KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Selasa, 4 Januari 2011

Rumah untuk Khairul Fahmi


MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (kiri) menyampaikan cenderamata kepada penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atas kejayaannya mengharumkan nama Kelantan dan negara.

PENJAGA gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menerima khabar gembira apabila Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan pemberian hadiah berupa sebuah rumah ekoran kecemerlangannya membantu Malaysia muncul juara pada Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 yang berakhir di Jakarta minggu lalu.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri bangga atas kecemerlangan anak muda itu membantu skuad kebangsaan muncul juara pada kejohanan tersebut.
Menurut beliau, sebagai mengenang budi dan menghargai jasanya yang berbakti melalui bola sepak, kerajaan negeri memutuskan untuk menghadiahkan sebuah rumah kepada Khairul Fahmi.
"Kita akan tetap beri hadiah. Itu kenyataan saya (pemberian sebuah rumah) dan segala butiran mengenai pemberian hadiah tersebut akan dilaksanakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Abdul Fattah Mahmood.
"Lokasi dan nilai rumah tersebut belum ditentukan. Bila kita menang bola sepak, kita dapat medal. Hadiah medal ini orang berebut satu dunia.
"Oleh itu, berapa nilai sesuatu hadiah ini sebenarnya tidak penting," katanya kepada pemberita selepas meraikan wira negara itu di Kota Bharu semalam.
Pada majlis itu, lebih 3,000 peminat dan penduduk kampung membanjiri sekitar kampung Cherang dekat Kota Bharu untuk menyambut kepulangan wira negara itu.
Khairul Fahmi yang menaiki kereta pacuan empat roda diiringi oleh 40 buah motosikal, tiba di kampung kelahirannya kira-kira pukul 12.20 tengah hari.
Ketibaanya disambut oleh kedua ibu bapanya, Che Mat Hussain dan Bidah Ibrahim.
Terdahulu dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz turut memberitahu bahawa bersukan merupakan suatu riadah yang sangat dituntut dalam agama Islam.
"Kita perlu seimbangkan antara tuntutan dunia dan akhirat. Bersukan boleh tetapi kita jangan lupa solat. Solat membentuk keperibadian akhlak yang mulia. Kita jangan terlibat dalam gejala najis dadah.
"Nabi kita dahulu pun bersukan juga. Masa saya berumur 11 tahun ketika zaman perang Jepun, saya menunggang kuda dengan beberapa adik-beradik dan kemudian saya menang," ujarnya.
Tambahnya, kerana terlampau gembira, beliau mengangkat kedua-dua tangan dan secara tiba-tiba seekor biawak melintas.
"Lalu kuda yang saya tunggangi itu pun terkejut dan saya pun jatuh. Sampai sekarang kesakitan itu masih terasa," jelasnya
Nik Abdul Aziz turut memberi nasihat kepada bintang muda itu agar jangan mudah lupa diri setelah dijulang sebagai wira bola sepak negara.
"Dia masih muda dan perlu menjaga diri dengan baik. Dengan bakat yang ada, dia boleh menonjol sampai bila-bila. Kita menghargai bakat dia serta keluarga dia, sebab itu kita berjanji nak beri hadiah rumah kepadanya," katanya.
Kejayaan skuad negara muncul juara kejohanan itu telah mengakhiri penantian sejak 14 tahun lalu.

Tiada ulasan: