KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Rabu, 9 Februari 2011

Semangat Safee


PENGHIJRAHAN penyerang kebangsaan, Safee Sali ke kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya kelmarin telah menimbulkan pelbagai reaksi.
Ramai yang menyokong keberanian Safee untuk keluar dari kepompong pemain-pemain tempatan yang selesa sekadar beraksi di Liga Super Malaysia (MSL).
Namun ada juga yang seolah-olah mempelekehkan tindakan Safee itu dengan menganggap Pelita Jaya yang disertainya kini hanya menduduki tangga tercorot ISL selepas 13 perlawanan.
Situasi tersebut nyata langsung tidak melunturkan semangat Safee, malah ia turut membuatkan pemain berusia 27 tahun itu lebih bersemangat untuk membuktikan tindakannya itu tepat.
“Saya tahu Pelita Jaya kini di tangga tercorot ISL. Jadi ia membuatkan saya bertambah teruja dan bersemangat untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam liga.
“Apa yang penting, saya dapat peluang beraksi sepenuhnya bersama Pelita Jaya dan ini juga merupakan langkah sulung saya untuk memasarkan diri di saingan liga luar.
“Kalau saya sertai pasukan yang lebih baik kedudukannya di ISL tetapi hanya duduk di bangku simpanan, tak guna juga,” kata Safee ketika ditemui selepas latihan skuad kebangsaan di Stadium Shah Alam petang semalam.
Selepas berakhir aksi pusingan pertama ISL, Pelita Jaya kini di tangga ke-15 dengan 10 mata tetapi jurang mata dengan pasukan kelompok atasan sebenarnya tidaklah begitu jauh.
Malah Pelita Jaya hanya dipisahkan sembilan mata dengan pasukan di tangga keenam ISL ketika ini, Persisam.
Safee turut menegaskan bahawa penghijrahannya ke Pelita Jaya bukan semata-mata kerana wang tetapi lebih kepada kemajuan kariernya.
Pemain kelahiran Kajang, Selangor itu difahamkan diberi gaji bulanan AS$10,000 (RM30,345) oleh Pelita Jaya.
“Mungkin ramai tak tahu ranking ISL di peringkat Asia jauh lebih tinggi berbanding ranking MSL. Jadi bila ada yang kata ISL sama saja dengan MSL, mereka silap.
“Di ISL saya akan dapat merasai suasana baru dan pengalaman baru beraksi di liga luar serta dapat bersaing dengan pemain-pemain import.
“Jadi saya akan jadikan tanggapan sinis mereka ini sebagai lonjakan semangat untuk mencipta sesuatu bersama Pelita Jaya di ISL,” tegas Safee yang akan berlepas ke Indonesia pada Isnin ini.
Safee menandatangani kontrak setahun bersama Pelita Jaya sehingga 31 Januari 2012 dan akan turun aksi sulungnya bersama kelab itu ketika berdepan Persib Bandung di laman sendiri pada 7 Mac depan.

Tiada ulasan: