KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Sabtu, 3 Julai 2010

akhirnya tewas jugak pasukan pilihan

PORT ELIZABETH: Impian Brazil memburu kejuaraan keenam Piala Dunia lebur apabila pasukan yang beraksi dengan 10 pemain tumpas 2-1 kepada Belanda pada perlawanan menarik suku akhir, malam tadi.

Skuad kendalian Bert van Marwijk bangkit selepas ketinggalan gol jaringan Robinho pada babak pertama dengan menyumbat dua gol menerusi jaringan sendiri pemain tengah Brazil Felipe Melo dan Wesley Sneijder untuk Belanda melangkah ke separuh akhir bagi mencerahkan peluang meraih kejuaraan pertama selepas dua kali kecewa di pentas akhir.

Brazil memberi amaran awal dengan melancarkan serangan pantas pada minit ke-8 menerusi gerakan Dani Alves di sebelah kiri sebelum mengumpan bola kepada Robinho yang kemudian mudah menolak masuk bola ke gawang Belanda.


Jaringan itu tidak dibenarkan pengadil Yuichi Nishimura, kerana Alves berada di kedudukan ofsaid.


Namun kekecewaan itu pantas ditebus dua minit kemudian apabila hantaran leret dari bahagian tengah Melo dikejar Robinho yang tidak dikawal sebelum merembat menewaskan penjaga gol Maarten Stekelenburg untuk merekod gol kedua peribadi kejohanan Permainan bertambah rancak apabila skuad Brazil kendalian Dunga mula memperagakan aksi ‘joga bonito’ hasil kombinasi serangan Robinho, Kaka, Luis Fabiano dan Alves yang nyata menghiburkan 42,286 penonton di Stadium Nelson Mandela Bay.


Satu-satunya peluang terbaik dihasilkan Belanda pada babak pertama melalui rembatan pemain Liverpool Dirk Kuyt namun berjaya dinafikan penjaga gol Julio Cesar.


Sementara Brazil terus mengancam untuk menambah jaringan bermula dengan percubaan pemain pertahanan Juan di depan kotak pada minit ke-25 melepasi palang gol manakala rembatan lencong pemain perancang Kaka ditepis keluar Stekelenburg enam minit selepas itu.


Belanda menghidupkan kembali peluang apabila memperoleh gol penyamaan pada separuh masa kedua apabila Melo tertanduk bola ke gawang sendiri selepas Cesar gagal mengeluarkan bola sepakan kaki kiri bintang Inter Milan, Sneijder pada minit ke-53.


Penyokong skuad Oranje kemudian terus bersorak gembira apabila Brazil sekali lagi terperangkap dengan gerakan set-piece Belanda. Bermula dengan sepakan sudut Arjen Robben yang ditanduk ke belakang oleh Kuyt sebelum ditanduk masuk Sneijder menggegar gawang Brazil pada minit ke-68.


Laluan Brazil bertambah perit apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Melo dilayangkan kad merah pada minit ke-73 kerana memijak kaki Robben.


Sneijder berpeluang untuk meletakkan pasukannya dalam kedudukan selesa pada minit ke-84 namun sepakan jarak dekatnya mudah ditangkap kemas Cesar

Tiada ulasan: