KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Jumaat, 7 Januari 2011

Liga M: Karel Stromsik kembali


IMBAS KEMBALI... Karel Stromsik (kiri) pernah mencipta nama bersama Selangor pada 1989 hingga 1991.


BEKAS penjaga gol import Selangor, Karel Stromsik kembali mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga M) 2011 apabila dilantik sebagai penasihat teknikal pasukan Felda United.
Stromsik, 52, bakal membantu ketua jurulatih Felda United, E. Elavarasan merencanakan cabaran pasukan berstatus kelab itu yang beraksi buat kali pertama di pentas Liga Super musim ini.
Bekas penjaga gol Czechoslovakia yang beraksi pada Piala Dunia 1982 itu pernah menyarung jersi Selangor sepanjang tiga musim iaitu pada 1989 hingga 1991.
Felda United yang menjuarai Liga Perdana musim lalu masih mengekalkan barisan penolong jurulatih terdiri daripada Ridzuan Abu Shah, Zamzuri Mohd. Noor dan Woo Kong Soon.
Penolong pengurus Felda United, Faisal Zakariah berkata, sentuhan Stromsik diharap dapat meningkatkan prestasi pasukan, memandangkan dia memiliki pengalaman luas tentang bola sepak Eropah serta memiliki Lesen A daripada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
"Dengan gabungan rentak permainan Eropah yang mampu diterapkan Stromsik dan ditambah pula kepakaran Elavarasan mencatur strategi, kami bercita-cita untuk berada di kelompok empat pasukan teratas Liga Super musim ini.
"Selain itu, kita memiliki tiga penjaga gol berpengalaman iaitu Hamsani Ahmad, Zainal Rabin dan Faizal Rashid. Jadi kehadiran Stromsik pasti membantu Zamzuri (jurulatih penjaga gol) memperhebatkan posisi tersebut," kata Faisal kepada Kosmo! semalam.
Ditanya bagaimana Felda United berjaya mendapatkan khidmat Stromsik, Faisal berkata, dia dan Elavarasan pernah bekerjasama dengan Stromsik ketika mereka mengemudi pasukan Selangor Public Bank pada 2003 dan 2004.
"Sebenarnya dari musim lalu lagi kami sudah berhubung dengan Stromsik tetapi ketika itu, dia masih mempunyai kontrak sebagai jurulatih penjaga gol skuad remaja Republik Czech.
"Jadi kini apabila kontraknya sudah tamat, dia sendiri berminat untuk kembali ke Malaysia. Kami di Felda United sememangnya mengalu-alukan kehadirannya," jelas Faisal.
Musim ini, Felda United menampilkan ramai muka baru seperti Hamsani, Faizal, Azi Shahril Azmi, Farderin Kadir, K. Rajan, Liew Kit Kong, Mohd. Lot Abu Hassan dan Nizaruddin Yusof.
Antara tonggak musim lalu yang masih dikekalkan ialah Zainal, Kaironnisam Sahabudin, Rashid Mahmud dan Juzaili Samion.

Tiada ulasan: