KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Ahad, 22 Ogos 2010

Ozil jelmaan Zidane


OZIL dianggap permata baru Real Madrid di bawah bimbingan Jose Mourinho.


SPEKULASI mengenai perpindahan bintang muda Jerman, Mesut Ozil akhirnya terjawab apabila dia kini sah menjadi milik kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Tanggal 18 Ogos 2010 menjadi tarikh keramat buat Ozil apabila dia secara rasminya menandatangani kontrak selama enam tahun untuk beraksi di Santiago Bernabeu.

Ozil, 21, dibawa masuk dari kelab Jerman, Werder Bremen dengan yuran perpindahan bernilai £12 juta (RM58.8 juta).

Biarpun belum membuat penampilan bersama Real, perancang antarabangsa Jerman itu diramalkan bakal menjadi aset berharga buat skuad bimbingan Jose Mourinho.

"Dia (Ozil) seorang pemain yang boleh beraksi untuk Real sepanjang tempoh 10 tahun akan datang.

"Kontraknya bersama Bremen hampir tamat dan kami dapat membelinya dengan harga lebih murah daripada pasaran sebenar.

"Dengan kecederaan yang dialami Kaka, saya merasakan Ozil merupakan pemain yang bakal memainkan peranan penting untuk pasukan ini," jelas Mourinho.

Terdahulu, teka-teki mengenai masa depan Ozil mula menjadi persoalan selepas beberapa kelab gergasi Eropah telah menyatakan minat bagi mendapatkan khidmat Ozil.

Antara kelab-kelab yang telah menyatakan minat bagi mendapatkan Ozil termasuklah dua kelab gergasi England, Manchester United dan Chelsea.

Ia ekoran prestasi menakjubkan yang dipamerkan Ozil ketika membantu Jerman mengharungi kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan bulan lalu.

Disebabkan aksi hebatnya itu, Ozil turut dijulang sebagai wira biarpun skuad Die Mannschaft sekadar menamatkan saingan pada kempen Piala Dunia 2010 di tempat ketiga.

Ozil dilihat sebagai nadi utama kepada jaringan gol Jerman pada kempen di Afrika Selatan itu menerusi gerakan-gerakan menarik dari bahagian tengah.

Memiliki kebolehan mengawal bola dengan baik, Ozil sememangnya bijak dalam mengatur serangan ke kubu pertahanan pihak lawan.

Ternyata setiap gerak-geri Ozil sukar dibaca menerusi kelibatnya yang mampu beraksi di segenap sudut padang.

Menjadikan bekas legenda bola sepak Perancis, Zinedine Zidane sebagai idolanya, Ozil kini berazam untuk membantu Real mencipta lebih banyak kejayaan selepas ini.

Malah, ada segelintir pihak yang menganggap kualiti serta bakat yang dimiliki Ozil tidak jauh bezanya seperti Zidane yang pernah menyarung jersi Real selama lima musim sejak 2001 hingga 2006.

"Jika benar ada yang mengatakan sedemikian rupa, saya anggapnya sebagai satu pujian kerana Zidane sudah menjadi idola saya sejak daripada kecil lagi.

"Sebagai seorang kanak-kanak pada ketika itu, saya sekadar berpeluang menyaksikan persembahannya di televisyen ataupun video.

ZIDANE pernah mengharumkan nama Real Madrid suatu ketika dahulu.


"Segala gerak-geri serta skil yang dimiliki Zidane akan saya cuba praktikkan kerana saya mahu menjadi pemain terbaik sepertinya," kata Ozil.

Jika Zidane menamatkan kariernya pada 2006 dengan menjulang trofi Piala Dunia 1998 di Perancis, lain pula ceritanya dengan Ozil.

Ini kerana, Ozil kariernya ditamatkan dengan menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama Real.

"Tidak kiralah apa jua trofi sekalipun sama ada Liga Juara-Juara atapun sebaliknya, yang pasti saya sememangnya dahagakan kejuaraan.

"Sebab itu, saya membuat keputusan untuk menyarung jersi Real kerana saya yakin mereka memiliki sebuah pasukan yang hebat bagi merealisasikan impian saya itu," katanya lagi.

Mengimbas kembali detik permulaan Ozil selaku pemain bola sepak, dia memulakan aksinya dalam saingan liga profesional dengan menyarung jersi kelab Turki, Schalke 04.

Ketika itu dia baru berusia 17 tahun, namun kematangan yang ditunjukkannya sepanjang beraksi bersama kelab tersebut telah membuktikan bahawa dia mampu menyinar suatu masa nanti.

Selepas dua musim menimba pengalaman bersama Schalke 04, Ozil mula mencuri perhatian dan kali ini kelab negara asalnya, Werder Bremen pula menjadi destinasi terbaru.

Dengan yuran perpindahan bernilai £3.5 juta (RM17 juta), Ozil sah menjadi milik Bremen apabila menandatangani kontrak pada 31 Januari 2008 sehingga 30 Jun 2011.

Namun 'jangka hayat' Ozil bersama Bremen tidak panjang apabila dia membuat keputusan menyertai The Galacticoc musim ini

Tiada ulasan: