KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 27 Januari 2011

Adebayor ke Real Madrid

MADRID - Kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid telah menandatangani kontrak secara pinjaman dengan penyerang Togo, Emmanuel Adebayor.

Adebayor yang dibawa masuk daripada Manchester City akan beraksi bersama Real sehingga penghujung saingan musim ini.
Kehadiran Edebayor ke Santiago Bernabeu adalah bagi bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyerang Argentina, Gonzalo Higuain yang terpaksa diketepikan selama empat bulan ekoran mengalami masalah kecederaan.
Ketika ini tempat tersebut diambilalih penyerang Perancis, Karim Benzema, namun jurulatih Real, Jose Mourinho dilapor tidak mahu mengambil risiko dengan hanya menggunakan seorang penyerang.
"Real dan City telahpun menandatangani kontrak perjanjian berhubung perpindahan Adebayor secar pinjaman sehingga penghujung musim ini.
"Kami (Real) juga diberikan pilihan untuk membelinya secara kekal sebaik tamat kontrak pinjamannya itu," jelas kenyataan yang dikeluarkan dalam website rasmi Real.
Keputusan Real untuk membawa masuk Adebayor adalah disebabkan tawaran yang mereka kemukakan bagi mendapatkan khidmat penyerang Hamburg, Ruud van Nistelrooy telah ditolak oleh kelab Jerman itu.
Adebayor mula beraksi bersama City pada awal saingan 2009/2010 selepas dibeli daripada Arsenal dengan yuran perpindahan bernilai £25 juta (RM121.142 juta). - AFP

United pamer aksi menakjubkan


DIMITAR Berbatov (kiri) menghampakan pemain Blackpool dengan gol kemenangan dua minit sebelum permainan tamat.


BLACKPOOL - Pada satu ketika ketinggalan 0-2 pada babak pertama tetapi tiga gol dalam tempoh 16 minit di babak kedua membolehkan Manchester United mempamerkan kebangkitan menakjubkan untuk menewaskan Blackpool 3-2 dalam saingan Liga Perdana England, semalam.
Dimitar Berbatov muncul wira dengan menjaringkan dua gol manakala satu lagi gol dijaringkan Javier Hernandez sekaligus membuktikan United kini memiliki ketahanan mental yang diperlukan untuk diletakkan sebagai pilihan merangkul kejuaraan liga musim ini.
Perlu diakui Blackpool mempamerkan persembahan mantap pada babak pertama untuk mendahului 2-0 hasil jaringan Craig Cathcart dan DJ Campbell.
Namun kebangkitan United selepas itu ternyata lebih mencuri tumpuan malah menenenggelamkan sama sekali kelebihan dan sisa perjuangan yang dimiliki Blackpool itu.
Kemenangan dramatik United itu membolehkan mereka kini terus kekal berkuasa di puncak liga di samping mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 23 perlawanan musim ini.
Kebangkitan lewat yang akan diingati sampai bila-bila itu disifatkan Berbatov sebagai kekuatan dalaman United yang tidak ada pada pasukan lain.
"Kami memiliki mentaliti kental iaitu masih boleh menang walaupun ketinggalan 0-1 atau 0-2. Keyakinan itu sentiasa ada untuk membalasnya bukan satu gol tetapi lebih daripada itu.
"Memang pada babak pertama sedikit sukar buat kami kerana belum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan padang yang tidak rata dan jauh berbeza dengan Old Trafford.
"Tetapi di babak kedua, kami berjaya mengatasinya," kata Berbatov yang kini mengukuhkan kedudukannya sebagai penjaring terbanyak kepada 20 gol setakat ini.
Kemasukan Hernandez menggantikan Wayne Rooney menjadi titik tolak kepada kebangkitan United semalam apabila pemain antarabangsa Mexico itu menghasilkan gol semangat yang dicari-cari.
Alex Ferguson sendiri mengakui dia kagum dengan kebangkitan yang dipamerkan anak-anak buahnya untuk membolehkan United kini memiliki kelebihan lima mata di depan Arsenal.
"Kami memang dipermainkan saja di babak pertama tetapi kemasukan Hernandez dan Ryan Giggs mengubah segala-galanya dalam sekelip mata. Kami memang berhak menang," tegasnya. - AFP

M. Karathu ganti Sathia bimbing Red Warriors

TEKA-TEKI mengenai siapa yang bakal menggantikan B. Sathianathan selaku ketua jurulatih The Red Warriors akhirnya terjawab.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengumumkan Datuk M. Karathu dilantik sebagai ketua jurulatih yang baru berkuatkuasa semalam.
Annuar memberitahu perkara itu dalam satu temu bual dengan sebuah stesen televisyen swasta di Kuala Lumpur semalam.
Menurut beliau, Karathu yang merupakan bekas jurulatih skuad Seladang musim 2008-2009 akan mula melatih Kelantan hari ini bagi menghadapi saingan Liga Malaysia.
Tugas pertama Karathu musim ini ialah bertemu Selangor pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Sementara itu, Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (Kelate.net) menyambut baik perlantikan tersebut.
Presidennya, Marhasim Mat berkata, pihaknya menaruh kepercayaan dan yakin dengan kemampuan yang ada pada jurulatih berkenaan.
B. Sathianathan


"Lagipun beliau pernah membimbing Kelantan pada tahun 1994 dan membantu pasukan kita mara ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia pada tahun tersebut.
"Saya berharap beliau dapat meneruskan legasi kejayaan yang telah dibentuk oleh bekas jurulatih Sathianathan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambahnya, kelab tersebut meminta penyokong setia The RedWarriors menerima pelantikan tersebut dan percaya bahawa pihak pengurusan telah membuat pilihan yang terbaik untuk pasukan.
Selasa lalu, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan keputusan menggantung Sathianathan selama enam bulan dan denda RM20,000 kerana bersalah mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan.
Dia didapati bersalah kerana memberi kenyataan kepada media berhubung pemilihan stadium tuan rumah bagi perlawanan Perlis dan Terengganu ketika saingan Liga Super musim lalu.
Sathianathan memulakan tugas sebagai Ketua Jurulatih Kelantan pada 23 September 2009 selepas mengambil alih jawatan tersebut daripada bekas pengendali West Ham United dan Persija Balik Papan, Peter James Butler.
Bersama Kelantan, dia membantu Kelantan melakar sejarah dengan memenangi Piala Malaysia buat kali pertama sekali gus menamatkan penantian selama 89 tahun.

Rabu, 26 Januari 2011

Barca sedia jual Alves ke City


BARCELONA bersedia melepaskan Alves (kanan) kepada Manchester City.


LONDON - Johan Cruyff menjelaskan bahawa Barcelona bersedia menjual pemain berharga £25 juta (RM121 juta), Dani Alves kepada Manchester City.
Pertahanan kanan dari Brazil itu kini semakin hampir di penghujung kontraknya bersama Barca.
Cruyff yang juga penaung kepada kelab Sepanyol tersebut, berasa mereka mungkin akan melepaskan bintang Brazil itu selagi mampu.
Legenda Belanda itu berkata: "Barca adalah skuad yang sensasi dengan Alves atau pun tanpanya.
"Adakah lebih bagus jika dia terus bersama kami? Sudah tentu. Tetapi City berminat ke atasnya dan mungkin lebih baik menjualnya daripada tunggu sehingga kontraknya tamat hujung tahun ini dan dia pergi secara percuma."
Cruyff membandingkan perjanjian yang pernah dicapai Barca bersama City ke atas Yaya Toure dan sedia menerima kemungkinan perpindahan Alves, 27, ke kelab Liga Perdana England itu.
Perancang Ivory Coast, Toure berhijrah ke Eastlands dari Nou Camp dengan harga £24 juta (RM116 juta) pada Julai tahun lepas.
Kata Cruyff: "Jika dia pergi, perbincangannya akan menjadi mudah. Kami akan ucapkan selamat tinggal dan selamat berjaya.
"Sama juga dengan kes Toure. Jurulatih, Pep Guardiola mahu Alves kekal di sini seperti juga Toure, namun apa yang tidak boleh berlaku, tetap tidak boleh berlaku.

Nasib Chelsea di tangan United


JOHN Terry (kiri) tonggak yang membantu Chelsea menang 4-0 ke atas Bolton, kelmarin untuk kembali bernafsu mencabar United.


BOLTON - Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti menganggap dua pertemuan dengan Manchester United nanti bakal menjadi penentu sama ada mereka mampu untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana England atau sebaliknya.
Skuad bimbingannya awal pagi semalam berjaya merekodkan kemenangan pertama di tempat lawan dengan membelasah Bolton 4-0 setelah kali terakhir mereka berjaya melakukannya pada Oktober lalu.
Chelsea kini di tangga keempat liga di belakang United, Arsenal dan Manchester City dengan ketinggalan tujuh mata berbanding United.
Kemenangan ke atas Bolton itu juga merupakan detik kebangkitan Chelsea yang kini berjaya mencatat dua kemenangan berturut-turut setelah mereka hanya menang satu daripada sembilan perlawanan sebelum itu.
"Untuk merapatkan jurang bukan perkara yang mudah kerana ketika ini United sudah jauh meninggalkan kami. Tapi kami tetap akan berusaha melakukan apa saja untuk bangkit semula.
"Kami akan naik sedikit demi sedikit dan saya rasa kami mampu melakukannya. Tapi ia tetap bergantung kepada prestasi United.
"Jika mahu merapatkan jurang mata, kami perlu menang kedua-dua pertemuan dengan United nanti," kata Ancelotti.
Pada aksi awal pagi semalam, gol-gol Chelsea dijaringkan Didier Drogba pada minit ke-11, Florent Malouda (41), Nicolas Anelka (56) dan Ramires (74).
"Kami telah memenangi perlawanan yang cukup penting ini dan bakal mempunyai perlawanan penting lain selepas ini bermula dengan pertemuan Piala FA dengan Everton pada Sabtu ini," jelas Ancelotti.
Chelsea akan bertemu United di Stamford Bridge pada 1 Mac sebelum bertandang pula ke Old Trafford pada 7 Mei.

The Red Warriors akur keputusan FAM


KHAIRUL FAHMI menerima insentif daripada Nik Aziz sambil diperhatikan Annuar (dua dari kanan) dan Abdul Fatah (kiri).


KETUA Pasukan Kelantan, Mohd. Badri Radzi mengakui rakan-rakan sepasukan masih lagi terkejut dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkenaan hukuman pengantungan ke atas ketua jurulatih mereka, B. Sathianathan selama enam bulan berkuatkuasa semalam, lapor YATIMIN ABDULLAH.
Bagaimanapun, mereka terpaksa akur dengan keputusan tersebut dan menganggap ia sebagai satu cabaran yang perlu ditempuhi oleh The Red Warriors dalam menghadapi perlawanan pembukaan menentang Selangor bagi merebut kejuaraan Piala Sumbangsih di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
"Walaupun sesi latihan tanpa ketua jurulatih, namun saya dan rakan-rakan tetap menjalani latihan seperti biasa di bawah bimbingan penolong ketua jurulatih, Hashim Mustafa dan Sidek Samsudin.
"Mungkin ketiadaan jurulatih akan merencatkan sedikit persiapan pasukan, namun kita tidak harus menganggap ia sebagai satu penghalang untuk kita meneruskan apa yang telah dilakukan sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan cek kepada pemain pasukan Kelantan ekoran kejayaan mereka menjuarai Piala Malaysia tahun lalu.
Tambahnya, untuk perlawanan menentang Selangor Sabtu ini, dia mahu rakan-rakanya fokus dan memberikan aksi terbaik pada kempen sulung bagi musim 2011 itu.
"Saya akui mungkin ia memberikan sedikit tekanan buat kami dengan ketiadaan jurulatih, namun saya yakin rakan-rakan sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi perlawanan tersebut."
Dalam pada itu, Mohd. Badri memberitahu untuk perlawanan pembukaan Sabtu ini, Kelantan akan turun tanpa kelibat S.Chanturu yang masih lagi belum pulih daripada kecederaan.
Mengulas mengenai bakal pengganti B. Sathianathan, Mohd. Badri memberitahu dia menyerahkan isu tersebut kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan.
Sementara itu, penyerang sensasi Kelantan yang juga pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha berjanji akan memberikan persembahan terbaik untuk perlawanan pertama bertemu Selangor bagi merebut kejuaraan Piala Sumbangsih.
"Hasrat saya ialah untuk membantu membawa pulang kejuaraan tersebut dan membuktikan kita tetap bersemangat walaupun tanpa ketua jurulatih," katanya.

Kelantan berada dalam bahaya


MESKIPUN berdepan pelbagai cabaran, barisan pemain Kelantan sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi Selangor pada aksi pembukaan Liga Super 2011 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.


KELANTAN mungkin berdepan masalah tidak dibenarkan beraksi menentang Selangor pada perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah 2011 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Ini kerana, peraturan pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewajibkan setiap pasukan perlu mendaftar jurulatih yang memegang Lesen A sedangkan Kelantan kini tidak memilikinya setelah B. Sathianathan digantung enam bulan berkuatkuasa kelmarin.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, Kelantan perlu segera mencari pengendali sementara yang memiliki Lesen A dalam tempoh beberapa hari ini bagi membolehkan mereka memenuhi syarat untuk turun beraksi Sabtu ini.
"Perkara ini sudah termaktub dalam peraturan pertandingan. Jadi Kelantan perlu segera mendapatkan seorang jurulatih Lesen A bagi didaftarkan sebelum perlawanan pertama Liga Super 2011 pada Sabtu ini.
"Jika gagal, maka Kelantan dianggap tidak memenuhi syarat pertandingan dan boleh dikenakan tindakan tidak dibenarkan untuk turun beraksi," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Kelmarin, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan hukuman penggantungan enam bulan ke atas Sathianathan yang sebelum ini ditangguhkan sementara ekoran tindakannya mengkritik FAM secara terbuka di media.
Justeru, desas-desus mengatakan Kelantan bakal mengambil bekas jurulatih Kedah dan Harimau Muda A, Mohd. Azraai Khor Abdullah bagi mengisi ketiadaan Sathianathan memandangkan dua penolong jurulatih Kelantan, Hashim Mustapha dan Sidek Samsudin hanya memiliki Lesen B.
Namun ia tidak semudah disangka kerana menurut Azzuddin, isu penamatan kontrak Azraai dan FAM nampaknya belum selesai manakala KAFA pula belum menyatakan secara rasmi untuk mendapatkan Azraai.
"Sehingga hari ini (semalam), Sekretariat FAM masih belum terima apa-apa permohonan secara rasmi daripada KAFA untuk berunding bagi mendapatkan Azraai.
"Isu FAM dan Azraai juga masih tergantung kerana terdapat perkara yang tidak dipersetujui Azraai. Ia sudah di luar bidang kuasa Sekretariat FAM kerana kini perlu dibawa ke Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kewangan FAM," jelas Azzuddin.
Azzuddin turut berharap agar isu penggantungan Sathianathan tidak disensasikan semua pihak memandangkan semua pemain dan pegawai pasukan telah sedia maklum peraturan yang termaktub dalam kod disiplin FAM.
"Perkara ini sudah jelas, jika pemain atau pegawai buat kenyataan tidak betul di media, maka mereka boleh dihukum. Jawatankuasa Rayuan tak boleh lari jauh dengan keputusan Jawatankuasa Tatatertib kecuali andai berlaku salah hukum," tegasnya.

Selasa, 25 Januari 2011

Liverpool serius buru Suarez


SUAREZ berada dalam senarai utama Liverpool pada musim perpindahan bulan ini. Pegawai Liverpool dikatakan sudah berada di Ajax untuk mengadakan rundingan susulan.


LIVERPOOL - Liverpool semakin serius untuk mendapatkan Luis Suarez sehingga sanggup terbang ke Belanda untuk mengadakan perbincangan lanjut.
Pengarah Strategi Bola Sepak Liverpool, Damien Comolli telah berada di Amsterdam semalam.
Dia akan berkunjung ke Ajax untuk memperhalusi terma dan syarat bagi mendapatkan penyerang Uruguay itu.
Andai Liverpool berjaya membuat tawaran berjumlah £20 juta (RM97.5 juta), mereka pasti akan mendapatkan terus khidmat pemain berusia 23 tahun itu pada pertengahan minggu ini.
Suarez sendiri telah menyatakan yang dia berminat untuk beraksi di Liga Perdana England dan Liverpool menjadi keutamaannya.
"England mempunyai sebuah liga yang begitu menarik perhatian saya sama seperti Liga Sepanyol. Ia merupakan liga terbaik di dunia," kata Suarez.
Penyerang Ajax itu turut telah memberitahu rakan sekelabnya bahawa dia berasakan perpindahan ke Liverpool itu bakal diselesaikan dalam masa terdekat.
Namun jurulatih Ajax, Frank De Boer menyatakan bahawa nilai Suarez adalah sama dengan Edin Dzeko yang dibeli dengan harga £27 juta (RM131.6 juta) oleh Manchester City.

'Rooney akan temui sentuhan'


ROONEY masih tercari-cari rentak untuk menggegar gawang pasukan lawan.


BLACKPOOL - John O'Shea yakin rakan sepasukannya, Wayne Rooney akan kembali menemui sentuhan gol bagi membantu Manchester United mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Perdana England.
Pemain pertahanan United itu berkata, mereka perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang bertemu Blackpool awal pagi esok bagi melebarkan jurang kepada lima mata dan sentuhan Rooney amat ditagih.
"Kami semua tahu Rooney sentiasa memberikan yang terbaik untuk pasukan. Dia akan kembali menemui sentuhan gol berdasarkan kualiti yang telah dipamerkannya dalam mencipta ruang buat rakan sepasukan lain.
"Rooney merupakan aset penting pasukan dan saya cukup yakin kegagalannya menjaringkan gol ketika kami membelasah Birmingham 5-0 akan ditebus pada aksi berikutnya ini," kata O'Shea.
Pengurus United, Alex Ferguson turut bersetuju dengan apa yang dinyatakan O'Shea itu.
"Kami harap gol yang dicari oleh Rooney akan hadir," kata Ferguson.
Ditanya tentang saingan yang bakal diberikan Blackpool pada aksi di Bloomfield Road itu, O'Shea berkata, rekod Blackpool di laman sendiri cukup baik sebelum mereka tewas 1-2 kepada Sunderland pada Sabtu lalu.
"Memang kami bakal berhadapan dengan aksi sukar kerana Blackpool pasti mahu bangkit pada perlawanan ini. Cuma kami perlu fokus sepenuhnya terhadap perlawanan ini bagi memburu tiga mata penuh," jelas O'Shea.
Rio Ferdinand masih belum pasti diturunkan selepas mengalami kecederaan pangkal paha manakala Paul Scholes yang diketepikan selama dua bulan dijangka kembali diturunkan kerana sudah pulih sepenuhnya. - AFP

FAS ketat kawalan keselamatan


INSIDEN kekecohan melibatkan penyokong Selangor dan Kelantan pada suku akhir pertama Piala Malaysia 2010 di Stadium Shah Alam pada 12 Oktober tahun lalu dijamin tidak akan berulang, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Kedua-dua pasukan tersebut bakal bertemu lagi untuk aksi sulung Liga Super 2011 yang juga perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, sebagai langkah pencegahan pihaknya telah bekerjasama dengan polis untuk meletakkan sekurang-kurangnya 745 anggota bagi perlawanan tersebut.
"Pihak polis akan mengawal dari sebelum perlawanan bermula, ketika perlawanan berlangsung dan juga selepas perlawanan. Ia bagi memastikan pergaduhan penonton sebelum ini tidak berulang.
"Polis juga akan ditempatkan di luar stadium dan sejurus sebelum perlawanan tamat, polis akan berada di lokasi tertentu bagi mengelakkan pertempuran penyokong kedua-dua pasukan.
"Kita harap tiada kejadian yang tidak diingini berlaku dan saya harap penyokong Selangor dan Kelantan datang untuk menikmati perlawanan, bukannya melakukan perkara yang tidak diingini.
"Sila jaga emosi masing-masing," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pengelola di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Menurut Hamidin, tiket bagi perlawanan sumbangsih itu akan dijual pada Jumaat ini dari pukul 9 pagi hingga 7 malam di kaunter pintu utama Stadium Shah Alam serta pada Sabtu bermula 9 pagi hingga perlawanan bermula.
"Harga tiket ialah RM20 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun. Untuk mengelak kesesakan, pintu stadium akan mula dibuka pada pukul 4 petang hari perlawanan.
"Kita akan beri tempat duduk 50-50 untuk kedua-dua pasukan. Cuma zon pemisah nanti akan dianjakkan mengikut keadaan iaitu jumlah penyokong pasukan mana yang lebih ramai," ujarnya.



Kelantan kena lagi

DENDA penggantungan selama enam bulan ke atas Sathianathan dikekalkan. Keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat jawatankuasa rayuan FAM semalam.
BELUM pun saingan Liga Malaysia musim ini membuka tirainya, Kelantan, juara Piala Malaysia 2010, sudah menerima perkhabaran buruk.
Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan mengekalkan hukuman gantung enam bulan ke atas ketua jurulatihnya, B. Sathianathan berkuat kuasa kelmarin.
Keputusan tersebut mengejutkan penyokong setia pasukan The Red Warriors ketika persiapan mereka sudah memasuki fasa terakhir sebelum aksi merebut Piala Sumbangsih antara Kelantan dan Selangor pada 29 Januari ini bermula di Stadium Shah Alam.
Ekoran keputusan tersebut, Kelantan perlu mencari pengganti Sathianathan untuk mengemudi The Red Warriors berikutan penolongnya, Hashim Mustafa hanya mempunyai Lesen Kelas B dan tidak layak mengetuai pasukan.
Penyokong Kelantan menganggap tindakan FAM itu sebagai ‘kurang cerdik’ kerana membuat keputusan pada saat-saat akhir sekali gus menyusahkan pasukan The Red Warriors untuk mencari pengganti yang sesuai.
Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Siber Kelantan, Marhasim Mat berkata, keputusan FAM itu dilihat sebagai satu cubaan untuk menjahanam serta merosakkan moral pasukan bagi menghadapi saingan liga musim ini
“Saya amat kecewa dengan tindakan FAM, kes ini sepatutnya sudah lama diselesaikan dan tidak perlu mengambil tempoh yang lama untuk membuat keputusan.
“Sekiranya kes ini diselesaikan lebih awal, saya yakin dan percaya ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah buat Kelantan dalam mempersiapkan pasukan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Tambahnya, ini merupakan kali ketiga FAM membuat keputusan yang mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan peminat The Red Warriors.
Sementara itu, Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dalam laman sosial Facebook miliknya mengesahkan, beliau telah menerima surat rasmi daripada FAM mengenai keputusan Jawatankuasa Rayuan badan induk bola sepak itu mengekalkan keputusan ke atas Sathianathan.
Menurut Annuar, pihaknya akan mengadakan mesyuarat tergempar hari ini (semalam) untuk membincangkan masalah tersebut dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas itu.
Kelantan kini dikatakan sedang mengadakan rundingan untuk Azraai Khor Abdullah mengemudi skuad Kelantan.

Isnin, 24 Januari 2011

'Pengalaman jadi kelebihan United'

'Pengalaman jadi kelebihan United'

BERBATOV meledak hatrik untuk membantu United membelasah Birmingham 5-0.


MANCHESTER – Alex Ferguson yakin pengalaman Manchester United mampu meletakkan pasukan bimbingannya itu untuk terus menerajui Liga Perdana England setelah mereka berjaya meneruskan rekod tanpa kalah.
Pada aksi malam kelmarin, United mudah membelasah Birmingham 5-0 hasil jaringan hatrik Dimitar Berbatov serta masing-masing satu gol daripada Ryan Giggs dan Nani.
United seterusnya akan bertemu Blackpool awal pagi Rabu ini.
“Kemenangan besar ke atas Birmingham ini membantu kami menambah jumlah perbezaan gol dalam kedudukan liga.
“Tapi sudah pasti kami akan berdepan beberapa perlawanan sukar selepas ini. Harap pemain dapat menanganinya kerana mereka memiliki pengalaman luas.
“Saya gembira dengan persembahan mereka pada perlawanan ini. Kami berjaya menghasilkan gol awal dan selepas selesa mendahului, saya dapat merehatkan beberapa pemain utama,” kata Ferguson.
Giggs, 37, berjaya menarik perhatian Ferguson apabila menyumbang satu gol malam kelmarin selepas menyatakan hasrat untuk beraksi semusim lagi bersama United.
“Saya yakin Giggs masih mampu beraksi lagi musim depan. Dia masih segar dan mampu meletakkan dirinya di landasan yang betul,” kata Ferguson.
Apa pun, hero sebenar United pada aksi malam kelmarin pastinya Berbatov yang kini sudah menjaringkan 18 gol.

Happy penaja utama Kelantan


ANNUAR (kanan) diperkenalkan kepada pemain Kelantan pada majlis menandatangani tajaan di Kota Bharu semalam.


KELANTAN melengkapkan persiapan untuk mengharungi Liga Super musim 2011 dengan mengumumkan penaja-penaja yang akan bersama pasukan itu dengan syarikat jenama prabayar Happy sebagai rakan kongsi dan penaja utama dengan tajaan bernilai jutaan ringgit.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa memberitahu, selain Happy, enam lagi penaja, Al-Hamra Group, TRW Station, Umbro, Al-Jabbar, Sinar Harian dan Yusmira Trading turut bersama-sama memberikan sumbangan dalam usaha mengukuhkan lagi dana The Red Warriors.
Menurutnya, dengan adanya penajaan ini terutama beberapa syarikat yang dipelopori anak jati Kelantan ini mampu menaikkan semangat pasukan Kelantan yang pastinya berdepan cabaran hebat untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sebelum ini.
"Saya tidak bercadang untuk mendedahkan jumlah keseluruhan penajaan ini tetapi ia cukup memberi suntikan baru kepada KAFA dan pasukan Kelantan yang pastinya berdepan cabaran hebat untuk musim baru bola sepak tempatan.
"Happy bukan sekadar penaja utama untuk pasukan Liga Super Kelantan tetapi sebagai rakan kongsi dalam program pembangunan akar umbi bola sepak Kelantan dengan penubuhan pusat, klinik dan karnival bola sepak serta liga bawah umur," katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani dokumen penajaan oleh semua penaja selain memperkenalkan jersi Kelantan untuk musim 2011 bersama logo penaja di Pusat Dagangan Kelantan, Kota Bharu semalam.

Sabtu, 22 Januari 2011

Logo baru Liga M dilancar Rabu



BAYANGAN logo baru Liga M yang akan dilancarkan Rabu ini.


REKA bentuk logo baru saingan bola sepak Liga Malaysia (Liga M) 2011 hanya akan didedahkan secara rasmi pada Rabu ini, tiga hari sebelum sepak mula Liga Super pada Sabtu depan.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa yang juga Pengerusi Malaysia Super League Sdn. Bhd. (MSL) berkata, pelancaran logo itu akan dibuat ketika sesi taklimat pasukan berlangsung, Rabu ini.
"Pada 26 Januari ini (Rabu) kita akan adakan satu perjumpaan dengan wakil semua pasukan bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana untuk sesi taklimat berhubung peraturan dan perjalanan Liga M musim ini.
"Logo baru Liga Super dan Liga Perdana juga akan kita perkenalkan pada hari tersebut. Saya rasa masih sempat untuk setiap pasukan tampal terus patch logo tersebut di jersi masing-masing," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ditanya tentang beberapa contoh reka bentuk dikatakan logo baru Liga M 2011 yang tersebar di laman sosial Facebook dan laman web kelab-kelab penyokong bola sepak tempatan sejak beberapa minggu lalu, Annuar berkata, ia merupakan antara reka bentuk cadangan.
"Memang ia merupakan antara sample logo untuk kita muktamadkan. Kita juga melihat reaksi dan komen peminat tentang logo-logo tersebut. Apa pun logo rasmi yang dipilih akan didedahkan Rabu ini.
"Tentang siapa pula title sponsor untuk Liga M 2011, itu terpulang kepada Astro untuk mengumumkannya," jelas Annuar.
Astro menjadi rakan penaja baru Liga M selama empat musim dari 2011 hingga 2014 menggantikan Telekom Malaysia Berhad (TM), penaja utama Liga M selama tujuh musim dari 2004 hingga 2010.
Bagaimanapun kontrak FAM bersama TM hanya akan berakhir pada Rabu ini dan atas sebab itulah FAM hanya boleh mengumumkan title sponsor baru selepas tarikh tersebut.
Saingan Liga Super bermula 29 Januari ini dengan tujuh perlawanan menyaksikan Selangor bertemu Kelantan di Shah Alam, Terengganu bertemu Sabah, Kuala Lumpur bertemu Perak, Johor FC bertemu Felda United, Kedah bertemu T-Team, Negeri Sembilan bertemu Harimau Muda A dan Pahang bertemu Perlis.
Liga Perdana pula bermula 31 Januari membabitkan lima perlawanan iaitu USM bertemu PDRM, ATM bertemu MP Muar, PKNS bertemu Sime Darby, Johor bertemu Pos Malaysia dan Pulau Pinang bertemu Sarawak manakala aksi Harimau Muda B bertemu SDM Navy berlangsung sehari selepas itu.