KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Isnin, 10 Januari 2011

Gerrard perlu tinggalkan The Reds


GERRARD (kiri) cuba ditenangkan rakan sepasukan, Kuyt sebaik gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika tewas 1-3 kepada Blackburn baru-baru ini.


LONDON - Bekas pengurus Liverpool, Kevin Keegan membuat kejutan apabila memberitahu bahawa satu-satunya jalan buat Steven Gerrard untuk memenuhi impiannya memenangi kejuaraan utama ialah dengan meninggalkan Liverpool.
Gerrard yang hampir menyertai Chelsea ketika di bawah era pengurus Rafael Benitez, telah memenangi banyak kejuaraan di peringkat kelab, kecuali gelaran juara Liga Perdana England setakat ini.
Paling hampir dia berjaya melakukannya ialah ketika The Reds menamatkan saingan sebagai naib juara dua tahun lalu.
Begitu pun Liverpool masih belum memenangi gelaran liga tersebut sejak 1990 dan Keegan mengakui bahawa satu-satunya peluang Gerrard untuk melakukannya ialah dengan menyertai kelab yang lebih besar.
"Gerrard seorang pemain yang luar biasa dan dia akan sentiasa berfikir siapakah lagi (pemain baru) yang akan membantunya memenangi kejuaraan di Liverpool?," kata Keegan.
"Ini kerana dia tidak pernah memenangi banyak kejuaraan di kelab ini.
"Dia telah berusia 30 tahun sekarang. Hanya ada dua pilihan yang tinggal iaitu kekal bersama Liverpool dan cuba memenanginya di sini atau berpindah ke kelab lain sebagai usaha terakhir.
"Dia tidak akan memenangi sebarang trofi di sini. Andainya dia masih mampu bermain sehingga usia 34 tahun, peluangnya untuk menang kejuaraan amat tipis dengan Liverpool.
"Walaupun Liverpool melakukan perubahan besar-besaran seperti Manchester City lakukan, masih tiada petunjuk bahawa mereka akan memenanginya dalam masa dua tahun lagi.

Arsenal masih ada peluang


WENGER sugul ketika pasukannya seri 1-1 dengan Leeds, kelmarin.


LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger masih berkeyakinan bahawa skuad bimbingannya itu mampu menangani segala tekanan dalam usaha menamatkan kemarau kejuaraan selama lima tahun.
Arsenal gagal meraih sebarang gelaran selepas menjuarai Piala FA 2005 bakal berkunjung ke Ipswich pada awal pagi Khamis ini untuk separuh akhir pertama Piala Liga setelah mereka hampir tewas kepada Leeds pada pusingan ketiga Piala FA malam kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, Arsenal ketinggalan 0-1 menerusi sepakan penalti Robert Snodgrass pada minit ke-54 sebelum berjaya menyamakan kedudukan di minit terakhir hasil sepakan penalti Cesc Fabregas bagi menempah pertembungan ulangan di Elland Road.
"Kegagalan kami menjulang piala dalam tempoh yang agak lama tidak akan memberi kesan menjelang aksi bertemu Ipswich ini.
"Apa yang akan lebih memberi kesan ialah kami kini hanya tinggal dua perlawanan saja lagi sebelum melangkah ke final.
"Keputusan seri 1-1 dengan Leeds ini memberi amaran yang cukup berguna kepada kami. Sebelum perlawanan lagi kami sudah mengetahui bahawa Leeds berjaya menundukkan Manchester United musim lalu serta mengikat Tottenham.
"Leeds mempunyai keyakinan diri untuk beraksi selepas kejayaan itu dan mereka tampil secara agresif kali ini," kata Wenger.
Sementara itu, Fabregas melahirkan kekecewaan terhadap persembahan pasukannya.
"Kini kami perlu beraksi sekali lagi dalam perlawanan ulangan," ujar Fabregas.

Malam penentuan tiga bintang Barca


XAVI


BERNE - Trio Barcelona, Xavi, Lionel Messi dan Andres Iniesta bakal bersaing untuk merebut anugerah pemain terbaik tahunan, Ballon D'Or yang buat kali pertamanya dianjur Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) malam ini.
Anugerah itu merupakan gabungan daripada anugerah Pemain Terbaik FIFA yang diperkenalkan pada 1991 dengan anugerah Ballon D'Or yang diilhamkan majalah France Football pada 1956.
Buat pertama kali juga, jurulatih terbaik tahunan bakal diumumkan dengan tiga calon akhir bersaing iaitu jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque, jurulatih Barcelona, Pep Guardiola dan jurulatih Real Madrid yang membawa Inter Milan menjuarai Liga Juara-Juara musim lalu, Jose Mourinho.
FIFA turut akan mengumumkan senarai 11 pemain untuk kesebelasan terbaik 2010 dengan seorang penjaga gol, empat pertahanan, tiga pemain tengah dan tiga penyerang dengan lima pemain disenaraikan bagi merebut setiap posisi tersebut.
Dengan penggabungan dua anugerah pemain terbaik tahunan itu, ia menjadikan panel pemilihannya semakin besar dengan melibatkan undian dari kalangan wartawan terpilih serta jurulatih dan kapten skuad kebangsaan setiap negara.
Persembahan luar biasa Messi dianggap cukup untuk membolehkannya memenangi anugerah tersebut.
Namun kegagalannya membantu Argentina pada Piala Dunia 2010 mungkin akan membuka ruang buat Xavi dan Iniesta yang berjaya membantu Sepanyol muncul juara.
"Xavi dan Iniesta layak untuk memenangi anugerah ini kerana mereka berdua juga pemain yang cukup hebat," kata Messi kepada media Sepanyol.
Namun Pemain Terbaik Piala Dunia 2010, Diego Forlan tidak terpilih untuk berada dalam senarai tiga calon terakhir itu.

Safee sedia timbang tawaran


SAFEE (kiri) mempertimbangkan tawaran menyertai kelab Indonesia.


PENJARING terbanyak Piala Suzuki AFF 2010, Mohd. Safee Mohd. Sali hampir pasti meninggalkan Selangor untuk menyertai salah sebuah kelab di Indonesia, Persib Bandung, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Nada pemain kelahiran Kajang yang bakal mencecah usia 27 tahun pada 29 Januari depan itu semalam jelas membuktikan bahawa dia begitu teruja untuk beraksi bersama kelab luar.
Safee seakan-akan memberi isyarat awal yang dia berkemungkinan besar akan menyertai kelab Persib Bandung biarpun turut diburu dua lagi kelab Indonesia, Pelita Jaya dan Persiba Balikpapan serta sebuah kelab Vietnam.
"Memang saya nak sangat belajar dan sudah lama sebenarnya impian saya untuk beraksi di luar negara. Buat masa ini keputusan saya untuk menerima tawaran tersebut adalah 70-30. Saya mungkin akan memberi pertimbangan tawaran sebuah kelab Indonesia itu.
"Daripada tiga kelab tersebut, Persib Bandung yang betul-betul menunjukkan minat. Lagipun saya sendiri rasa jarak Bandung paling dekat. Saya juga pernah ke sana dan sudah tahu suasananya.
"Mungkin jika segalanya menjadi kenyataan, memang ada dalam perancangan untuk membawa bersama keluarga ke sana," kata Safee ketika ditemui pada majlis meraikan skuad kebangsaan oleh Nike Malaysia di One Utama, Damansara petang semalam.
Namun Safee menjelaskan bahawa dia tidaklah akan terus berhijrah ke kelab berkenaan dalam masa terdekat dan kemungkinan besar akan melengkapkan perpindahan tersebut pertengahan tahun ini.
"Saya baru pulang dari Perth, Australia bersama skuad Selangor pagi tadi (semalam). Sepatutnya dalam sehari dua ini akan berlangsung perbincangan di antara saya, Datuk Hamidin Mohd. Amin (Setiausaha Agung FAS) dan wakil kelab terbabit.
"Harap keputusan perbincangan tersebut mencapai sesuatu yang positif. Sebagai pemain profesional, saya mahu mengambil peluang ini sebagai satu cabaran," jelas Safee.
Andai Safee sah menyarung jersi Persib Bandung, dia akan menjadi rakan sepasukan beberapa pemain kebangsaan Indonesia seperti Cristian Gonzales, Markus Harison, Maman Abdurahman dan Eka Ramdani.

'Satu bulan, satu perlawanan'

K. RAJAGOBAL (kiri) beraksi dalam perlawanan pertunjukan semasa sesi bertemu peminat anjuran Nike di Damansara semalam.


JURULATIH kebangsaan, K. Rajagobal berharap skuad bimbingannya itu mendapat peluang untuk beraksi sekurang-kurangnya satu perlawanan persahabatan berstatus A setiap bulan sepanjang tahun ini.
Bagi Rajagobal, aksi berterusan penting dalam memastikan skuad juara Piala Suzuki AFF 2010 itu dapat mengekalkan rentak cemerlang itu menjelang beberapa tugasan penting yang akan menyusul.
"Untuk masa terdekat, kita akan mengadakan satu perlawanan persahabatan pada bulan Februari. Kalau boleh, tiap-tiap bulan kita mahukan aksi persahabatan berstatus A.
"Ia penting untuk memastikan pasukan ini terus konsisten kerana kita akan menghadapi kelayakan Piala Dunia 2014 pada Jun depan dan juga pertemuan dengan Chelsea pada Julai depan.
"Kita sememangnya sudah mempunyai rancangan jangka panjang empat tahun dengan sasaran utama ialah melepasi saingan kelayakan Piala Asia dan beraksi pada pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia.
"Kejayaan menjuarai Piala Suzuki AFF ini hanyalah sebagai satu permulaan ke arah itu," katanya pada sidang media bersempena majlis meraikan skuad kebangsaan oleh Nike Malaysia di One Utama, Damansara petang semalam.
DARI kanan: Safee Sali, Amirulhadi dan Khyril Muhymeen menurunkan tandatangan pada baju salah seorang peminat semasa sesi bertemu peminat semalam.


Lebih separuh pemain skuad kebangsaan yang menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 hadir pada majlis tersebut bersama tiga pemain yang tidak tersenarai akibat kecederaan iaitu Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak dan Baddrol Bakhtiar.
Rajagobal turut berharap semua pemainnya dapat mempamerkan aksi terbaik dan konsisten sepanjang saingan Liga Malaysia yang akan bermula 29 Januari depan selain tidak gusar ganjaran demi ganjaran bakal melekakan anak-anak buahnya.
"Saya mahu Aidil, Zaquan dan Baddrol tampil lebih bertenaga apabila mereka kembali beraksi nanti. Jika prestasi mereka tidak mencapai tahap konsisten, berkemungkinan saya tidak akan panggil mereka semula.
"Tentang ganjaran, saya tahu pemain-pemain saya tidak akan lupa diri. Saya kenal mereka semua dan yakin dengan komitmen mereka.
"Mereka juga tahu, jika mereka malas, sudah pasti saya akan ketepikan mereka untuk menganggotai skuad kebangsaan," tegas Rajagobal.

Ahad, 9 Januari 2011

Cardiff Bantu Kelantan Jadi Skuad Terkuat


KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan Kelantan (Kafa) akan bekerjasama dengan kelab bola sepak Inggeris, Cardiff City dalam semua aspek, termasuk pengurusan dalam usaha untuk membentuk sebuah pasukan yang kuat di negara ini.
Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa berkata, buat permulaan, pihaknya akan meminta bantuan pemilik kelab Inggeris itu, Datuk Chan Tien Ghee, yang juga rakyat Malaysia dalam mereka bentuk stadium baru.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, hubungan di antara skuad Red Warriordengan pasukan yang berada ditangga kedua Divisyen 1 Inggeris itu adalah atas dasar persahabatan dan belum ada hubungan secara rasmi lagi.
“Banyak benda yang dapat kita pelajari daripada pasukan profesional ini dan berharap satu masa nanti, kita boleh menghantar pegawai serta pemain untuk menimba ilmu di Cardiff.
“Sekarang kita meminta pertolongan dari Cardiff untuk mereka bentuk stadium kerana mereka mempunyai stadium bola sepak yang cantik biarpun kecil,” katanya selepas majlis memperkenalkan pemain Red Warriors 2011 dan pelancaran jersi pasukan itu di sini, semalam.
Tien Ghee yang juga Pengerusi Cardiff City, melancarkan kad keahliran kelab tersebut.
Lebih 1,000 penyokong Red Warriors membanjiri pusat beli belah berkenaan untuk melihat pemain pasukan tersebut, serta trofi Piala Malaysia dan Piala Suzuki AFF yang dipamerkan.
Paling istimewa anak Tian Ghee, Nicholas Chan, 18, turut memperkuatkan skuad Kelantan musim depan dan dikatakan akan menjadi bintang baru bagi menggantikan bekas ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin yang berhijrah ke T-Team.
Skuad Red Wrriors juga akan membariskan lima muka baru iaitu K. Soley, Nurul Izwan Roya, Wan Rohaimi Wan Ismail, Daniel Fadly Abdullah dan bekas penyerang sensasi Red Warriors musim 2009, Khalid Jamlus.
Sementara itu, Tien Ghee membuat pengumuman mengejut apabila memberikan penajaan sebanyak RM100,000 kepada Kelantan dan berjanji akan membawa pegawai, pemain dan penyokong bertuah ke Cardiff untuk bertemu dengan penyerang sensasinya, Craig Bellamy.






Spurs setia menanti Beckham


LONDON - Pengurus Tottenham Hotspur (Spurs), Harry Redknapp optimis David Bec- kham akan menandatangani kontrak bersama skuad kendaliannya dalam masa terdekat.
Redknapp berkata, bekas kapten England itu boleh diturunkan pada pertemuan dengan Manchester United dalam saingan Liga Perdana England, 16 Januari ini.
Spurs pada awalnya berharap Beckham yang juga bekas bintang Real Madrid dapat diturunkan pada aksi pusingan ketiga Piala FA menentang Charlton Athletic malam ini.
Namun, disebabkan perbincangan mengenai perpindahan Beckham ke White Hart Lane masih lagi belum tamat, Redknapp terpaksa akur dengan situasi tersebut.
"Jika Beckham berada di sini (White Hart Lane) dan menjalani latihan seperti biasa, dia pasti akan diturunkan pada pertemuan dengan United nanti.
"Diharapkan, Beckham akan hadir bagi menonton perlawanan dengan Charlton itu nanti.
"Saya tidak merasakan ada banyak masalah berhubung perpindahan ini kerana ia tidak melibatkan banyak aliran tunai yang perlu dibelanjakan bagi mendapatkan khidmat Bec- kham," jelas Redknapp.
Sementara itu, pengurus Lei- ceister, Sven-Goran Eriksson percaya Beckham akan mengambil pendekatan untuk berdiam diri berhubung kepulangannya beraksi semula dalam saingan Liga Perdana England.
"Saya merasakan dia masih mampu untuk beraksi dalam saingan yang kompetitif.
"Dia masih cergas dan saya pasti dia belum lagi kehilangan skil di bahagian kaki kanannya.
"Sepanjang saya mengenali Beckham, saya tidak fikir dia akan beraksi bersama Spurs sekiranya dia merasakan dirinya sudah tidak mampu untuk bersaing dalam saingan Liga Perdana England," kata Eriks- son.
Eriksson merupakan individu yang bertanggungjawab melantik Beckham sebagai kapten skuad kebangsaan England sepanjang enam tahun beliau mengendalikan skuad Three Lions

Situasi Ancelotti mula tak menentu

LONDON - Pengurus Chelsea, Carlo Ance- lotti mula mendapat tekanan daripada pemi- nat fanatik The Blues.

Ini kerana terdapat sekumpulan penyokong setia The Blues membuat sepanduk yang meminta Ancelotti meletakkan jawatan.
Ancelotti merupakan salah seorang pengurus dalam saingan Liga Perdana England yang terancam kedudukannya ekoran pretasi hambar skuad kendaliannya musim ini.
Ketika ini, anak-anak buah Ancelotti menghuni tangga kelima liga dengan mengumpul 35 mata, sembilan mata di belakang pendahulu, Manchester United.
Ia sekali gus menyukarkan peluang Chelsea untuk mempertahankan trofi kejuaraan liga yang dimenangi mereka musim lalu.
Begitupun, peluang buat Chelsea mempertahankan gelaran Piala FA masih lagi terbuka dan mereka akan melayan kunjungan Ipswich Town pada pusingan ketiga di Stamford Bridge awal pagi esok.
Kini Ipswich pastinya akan menggunakan segala kelemahan yang dimiliki Chelsea untuk mencatatkan kemenangan manakala The Blues pula tidak mempunyai pilihan selain menang pada pertemuan tersebut.
"Sekiranya ada sepanduk yang tertulis meminta saya untuk meletakkan jawatan, saya tidak merasakan ia sebagai satu masalah besar.
"Tekanan yang dirasai sama sahaja seperti ketika saya berada di Itali.
"Di sini (England) hanya seorang sahaja yang tidak berpuas hati tetapi di Itali kamu akan melihat lebih daripada 1,000 orang di luar padang latihan yang tidak puas hati," jelas Ancelotti. 

Hodgson kena pecat


LONDON - Roy Hodgson telah dipecat sebagai pengurus Liverpool dan tempat- nya diambil alih oleh legenda bola sepak The Reds, Kenny Dalglish.
Menurut laporan, Dalglish akan mengendalikan Liverpool sehingga penghujung musim ini.
Hodgson yang mula membimbing The Reds sejak Julai tahun lalu dikritik hebat oleh penyokong-penyokong setia kelab yang berpangkalan di Anfield itu ekoran prestasi hambar anak-anak buahnya dalam saingan Liga Perdana England musim ini.
Memburukkan lagi keadaan, pemeca- tan Hodgson itu berlaku sehari sebelum Liverpool menentang Manchester United pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Old Trafford malam ini.
"Saya melalui detik-detik sukar sepanjang karier saya sebagai pengurus dalam tempoh beberapa bulan kebela- kangan ini.
"Saya sangat sedih kerana tidak diberi peluang untuk kembali membawa Liverpool bangkit dan membawa masuk beberapa pemain pada pintu perpinda- han pemain yang telah dibuka ketika ini," jelas Hodgson.
Hodgson meninggalkan Anfield sele- pas enam bulan membimbing Liverpool selepas beliau mengambil alih tempat pengendali kelahiran Sepanyol, Rafael Benitez.
Di bawah kendalian Hodgson musim ini, Liverpool telah mengalami sembilan kekalahan dalam saingan liga domestik.
Terbaru, The Reds dimalukan Black- burn Rovers apabila tewas 1-3 di Ewood Park, sekali gus menyaksikan mereka menghuni tangga ke-12.
Dalam pada itu, berita pemecatan Hodgson semalam sudah pastinya mendapat sokongan penuh penyokong-penyokong fanatik Liverpool yang mana sebelum ini mereka mendesak pihak pengurusan kelab melantik Dalglish sebagai pengurus baru.
"Kami cukup bertuah kerana Dalglish bersetuju untuk membimbing kelab ini menjelang pertemuan dengan Manchester United esok (hari ini).
"Dalglish bukan sahaja dilabel seba- gai legenda bola sepak tetapi merupakan antara tiga pengurus Liverpool yang berjaya sebelum ini," kata pemilik Liverpool, John Henry.
Dalglish merupakan individu yang bertanggungjawab ketika membawa skuad The Reds menjulang trofi kejua- raan liga pada 1990.

Sabtu, 8 Januari 2011

KAFA, Cardiff City jalin kerjasama


ANNUAR (tiga dari kanan) ketika melancarkan kad keahlian The Red Warriors di Kota Bharu semalam.


DALAM usaha membentuk sebuah pasukan yang mantap, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan bekerjasama dengan kelab bola sepak England, Cardiff City dalam semua aspek termasuk pengurusan.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, buat permulaan, pihaknya akan meminta bantuan daripada pemilik kelab England itu, Datuk Chan Tien Ghee untuk membantu mereka bentuk stadium baru KAFA.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, hubungan di antara The Red Warriors dengan pasukan yang berada di tangga kedua Divisyen 1 England itu adalah atas dasar persahabatan dan belum ada hubungan secara rasmi lagi.
“Banyak benda yang dapat dipelajari daripada pasukan profesional ini. Saya berharap suatu masa nanti KAFA boleh menghantar pegawai dan pemain untuk menimba ilmu di sana.
“Sekarang kita meminta pertolongan daripada Cardiff untuk mereka bentuk stadium kerana mereka mempunyai stadium bola sepak yang cantik biarpun kecil,” katanya.
Semalam, lebih 1,000 penyokong setia The Red Warriors membanjiri salah satu pusat beli-belah di Kota Bharu untuk melihat dengan lebih dekat pemain-pemain kesayangan mereka.
Selain dapat bertemu pemain, peminat juga dapat melihat Piala Malaysia dan Piala Suzuki AFF yang turut dipamerkan pada majlis itu.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Kelab Cardiff City, Datuk Chan Tien Ghee yang turut melancarkan kad keahlian kelab The Red Warriors.
Paling istimewa anak Tian Ghee, Nicholas Chan yang berusia 18 tahun akan turut memperkuatkan skuad Kelantan musim depan dan dikatakan akan menjadi bintang baru bagi menggantikan bekas kapten pasukan, Indra Putra Mahayuddin yang berhijrah ke T-Team.
Dalam pada itu, Datuk Tien Ghee turut membuat pengumuman mengejut apabila memberikan penajaan sebanyak RM100,000 kepada Kelantan dan berjanji akan membawa pegawai, pemain dan penyokong bertuah ke Cardiff untuk bertemu dengan penyerang sensasinya, Craig Bellamy.
Mengulas mengenai masalah lampu limpah, Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, masalah tersebut akan diselesaikan secepat mungkin sebelum bermulanya perlawanan pertama Liga Super pada 28 Januari ini.
“Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan oleh FAM, kita diarahkan bermain pada sebelah petang sahaja kerana tidak memenuhi syarat-syarat lampu limpah yang ditetapkan.
“Saya difahamkan, pihak kera- jaan negeri telah bersetuju untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin dan ia sedang diusahakan sekarang,” katanya.
Musim 2011 menyaksikan skuad The Red Wrriors membaris- kan sembilan muka baru iaitu K. Soley, Nurul Azuwan Roya, Wan Rohaimi Ismail, Daniel Fadly Abdullah, Khairan Ezuan Rozali, Nicolas Chan, Norhadi Ubaidillah, Muhammad Abdul Aziz Ismail dan Mohd. Khalid Jamlus.

Strategi baru Wenger


WENGER akan melakukan rombakan dalam skuad Arsenal ketika menentang Leeds malam ini.


LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger dijangka menggunakan sistem penggiliran pemain pada aksi pusingan ketiga Piala FA menentang Leeds United malam ini.
Wenger yang memburu trofi pertama sejak tahun 2005 bakal menurunkan pemain berlainan di posisi penyerang.
Selain aksi bertemu Leeds, skuad bimbingan Wenger juga bakal berdepan kelab Kejuaraan Liga, Ipswich Town pada aksi sepa- ruh akhir pertama Piala Liga minggu depan.
Selain itu, Wenger juga mengakui, Arsenal perlu bersiap sedia untuk menghadapi saingan Liga Perdana England dan Liga Juara- Juara bulan depan.
Sebagai permulaan, pengendali dari Perancis itu mengambil keputusan untuk menurunkan barisan pemain muda pada pertemuan menentang Leeds.
Disebabkan itu, Wenger dijangka merehatkan beberapa pemain utamanya seperti Robin van Persie dan Samir Nasri.
Ini bermakna, pemain pertahanan kiri, Kieran Gibbs yang mengalami kecederaan pergelangan kaki bakal membuat penampilan pertama sejak 8 Disember lalu.
Emmanuel Eboue juga akan kembal beraksi bagi menggantikan Bacary Sagna yang digantung perlawa- nan untuk mengemudi benteng pertahanan.
"Kami akan membuat penggiliran," kata Wenger.
"Akan berlaku pertukaran, banyak pertukaran. Berita baik, Kieran akan kembali bermain dan Eboue menggantikan Sagna.
"Saya tidak boleh memberitahu barisan pemain buat masa ini. Saya masih memikirkannya tetapi yang pasti, saya akan membuat pertukaran.
"Saya juga sudah pasti akan merehatkan van Persie dan mungkin Nasri."

Ancelotti mahu terus kekal bimbing Chelsea


ANCELOTTI berdepan kemungkinan dipecat ekoran prestasi hambar Chelsea kebelakangan ini.


LONDON - Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti menegaskan, beliau masih mendapat sokongan daripada barisan pemain The Blues.
Ancelotti juga yakin beliau masih mampu mengubah nasib juara Liga Perdana England itu biarpun masa depannya di Stamford Bridge dilihat semakin goyah.
Ketika ini, peluang Chelsea untuk mempertahankan kejuaraan liga tampak tipis apabila mereka ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, Manchester United yang turut memiliki kelebihan satu perla- wanan.
Namun Ancelotti berkata: "Saya harap saya mampu meneruskannya (tugas sebagai pengurus) kerana saya mahu kekal di sini.
"Saya juga ada hubungan yang baik dengan pihak pengurusan kelab ini. Saya tidak lihat ada banyak masalah dalam skuad ini.
"Mereka semua bekerja keras dengan semangat yang bagus tetapi saya rasa ia masih belum mencukupi.
"Kami perlu lebih fokus ke atas perkara- perkara kecil," jelas beliau.
Ancelotti juga berkata, beliau tidak tahu bilakah pertemuan terdekatnya dengan pemilik Chelsea, Roman Abramovich.
Bagaimanapun, beliau sedar Chelsea perlu mencatat kemenangan ke atas Ipswich dalam kempen Piala FA esok jika mahu me- nyelamatkan kariernya bersama The Blues.
"Saya tidak mempunyai temu janji dengan Roman. Buat masa ini, kami sedang melihat pada perpindahan pemain dan ada beberapa pilihan.
"Ada banyak sebab untuk menerangkan kedudukan kami sekarang. Saya boleh beritahu tetapi ia memerlukan masa yang panjang untuk diterangkan," jelas Ancelotti.
Untuk rekod, bekas jurulatih AC Milan itu menghadiahkan gelaran berganda kepada Chelsea musim lalu.
Kini beliau masih berpeluang dalam tiga kempen termasuk Liga Juara-Juara apabila Chelsea akan berdepan Copenhagen pada pusingan kalah mati bulan depan.