KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Ahad, 24 Oktober 2010

Tottenham melonjak


VAN DER VAART meledak gol penyamaan Spurs ketika menentang Everton di White Hart Lane semalam. Kedua-dua pasukan terikat 1-1.


LONDON - Tottenham Hotspur melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana England selepas seri 1-1 dengan Everton di White Hart Lane semalam.
Spurs harus berterima kasih kepada penjaga gol Everton, Tim Howard yang melakukan kesilapan sehingga membolehkan mereka memperoleh gol penyamaan.
Everton terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-17 hasil jaringan Leighton Baines menerusi sepakan percuma.
Begitupun, Spurs tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila hantaran lintang Alan Hutton gagal ditumbuk kemas Howard sebelum singgah di kaki Peter Crouch.
Crouch mengambil kesempatan itu untuk melakukan hantaran kepada Rafael Van der Vaart yang berjaya merobek gawang Everton pada minit ke-20.
Meskipun mempunyai beberapa peluang terbaik, Spurs gagal untuk menambah jaringan ekoran kekebalan benteng pertahanan Everton.
"Mereka merupakan pasukan yang hebat dan bukan mudah untuk kami menewaskan Everton," kata jurulatih Spurs, Harry Redknapp.
"Kami mempunyai peluang yang lebih baik untuk menang tetapi saya tetap gembira dengan satu mata.
"Selepas ketinggalan 0-1, kami berjaya bangkit dengan menunjukkan permainan yang lebih bertenaga."
Redknapp menambah, kejayaan melonjak ke tangga ketiga terus memberi inspirasi kepada anak-anak buahnya untuk terus mencipta kemenangan.
"Diharapkan, kami mampu mencapai sasaran musim ini untuk menghuni kelompok tiga terbaik," katanya.
Pengurus Everton, David Moyes pula tetap berpuas hati dengan satu mata yang diraih selepas dia tidak dapat menggunakan khidmat tiga tonggak utama, Mikel Arteta, Marouane Fellaini dan Jack Rodwell.
"Saya cukup gembira dengan empat mata yang diperoleh pada perlawanan menentang Liverpool (Everton menang 2-0) dan Tottenham," kata Moyes.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemain. Mereka telah bekerja keras.
"Meskipun tanpa Arteta, Fellaini dan Jack Rodwell, pemain saya tetap beraksi dengan baik."
Sementara itu, Chelsea terus kekal selaku pendahulu liga selepas menewaskan Wolves 2-0 di Stamford Bridge.
Florent Malouda dan Salomon Kalou masing-masing menjaringkan satu gol buat Chelsea

Tiada ulasan: