KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Rabu, 9 Februari 2011

Rajagobal mahu pemain pamer aksi konsisten


RAJAGOBAL (kanan) bersalaman dengan jurulatih Hong Kong, Wai Chung pada sidang media menjelang aksi persahabatan di Stadium Shah Alam semalam.


SKUAD bola sepak kebangsaan turun berdepan Hong Kong di Stadium Shah Alam malam ini untuk perlawanan persahabatan antarabangsa berstatus A pertama mereka bagi tahun ini, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Kemenangan sudah pasti menjadi buruan skuad Harimau Malaya sebagai menjaga status mereka sebagai juara Piala Suzuki AFF 2010.
Namun bagi jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal, dia lebih mahu melihat para pemainnya meneruskan aksi konsisten selain memantau prestasi beberapa muka baru yang diserap kali ini.
"Saya mahu para pemain menampilkan satu aksi yang baik biarpun ini hanyalah perlawanan persahabatan. Memang keputusan penting untuk sistem ranking.
"Tapi saya utamakan jangka panjang iaitu untuk mewujudkan satu pasukan yang kuat dan mantap menjelang kelayakan Piala Dunia 2014 pada Jun depan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Shah Alam petang semalam.
Daripada 24 pemain yang dipanggil sejak 2 Februari lalu, hanya 20 pemain akan disenaraikan Rajagobal untuk aksi malam ini.
Empat pemain yang tercicir ialah Sharbinee Allawee Ramli (isteri bersalin), Amar Rohidan (demam campak), S. Chanthuru (cedera buku lali) dan Izzaq Faris Ramlan (hamstring).
Bagi Rajagobal, dia tidak mahu terlalu risau dengan pemain yang cedera atau tidak dapat diturunkan itu sebaliknya menganggap ia sebagai peluang kepada pemain lain menonjolkan kemampuan mereka.
"Saya akan gunakan peluang ini untuk menilai prestasi seseorang pemain itu sama ada dia boleh beraksi untuk skuad kebangsaan pada masa akan datang atau sebaliknya," jelas pengendali berusia 55 tahun itu.
Norshahrul Idlan Talaha dan Azmi Muslim yang dikatakan cedera dilihat menjalani latihan seperti biasa petang semalam dan mereka mungkin dimasukkan sebagai pemain gantian malam ini.
Ditanya tentang pasukan Hong Kong, Rajagobal berkata: "Cara Hong Kong main sama seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Korea Utara iaitu menggunakan corak permainan pantas. Jadi kami takkan pandang mudah."
Skuad kebangsaan kini berada di ranking ke-140 dunia manakala Hong Kong yang dibimbing Tsang Wai Chung di ranking ke-143.

Tiada ulasan: