KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Sabtu, 22 Januari 2011

Liverpool kemaruk cari kemenangan

LIVERPOOL - Kenny Dalglish (gambar) tidak kisah sekiranya Liverpool gagal beraksi cantik ketika berdepan Wolves malam ini asalkan skuad bimbingannya itu berjaya mengutip tiga mata penuh.

Pengurus baru Liverpool itu begitu dahagakan kemenangan demi menamatkan badi kekecewaan sejak mengambil alih pasukan tersebut awal bulan ini.
Liverpool kini berada di tangga ke-13 liga dan hanya empat mata dipisahkan daripada zon penyingkiran.
"Memang kemenangan cukup penting. Biarlah kami beraksi teruk dan hanya menang 1-0 tetapi bagi saya, ia tetap satu keputusan yang baik buat semua di kelab ini.
"Jika para pemain terus melakukan tugas yang sepatutnya mereka lakukan, kejayaan pasti akan datang," kata Dalglish.
Wolves pernah mengejutkan Liverpool menerusi kemenangan tipis 1-0 di Anfield bulan lalu yang menjadi titik tolak kepada pemecatan Roy Hodgson sebagai pengurus kelab itu.
Liverpool kini semakin hampir untuk mendapatkan khidmat penyerang Uruguay, Luis Suarez daripada Ajax manakala bekas pertahanan kiri mereka yang kini beraksi bersama Aston Villa, Stephen Warnock turut sedang diintai.
Dalglish dijangka terus mempertaruhkan skuad yang seri 2-2 dengan Everton minggu lalu selepas Jamie Carragher masih belum pulih daripada kecederaan bahu.
Sementara itu, Wolves yang dibimbing Mick McCarthy kini menduduki tangga kedua tercorot liga bakal mempertaruhkan pemain baru dari Barnsley, Adam Hammill yang pernah memulakan karier di Liverpool.
"Wolves sebuah kelab yang baik dan saya gembira kerana diberi peluang untuk mencuba nasib dalam saingan Liga Perdana England.
"Saya suka mencuba sesuatu yang baru dan saya kini sudah pun menjaringkan lapan gol musim ini sepanjang bersama Barnsley dalam saingan Liga Kejuaraan," kata Hammill.

City waspada kelibat Bent




MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini memberi amaran kepada anak-anak buahnya bahawa kehadiran Darren Bent (gambar) bakal memberikan semangat baru buat Aston Villa pada pertembungan awal pagi esok.
City di tangga kedua ketika ini bertandang ke Villa Park untuk berdepan skuad bimbingan Gerard Houllier yang kini terperosok di tangga ke-17 liga.
Namun Villa mendapat nafas baru selepas Houllier berjaya membeli Bent daripada Sunderland awal minggu lalu.
"Bent seorang penyerang yang hebat. Dia telah banyak menjaringkan gol. Pasti dengan kehadirannya, Villa bakal meningkat persembahan mereka.
"Bent telah menjaringkan purata satu gol setiap dua perlawanan. Jadi dia seorang yang berbahaya," kata Mancini.
Pengurus City itu turut mengulas mengenai pergolakan yang berlaku di Villa tetap masih beranggapan Houiller, bekas pengurus Liverpool mampu mengubah nasib kelab itu.
"Mereka telah menukar pengurus. Jadi ia pasti bermula dengan sukar. Tapi Houllier memiliki pengalaman yang mampu dimanfaatkan pasukan tersebut.
"Villa sama seperti Liverpool. Mereka cuma sedang menghadapi tempoh sukar pada ketika ini," jelasnya.
Pada aksi awal pagi esok, Mancini tidak dapat menurunkan Mario Balotelli setelah penyerang Itali itu terbang ke Amerika Syarikat untuk merawat kecederaan lututnya.
Sementara itu, Bent berkata, dia memiliki memori indah apabila menjaringkan gol kemenangan Sunderland ketika bertemu City awal musim ini dan berhajat mengulanginya bersama pasukan baru.
"Saya berjaya menewaskan Joe Hart menerusi sepakan penalti ketika Sunderland menang perlawanan itu. Jadi bersama pasukan baru ini, saya begitu teruja untuk mencatat permulaan yang baik," kata Bent. 

Khamis, 20 Januari 2011

Benteng City rapuh


TEVEZ tetap diberi pujian meskipun dia gagal menyempurnakan sepakan penalti buat kali kedua berturut-turut awal pagi semalam.


LONDON - Roberto Mancini mengakui kerapuhan benteng pertahanan Manchester City akan menyebabkan mereka terlepas beberapa gelaran utama musim ini.
Buat kali kedua berturut-turut pertahanan City kelihatan rapuh selepas dibolosi dua gol ketika menewaskan Leicester 4-2 pada pusingan ketiga Piala FA awal pagi semalam.
Selepas memboloskan gol ketujuh dalam tiga perlawanan dan Carlos Tevez gagal menyempurnakan sepakan penalti, sekali gus membolehkan Leicester merapatkan kedudukan 3-2, Mancini memberi amaran kepada para pemainnya.
"Pada mulanya, kami ingat perlawanan ini telah berakhir tetapi kemudian gawang kami dibolosi," kata Mancini.
"Saya tidak sukakannya. Ia memang memberi keterujaan kepada peminat tetapi saya lebih suka kalau kami menang 4-1, 1-0 atau 2-0.
"Jika kamu tidak terlepas banyak gol, maka pada hujung musim ini kamu sudah pasti akan memenangi sesuatu. Jadi kami perlu perbaiki lagi kelemahan ini. Semuanya mengenai konsentrasi.
"Dalam tiga perlawanan terakhir, benteng pertahanan kami agak rapuh. Kami harus tingkatkan lagi kualiti di posisi ini kerana kami dibolosi banyak gol dan perlu berusaha keras memperbaikinya."
Pada perlawanan tersebut, Tevez membuka jaringan buat City sebelum Paul Gallagher menyamakan kedudukan menerusi penalti.
Dua jaringan berturut-turut menerusi Patrick Vieira dan Adam Johnson meletakkan City selesa 3-1 di depan.
Namun apabila Tevez gagal menyempurnakan penalti, Lloyd Dyer mencerahkan peluang buat Leicester dengan jaringan pada minit ke-83 sebelum Aleksandar Kolarov meledakkan gol pada lewat permainan untuk menjamin kemenangan City.
Mancini turut memuji kaptennya, Tevez meskipun dia gagal menyempurnakan penalti buat kali kedua berturut-turut.
Penyerang Argentina itu telah meledakkan enam gol dalam enam perlawanan sejak mengumumkan niatnya meninggalkan kelab itu Disember lepas.
"Carlos pemain yang heba. Dia seorang pemain yang mampu melakukan apa saja. Satu-satunya perkara yang dia gagal buat ketika ini ialah menyempurnakan penalti," kata Mancini.

Rabu, 19 Januari 2011

Evra bangga rentak United




LONDON - Tonggak pertahanan Manchester United, Patrice Evra menganggap seluruh warga England 'memusuhi' kelab itu.
Begitupun, Evra percaya ia tidak akan menjejaskan tumpuan barisan pemain skuad The Red Devilsuntuk menjulang trofi kejuaraan Liga Perdana England musim ini.
Keputusan seri 2-2 yang dicatatkan United ketika pertemuan menentang Tottenham Hotspur Ahad lalu telah membolehkan mereka merampas semula kedudukan selaku pendahulu liga.
Sekalipun terpaksa berkongsi 45 mata dengan Manchester City yang menghuni tangga kedua, The Red Devils lebih layak berada di puncak liga berdasarkan jumlah jaringan gol.
"Seluruh warga England pastinya sedang memusuhi kami. Mereka semuanya mahu melihat kami tewas.
"Untuk mengekalkan rekod tanpa kalah kami musim ini merupakan satu cabaran yang hebat tetapi apa yang lebih penting adalah kami menjadi juara liga," jelas Evra.
Selain menjadi pendahulu liga, United tampil dengan aksi penuh konsisten apabila masih mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam 25 perlawanan liga.
Pada awalnya, ramai menjangkakan anak-anak buah Alex Ferguson akan tewas di tangan Spurs, namun andaian tersebut ternyata meleset sama sekali.
Kekebalan benteng pertahanan United yang dibarisi Evra, Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic ternyata menakjubkan.
"Ferguson sangat berpuas hati dengan barisan pertahanan kami.
"Ferdinand serta Vidic telah melaksanakan tugas mereka dengan baik sekali dan berjaya memenangi banyak bola di udara.
"Semua pemain telah mempamerkan aksi terbaik mereka," kata Evra yang juga tonggak skuad Perancis.

Wenger bakar semangat Arsenal


WENGER (dua dari kanan) berharap para pemain Arsenal bangkit daripada prestasi tidak menentu musim ini.


LEEDS - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berharap anak-anak buahnya kembali bangkit daripada prestasi tidak menentu apabila berkunjung ke Elland Road untuk berdepan Leeds United pada aksi ulangan pusingan ketiga Piala FA awal pagi esok.
Selepas sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 di Emirates minggu lalu, kedua-dua kelab tersebut terpaksa turun beraksi sekali lagi bagi mengesahkan slot ke pusingan berikutnya.
Pada aksi di Emirates minggu lalu, kapten Arsenal, Cesc Fabregas muncul wira apabila menyelamatkan maruah skuad The Gunners itu apabila menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan penalti pada lewat perlawanan.
Prestasi tidak menentu anak-anak buah Wenger ternyata memakan diri mereka sendiri apabila tewas 0-1 kepada Ipswich Town pada saingan Piala Liga baru-baru ini.
Disebabkan itu, Wenger mahu barisan pemainnya kembali fokus dalam setiap perlawanan kerana dia menganggap kempen Piala FA, Piala Liga dan Liga Perdana England merupakan tiga saingan yang berbeza.
"Kejayaan kami bakal bergantung terhadap fokus pemain-pemain dalam saingan yang berbeza-beza.
"Saya percaya, kami memiliki segala kualiti yang diperlukan untuk layak ke pusingan berikutnya tidak kiralah apa jua keputusan yang saya lakukan Rabu ini (awal pagi esok).
"Kami gagal untuk memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri pada pertemuan dengan Leeds minggu lalu dan kini tidak ada alasan mengapa kami perlu mengaku kalah," jelas Wenger.
Sementara itu, pengurus Leeds, Simon Grayson telah bekerja keras bagi memastikan anak-anak buahnya kekal fokus dan berharap mereka mampu tampil dengan aksi yang sama ketika pertemuan minggu lalu.
"Tidak kiralah apa yang akan berlaku, kami akan bekerja keras bagi menewaskan Arsenal.
"Sekiranya berjaya, ia pasti akan menjanjikan kepuasan yang tidak terhingga apabila kami menewaskan salah sebuah kelab yang hebat," katanya.

Selasa, 18 Januari 2011

Berpijak Dibumi Yang Nyata

KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan mahu peminat bola sepak Kelantan berpijak dibumi yang nyata dan tidak terlalu mengharapkan keajaiban daripada pemain baru, Nicholas Chan yang pernah berkelana menimba pengalaman berlatih dengan beberapa kelab luar negara sebelum ini.
Sathianathan berkata, sebagai pemain yang baru melaporkan diri menjalani latihan bersama skuad Kelantan, Nicholas Chan perlu diberi sedikit masa bagi membolehkan dia dapat menyesuaikan diri dengan suasana dan persekitaran dalam skuad Kelantan.
“Dia baru sahaja menjalani latihan bersama kita petang kelmarin. Kita kena tahu dia baru berusia 19 tahun dan dia perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Memang dia cukup berbakat tapi kita janganlah samakan dia dengan pemain yang hebat seperti Lionel Messi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.
“Dia pemain yang biasa tetapi mempunyai bakat untuk pergi lebih jauh pada masa akan datang. Saya harap dia dapat menyesuaikan diri dalam skuad. Daripada apa yang saya lihat semalam berdasarkan diposisi yang dia beraksi, dia menunjukkan satu bakat yang berbeza.
“Dia lain daripada yang lain termasuk daripada segi kawalan bola dan juga membuat hantaran. Saya berharap dia dapat menyesuaikan diri dengan skuad dalam masa yang singkat. Tapi kita jangan minta berlebih-lebihan daripada dia walaupun dia pernah bermain dekat luar sebelum ini kerana dia bukan Superman,” katanya.
Menurut Sathianathan, setiap pemain bola sepak perlu mengambil masa dan sebagai pemain yang masih muda, para peminat seharusnya memberi masa dan ruang kepada Nicholas Chan untuk membuktikan kemahirannya yang tersendiri.
“Lainlah kalau kita mengambil awang import yang purata umur 26 hingga 27 tahun sudah tentu kita mengharap mereka mempunyai keupayaan lebih hebat daripada pemain tempatan. Dia adalah pemain tempatan cuma kelebihannya dia ada pengalaman berlatih dengan Akademi West Ham dan Akademi Cardiff City.
“Itu hanya pengalaman berlatih jadi saya berharap dia akan meneruskan latihan dan saya akan pantau perkembangan dia dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini. Saya akan menguji dia sepertimana pemain lain. Dia bukan pemain istimewa dan semua pemain akan diberi peluang dan terpulang kepada dia untuk merebut peluang tersebut,” katanya.
Nicholas Chan merupakan pemain yang didaftarkan dalam skuad Piala Presiden Kelantan musim ini tetapi dinaiktaraf untuk menjalani latihan bersama-sama dengan skuad Liga Super Kelantan.

Barca enggan dibuai selesa


DAVID VILLA


MADRID - Barcelona kini mengatasi pencabar terdekatnya, Real Madrid dengan kelebihan empat mata selaku pendahulu Liga Sepanyol. Awal pagi semalam, kelab Catalan itu meraih tiga lagi mata berharga selepas mudah membenam Malaga 4-1 manakala Real sekadar seri 1-1 dengan Almeria.
Selesa mendahului 3-0 menerusi jaringan Andres Iniesta pada minit kelapan, David Villa (18) dan Pedro (36), Malaga merapatkan kedudukan hasil ledakan Duda (68).
Bagaimanapun, Villa mengakhiri sisa-sisa perjuangan Malaga apabila meledak gol keempat Barca pada minit ke-74.
"Adalah tidak wajar untuk terlalu berbicara tentang jurang empat mata ini kerana pada peringkat ini ia bukanlah sesuatu yang besar.
"Saingan liga masih panjang dan kami juga berkemungkinan boleh tercicir mata. Apa pun kami akan terus mengambil risiko untuk beraksi dengan gaya permainan kami ini.
"Adalah penting untuk kami terus bekerja keras dan memberi fokus terhadap perlawanan kami," kata jurulatih Barca, Pep Guardiola.
Sementara itu, jaringan Esteban Granero pada minit ke-77 menyelamatkan Real daripada mengalami kekalahan setelah mereka ketinggalan menerusi Jose Ulloa pada minit ke-60.
Ternyata Real begitu merasai ketiadaan penyerang mereka, Gonzalo Higuain yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan.
"Kami keciciran dua mata tetapi secara keseluruhannya, kami telah melakukan yang terbaik sepanjang separuh pertama saingan musim ini.
"Kami masih mahu muncul juara liga dan bukan semata-mata mencari keputusan terbaik.
"Jadi kita perlu tunggu dan lihat apa yang akan berlaku bermula dari sekarang," kata jurulatih Real, Jose Mourinho.
Pengendali Real itu turut berang dengan pengadil perlawanan yang tidak memberikan sepakan penalti kepada pasukannya.
"Saya harap (pengadil) Perez Lasa tidak akan dipilih mengadili perlawanan kami lagi selepas ini dan juga perlawanan Barcelona. Saya kenal dia sejak 1996 dan untuk 2011, dia tetap Lasa yang sama," ujarnya. 

United konsisten


PENGADIL Mike Dean melayangkan kad kuning kepada Rafael ketika United menentang Spurs awal pagi semalam.


LONDON - Sekalipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain, Manchester United masih mampu tampil dengan aksi penuh konsisten. Ia terbukti apabila skuad kendalian Alex Ferguson itu mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dengan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana England awal pagi semalam.
Keputusan itu sekali gus meyakinkan Ferguson bahawa anak-anak buahnya memiliki kekuatan mental yang tinggi bagi menjulang trofi kejuaraan liga musim ini.
Pada aksi yang berlangsung di White Hart Lane itu, skuad The Red Devils terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas tonggak pertahanan, Rafael da Silva dilayangkan kad merah ekoran menerima kad kuning kedua pada minit ke-74.
Bagaimanapun, situasi tersebut sedikit pun tidak menjejaskan tumpuan United yang kini merampas semula kedudukan selaku pendahulu liga.
Walaupun berkongsi 45 mata dengan Manchester City yang menghuni tangga kedua, United lebih layak berada di puncak liga berdasarkan jumlah jaringan gol.
Masih memiliki kelebihan dua perlawanan iaitu menentang Chelsea dan Blackpool, Ferguson percaya skuad kendaliannya mampu muncul selaku juara liga jika anak-anak buahnya terus tampil dengan aksi yang lebih konsisten.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, siapa yang bakal bergelar juara liga hanya akan diketahui pada penghujung saingan musim ini.
"Kesemua lima kelab teratas liga dilihat memiliki peluang yang sama rata untuk muncul selaku juara termasuk Spurs.
"Kami perlu mencatatkan kemenangan pada dua perlawanan yang menjadi kelebihan buat kami iaitu menentang Chelsea pada 1 Mac depan dan Blackpool yang kini dilihat semakin konsisten," jelas Ferguson.
Dalam pada itu, Ferguson ternyata kurang senang dengan tindakan pengadil perlawanan yang melayangkan kad merah kepada Rafael.
"Saya tidak mahu berbicara mengenai perkara ini kerana kamu sendiri boleh menilainya," kata Ferguson.
Pengurus Spurs, Harry Redknapp turut sependapat dengan Ferguson apabila dia menganggap Rafael menjadi mangsa keadaan dan tidak bernasib baik. 

Azidan berkorban demi Selangor


AZIDAN tampil dengan imej baru apabila menyarung jersi Selangor dalam saingan Liga Super musim ini.


BEKAS kapten Kuala Lumpur, Azidan Sarudin melakukan pengorbanan terbesar apabila meninggalkan pasukan yang diwakilinya sejak zaman remaja itu demi meningkatkan karier bola sepaknya, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Azidan yang bakal mencecah usia 25 tahun pada 31 Mei depan kini menyarung jersi Selangor untuk saingan Liga Super 2011.
Tidak cukup dengan itu, beberapa hari lalu, anak jati Kuala Lumpur itu membuat satu lagi pengorbanan apabila memotong rambut panjang yang menjadi identitinya sejak bergelar pemain profesional.
"Jurulatih (K. Devan) menyuruh saya dan Saiful Amar Sudar supaya kami potong rambut. Secara kebetulan memang saya nak potong rambut pun untuk menampilkan pembaharuan.
"Sebenarnya sejak berusia 20 tahun, saya memang sentiasa berimej rambut panjang dan inilah pertama kali saya tampil dengan rambut pendek. Harap ia mendatangkan tuah," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Azidan merupakan enam pemain baru yang diambil Selangor musim ini selain Saiful Amar, Fadzli Saari, Yosri Derma Raju, S. Sritharan dan K. Depan Sakwati.
Majlis memperkenalkan barisan pemain baru ini berserta baki 17 pemain Selangor lain bagi musim 2011 akan diadakan di Stadium Shah Alam petang ini sempena dengan pelancaran jersi dengan penaja baru, Kappa.
"Memang sayang tinggalkan Kuala Lumpur. Tapi saya nak cari angin baru, mahu mengembangkan karier dan mematangkan tahap permainan bersama pasukan baru.
"Biarpun di Selangor ini saya perlu bersaing merebut posisi tengah bersama Amri Yahyah, Hardi Jaafar, Safiq Rahim dan Fazilidin Khalid, saya anggap ini persaingan sihat dan sesuatu yang positif.
"Tekad saya bersama Selangor ialah mahu memberikan yang terbaik setiap kali diberi peluang beraksi selain menamatkan kemarau tanpa piala sejak beraksi dalam Liga Malaysia," jelas Azidan.
Menjelang sepak mula Liga Super bertemu Kelantan pada 29 Januari ini, Selangor bakal mengadakan dua lagi aksi persahabatan bertemu Sime Darby esok dan kelab Singapura, Sengkang Punggol Sabtu ini, kedua-duanya di Stadium Shah Alam bermula 8 malam.

Isnin, 17 Januari 2011

Dalglish buntu cari kemenangan


MEIRELES (kanan) diraikan rakan-rakan sepasukannya selepas menjaringkan gol pertama Liverpool ketika menentang Everton semalam.


LIVERPOOL - Kenny Dalg- lish masih gagal menjelmakan kemenangan pertama buat Liverpool apabila anak buahnya hanya mampu seri 2-2 dengan jiran setempat, Everton pada perlawanan Liga Perdana England di Anfield semalam.
Walaupun mendahului hasil permainan meyakinkan di babak pertama menerusi jaringan Raul Meire- les pada minit ke-29, Liverpool tiba-tiba dikejutkan dengan kebangkitan mendadak Everton di babak kedua.
Dengan hanya memerlukan tidak sampai seminit sebaik permainan bersambung untuk menyamakan kedudukan menerusi Sylvian Distin pada minit ke-46, Everton terus mendapat semangat baru apabila memperoleh gol kedua menerusi Jermaine Beckford (52).
Gol tersebut membuatkan Liverpool tersentak seketika sebelum berjaya mengikat semula kedudukan hasil sepakan penalti Dirk Kuyt pada minit ke-68.
Pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas penjaga gol Everton, Tim Howard mengasari Maxi Rodriguez di dalam kotak penalti.
Ini merupakan keputusan seri pertama buat Dalglish sejak mengambil alih jawatan sebagai pengendali dari- pada Roy Hogdson minggu lalu.
Sebelum ini, Liverpool di bawah 'King Kenny' tewas dua kali. Pertama tewas 0-1 kepada Manchester United dalam saingan ketiga Piala FA dan 1-2 ketika berkunjung ke Blackpool, Rabu lalu.
Sementara itu, jaringan penyamaan masa kecederaan Asamoah Gyan membantu Sunderland mengikat Newcastle 1-1.
Newcastle mendahului Sunderland pada pertemuan di Stadium of Light itu menerusi jaringan Kevin Nolan pada minit ke-52.
Begitupun, Gyan muncul penyelamat apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan berpunca daripada kesi- lapan penjaga gol Newcastle, Steve Harper untuk mengikat kedudukan 1-1.
Dalam satu lagi perlawanan, Birmingham dan Aston Villa sekadar seri 1-1.

Mancini sanjung tinggi Tevez

MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini memuji aksi yang dipamerkan kapten, Carlos Tevez.
Ini kerana, dua jaringan yang dilakukan bintang Argentina itu ketika membantu City mencatatkan kemenangan 4-3 ke atas Wolverhampton Wande- rers dalam saingan Liga Perdana England kelmarin sangat bermakna buat kelab tersebut.
Dengan kemenangan itu, City sekali gus telah berjaya meram- pas kedudukan selaku pendahulu liga daripada Manchester United apabila mengumpul 45 mata.
Bagaimanapun, United dijangka kembali merampas takhta liga sekiranya berjaya mencatatkan kemenangan ke atas Tottenham Hotspur awal pagi tadi.
"Saya sangat gembira kerana dia (Tevez) berjaya menjaringkan dua gol yang menakjubkan.
"Pada awalnya, saya merasa- kan ia bakal menjadi perlawanan yang sukar buat kami dan saya telah mengingatkan pemain-pemain saya.
"Saya lihat permainan kami pada 20 minit pertama tidak seperti yang diharapkan dan Wolves berjaya memberi tekanan kepada kami sehingga berjaya menjaringkan gol pertama mereka.
"Namun, kami berjaya menjaringkan gol penyamaan dan mendahului perlawanan.
"Ketika itu, saya anggap perlawanan telah tamat tetapi jangkaan saya meleset apabila Wolves dilihat cuba untuk kembali bangkit," jelas Mancini.
Pada aksi di Stadium of Manchester itu, Wolves mengejutkan City apabila membuka tirai jari- ngan seawal minit ke-12 sebelum Kalou Toure menyamakan kedu- dukan lima minit sebelum babak pertama berakhir.
Tevez meletakkan City di depan selepas meledak gol kedua sebaik babak kedua bermula sebelum Yaya Toure menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-54.
Tevez sekali lagi menggegarkan gawang Wolves apabila meledak gol keempat City pada minit ke-66.
Sekalipun ketinggalan 1-4, aksi yang dipamerkan Wolves wajar diberikan pujian apabila berjaya memperoleh dua gol menerusi Kevin Doyle dan Ronald Zubar masing-masing pada minit ke-68 dan 86.
Diminta mengulas mengenai penampilan pertama penyerang barunya, Edin Dzeko, Mancini berkata: "Dia beraksi dengan begitu baik sekali.
"Ini merupakan perlawanan pertamanya selepas 30 hari bersama pasukan barunya tetapi dia memang beraksi dengan baik.
"Dia masih memerlukan masa untuk beraksi pada tahap sebenarnya, namun dia telah menunjukkan bahawa dia sememangnya seorang pemain yang berkualiti," kata Mancini.
Dzeko yang juga penyerang antarabangsa Bosnia dibawa masuk ke Eastlands dari kelab Jerman, Wolfsburg dengan yuran perpindahan bernilai £27 juta (RM131.1 juta).

Ahad, 16 Januari 2011

Bale kembali menghantui Ferguson


BALE boleh memusnahkan impian United malam ini.


LONDON - Alex Ferguson bimbang kegagalannya mendapatkan Gareth Bale empat tahun lalu akan kembali menghantuinya malam ini.
Pengurus Manchester United itu cuba mendapatkan pemain sayap Wales itu ketika dia bersama Southampton pada 2007.
Namun Tottenham lebih bernasib baik apabila berjaya mendapatkan Bale, 21, dengan harga £5 juta (RM24.3 juta)
Sejak itu, Bale terus muncul sebagai antara pemain muda paling menyerlah di Eropah sehingga prestasi hebatnya dalam kempen Liga Perdana England dan Liga Juara-Juara musim ini menyaksikan harganya mencecah £40 juta (RM194.3 juta).
Malam ini, pemain sayap itu mampu menamatkan rekod tanpa kalah United musim ini apabila The Red Devils akan berkunjung ke White Hart Lane dalam aksi Liga Perdana England.
Ferguson berkata: "Kami cuba mendapatkannya ketika dia berusia 16 atau 17 tahun. Tetapi ia tidak pernah berjaya.
"Bale mempunyai kepantasan yang menakjubkan dan dia juga mampu membuat hantaran lintang yang baik.
"Dia banyak memberi sumbangan kepada Spurs musim ini. Tetapi Spurs juga mempunyai Luca Modric, Rafael van der Vaart dan Aaron Lennon, jadi mereka ada beberapa pemain yang bagus."
Meskipun van der Vaart yang dibeli dari Real Madrid lebih banyak menarik tumpuan media di England musim ini, namun Ferguson tetap menganggap Bale sebagai pemain terbaik dalam pasukan Spurs.
"Van der Vaart telah memberi Spurs satu semangat baru yang tidak pernah dimiliki Harry daripada mana-mana pemain perancangnya," kata Ferguson.
"Saya tahu kita juga boleh menganggap van der Vaart sebagai penyerang, tetapi dia lebih bagus bermain di tengah dan membantu jentera serangan.
"Tetapi sumbangan paling banyak dalam skuad Spurs ialah Bale yang meledakkan 11 gol setakat ini." - Agensi

Wenger cari pemain atasi krisis


LONDON - Arsene Wenger (gambar) hanya berminat mendapatkan pemain untuk jangka masa pendek pada musim perpindahan pemain bulan ini.
Tindakan tersebut adalah sebagai langkah untuk mengatasi krisis kecederaan yang dialami The Gunners ketika ini khususnya di bahagian pertahanan.
Buruan utama pengurus Arsenal itu ialah Gary Cahill, namun pengurus Bolton, Owen Coyle menegaskan dia tidak akan melepaskan pemain tersebut.
Keputusan Coyle itu memaksa Arsenal untuk kembali semula kepada usaha mendapatkan pertahanan West Ham, Matthew Upson.
Wenger mengakui dia hanya mahu seorang pertahanan yang berkualiti dengan tawaran kontrak jangka masa pendek.
Ditanya sama ada dia perlu membeli pemain baru untuk menyelesaikan masalahnya, Wenger berkata: "Perancangan saya hanyalah untuk jangka masa pendek.
"Kami mempunyai banyak lagi perlawanan untuk diharungi. Jika pemain kami terus berdepan dengan kecederaan, ia akan memberi banyak masalah kepada pasukan." - Agensi