KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Rabu, 12 Januari 2011

Messi terbaik dunia


ZURICH: Aksi memukau Lionel Messi (gambar) bersama Barcelona mengatasi kegagalannya di Piala Dunia apabila berjaya memikat juri yang memilih penyerang Argentina itu sebagai Pemain Terbaik Dunia 2010.
Messi menang anugerah Fifa buat kali kedua berturut-turut awal pagi semalam mengatasi dua lagi rakan sepasukan dari Barcelona, Andres Iniesta dan Xavi Hernandez.

“Hari ini amat istimewa buat saya,” kata Messi ketika memberi ucapan selepas menerima anugerah pada malam gala Fifa.
Messi, 23, meledak 58 gol tahun lalu membantu Barcelona mempertahankan kejuaraan La Liga dan mendahului musim ini. Bagaimanapun, dia gagal menjaringkan sebarang gol di Afrika Selatan menyaksikan Argentina tersingkir di suku akhir. Sebaliknya Iniesta dan Xavi menyinar ketika membantu Sepanyol muncul juara.

“Saya tidak jangka menang hari ini,” kata Messi. “Saya sudah cukup gembira dapat berada di sini bersama rakan dan lebih gembira lagi apabila diumum pemenang.” Messi mendapat 22.65 peratus undian daripada sejumlah jurulatih dan kapten pasukan kebangsaan termasuk beberapa wartawan jemputan. Senarai asal calon bagi anugerah itu adalah 23 orang. Iniesta di tempat kedua dengan 17.23 peratus diikuti Xavi 16.48 ketiga buat tahun kedua berturut-turut.

Semua tiga calon adalah bakat yang diasah akademi remaja La Masia di Barcelona.
Sepanjang 20 tahun, Barca menyumbang lapan pemain terbaik dalam sejarah kemasyhuran Fifa. Messi mengikut jejak bekas pemain antarabangsa Brazil, Romario (1994), Ronaldo (1996 dan 97), Rivaldo (1999) dan Ronaldinho (2004 dan 05).

Tahun ini anugerah itu diberi nama baru selepas Fifa menggabungkan anugerah pemain dunia dengan trofi Ballon d’Or yang memilih pemain terbaik di Eropah menerusi Majalah Bola Sepak Perancis sejak 1956.
Jose Mourinho pula menerima anugerah jurulatih terbaik selepas menjulang Inter Milan menjuarai tiga trofi termasuk Liga Juara-Juara.

Mourinho menewaskan Vicente del Bosque yang membawa Sepanyol memenangi Piala Dunia dan Pep Guardiola dari Barcelona untuk menerima penghormatan itu. Jurulatih kelahiran Portugal itu membawa Inter menjulang kejuaraan Serie A Coppa Italia dan Liga Juara-Juara.

“Paling penting buat saya adalah mengumpul banyak gelaran, bukan anugerah individu,” kata Mourinho.

Penyerang Brazil, Marta pula menerima anugerah Pemain Terbaik Wanita buat tahun kelima berturut-turut menewaskan pemenang tiga kali dari Jerman, Birgit Prinz dan pemain baru dari Kosovo, Lira Bajramaj.

Marta terpilih selepas mempamer aksi hebat dalam Liga Profesional Wanita Amerika Syarikat (AS) bersama pasukan juara, Gold Pride. Dia kini ejen bebas selepas kelab Santa Clara di California itu dibubar.

Tiada ulasan: