KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Ahad, 24 Oktober 2010

Final ulangan





DUA gergasi bola sepak tempatan, Negeri Sembilan dan Kelantan sekali lagi akan berentap pada final Piala Malaysia, 30 Oktober ini, lapor NASRI JAMALUDIN dan KHAIRI MOHAMAD.
Tatkala Negeri Sembilan menyingkirkan Johor FC, Kelantan pula membenam cabaran Kedah.
Pada aksi separuh akhir kedua malam tadi, Negeri Sembilan yang tampil selaku penyandang juara mencipta kemenangan 2-0 di Stadium J.Corp, Pasir Gudang.
Mohd. Shukor Adan meledak gol pembukaan Negeri Sembilan pada minit ke-36.
Shahurain Abu Samah melengkapkan gol kedua Negeri Sembilan menerusi sepakan penalti pada minit ke-61.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Hoben Jang Hoben mara ke final dengan agregat 2-1 selepas mereka tewas 0-1 pada aksi separuh akhir pertama di Paroi Rabu lalu.
Kelantan pula berpeluang membalas dendam kekalahan 1-3 kepada Negeri Sembilan pada aksi final musim lalu apabila menyingkirkan Kedah dengan agregat 1-0.
Selepas seri tanpa jaringan di Alor Setar, Kelantan ternyata memiliki kelebihan apabila tampil di hadapan ribuan penyokong mereka di Stadium Sultan Muhammed IV.
Sebaik wisel permulaan dibunyikan, Kelantan terus memulakan asakan untuk mencari gol awal dalam tempoh 20 minit pertama.
Bagaimanapun, benteng Kedah yang diterajui penjaga gol, Helmi Eliza Alias bijak menafikan setiap peluang yang dicipta Kelantan sepanjang babak pertama.
Babak kedua menyaksikan Kedah memperoleh rentak dan berjaya mengimbangi permainan dengan melakukan beberapa asakan ke pintu gol Kelantan.
Bagaimanapun, gol yang dinantikan peminat Kelantan akhirnya hadir pada minit ke-78 hasil jaringan cantik Norshahrul Idlan Talaha.
Kejayaan mara ke pentas final Piala Malaysia pastinya memberikan keceriaan buat Kelantan selepas mereka 'kehilangan' jurulatih, B. Sathianathan.
Terdahulu, Sathianathan digantung selama enam bulan serta denda RM2,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ia berpunca daripada kenyataan Sathianathan yang melahirkan rasa tidak puas hati apabila aksi Liga Super antara Perlis dan Terengganu yang sepatutnya berlangsung di Stadium Utama Negeri, Kangar terpaksa diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Final Piala Malaysia dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.

Tiada ulasan: