KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 17 Februari 2011

Gol tunggal Spurs malukan Milan


CROUCH (kiri) menjaringkan gol tunggal Spurs ketika menang 1-0 ke atas AC Milan di San Siro awal pagi semalam.


MILAN - Impian Tottenham Hotspur untuk meneruskan cabaran pada kempen Liga Juara-Juara semakin cerah.
Awal pagi semalam, penyerang Tottenham, Peter Crouch menjaringkan gol tunggal buat pasukan itu menang 1-0 ke atas AC Milan di San Siro.
Meskipun beraksi tanpa Gareth Bale yang mengalami kecederaan, Spurs tetap mempamerkan aksi yang menarik dan mendominasi pertemuan pusingan kalah mati yang pertama kali disertai mereka.
Jaringan Crouch ketika permainan berbaki 10 minit hasil serangan balas yang pantas akhirnya memerangkap Milan di hadapan peminat sendiri.
Kemenangan ini meletakkan kelab dari England itu dalam kedudukan terbaik menjelang aksi kedua di White Hart Lane tiga minggu lagi.
"Satu aksi yang menakjubkan daripada kami. Pujian kepada semua pemain terutamanya Sandro, Steven Pienaar, Michael Dawson, Heurelho Gomes... dan ramai lagi," kata pengurus Spurs, Harry Redknapp.
"Saya beritahu mereka ketika rehat supaya memberi bola kepada Aaron Lennon jika ada peluang kerana dia telah mengucar-kacirkan pertahanan kiri lawan sepanjang masa.
"Malah sumbangan ketika gol tersebut amat menakjubkan. Ini adalah malam penuh kejayaan kepada peminat dan juga pasukan ini."
Jurulatih Milan, Massimiliano Allegri berkata, pasukannya masih belum cukup memberi tentangan kepada pasukan lawannya.
"Pada babak pertama, kami terlalu takut untuk menyerang, amat sukar untuk bermain jika tidak banyak diberi ruang dan kami juga banyak melakukan kesilapan," kata Allegri.
"Itulah yang membuatkan Spurs merampas bola dan melakukan serangan balas. Pada babak kedua kami cuba mengubahnya, namun usaha tersebut masih belum cukup.

Tiada ulasan: