pertama kali sejak kali terakhir memenanginya pada 1990.
Bagi tugasan barunya bersama Inter, Benitez menggalas harapan yang tinggi untuk mengu- langi kejayaan muncul juara Liga Juara-Juara, Serie A dan Piala Itali yang dicapai Jose Mourinho sebelum beliau berhijrah ke Real Madrid musim ini.
"Kami masih memiliki mentaliti yang sama seperti musim lalu dan kami mahu terus bersama memburu kemenangan bermula dari hari pertama.
"Saya telah bercakap dengan kapten Inter iaitu Javier Zanetti, Samuel Eto'o dan Diego Milito. Mereka semua mahukan kejayaan. Malah Wesley Sniej- der juga mahu menang lebih banyak trofi.
"Semua pemain memiliki mentaliti sebegini dan saya mahu mereka mengekalkannya untuk musim baru nanti," jelas Benitez.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan