KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 25 November 2010

Wenger berang keputusan pengadil




LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger (gambar) tiba-tiba mengamuk selepas skuad kendaliannya mengalami mimpi buruk dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Ia gara-gara kekalahan mengejut 0-2 yang dialami skuad The Gunners itu kepada wakil Portugal, Partizan Braga dalam aksi Kumpulan H di Stadium Emirates.
Bagaimanapun, Wenger tidak menyalahkan anak-anak buahnya ekoran kekalahan memalukan itu.
Sebaliknya, Wenger mengkritik mutu pengadilan yang dianggapnya berat sebelah sehingga menyebabkan Braga mampu mencipta kemenangan.
Wenger ternyata berang selepas Arsenal tidak diberikan sepakan penalti biarpun jelas penyerang mudanya, Carlos Vela dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-78.
Belum reda kemarahannya terhadap pengadil perlawanan, Viktor Kassai, Wenger semakin tertekan apabila pasukan pelawat memperoleh dua gol hasil jaringan Matheus Nascimento pada minit ke-83 dan 90.
Kekalahan itu sekali gus menyebabkan Arsenal gagal untuk menempah tiket ke pusingan kalah mati lebih awal kerana terpaksa menunggu sehingga perlawanan terakhir Kumpulan H apabila berdepan kelab Ukraine, Partizan Belgrade.
"Kami seperti dipermainkan di laman sendiri selepas pengadil tidak memberikan sepakan penalti biarpun memang jelas berlaku terjahan ke atas Vela dalam kotak penalti.
"Apa yang membuatkan saya lebih pelik apabila Vela pula yang dilayangkan kad kuning. Mutu pengadilan memang teruk.
"Kini kami perlu menunggu sehingga perlawanan terakhir peringkat kumpulan dan apa lebih penting kami perlu layak ke pusingan kalah mati," jelas Wenger.
Dalam pada itu, perkhabaran kurang gembira terus menyelubungi kem The Gunners apabila bakal kehilangan kapten, Cesc Fabregas dan tonggak pertahanan, Emmanuel Eboue.
Kedua-dua pemain itu dilaporkan mengalami kecederaan dan mereka dijangka berehat untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga ataupun empat minggu

Tiada ulasan: