KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Ahad, 24 Oktober 2010

Peluang baik City

TAK SABAR...Adebayor ingin menjaringkan gol ketika berdepan bekas kelabnya.
TAK SABAR...Adebayor ingin menjaringkan gol ketika berdepan bekas kelabnya.

MANCHESTER: Manchester City berdepan peluang keemasan untuk membuktikan keupayaan mereka tampil sebagai pencabar sebenar kejuaraan Liga Perdana Inggeris hari ini apabila menanti kunjungan satu lagi pencabar kejuaraan, Arsenal.
Buat seketika minggu ini kelihatan Wayne Rooney bersedia untuk mempertimbangkan menyertai City selepas penyerang Manchester United itu melahirkan hasratnya untuk meninggalkan Old Trafford.

Penyokong City teruja dengan prospek mendapatkan khidmat pemain bintang pasukan musuh mereka tetapi kontroversi itu berakhir apabila Rooney memilih untuk menandatangani kontrak baru lima tahun dengan United.

Bagaimanapun tanpa Rooney, City patut muncul pencabar kejuaraan musim ini ketika pasukan kendalian Roberto Mancini (gambar kecil) itu kini hanya dua mata di belakang pendahulu Chelsea, yang berdepan Wolverhampton Wanderers 24 jam sebelum kunjungan Arsenal ke Eastlands.

Pasukan Mancini akan menentang pasukan Arsene Wenger menyedari kemenangan akan membuka jarak enam mata antara mereka dengan Gunners.

Kempen mungkin masih di peringkat permulaan, tetapi City sudah mula mendapat rentak dan selepas mengalahkan Chelsea bulan lalu, satu lagi kemenangan ke atas pencabar utama mereka bermakna mereka boleh memberikan amaran bahawa skuad mahal Mancini benar-benar bersedia mencabar kejuaraan liga.


Kunci kemenangan adalah persembahan David Silva, yang mempamerkan aksi mengagumkan ketika menang ke atas Lech Poznan dalam kempen Liga Europa pada pertengahan minggu dan mula menunjukkan prestasi sebenar yang menyebabkan Mancini membeli pemain sayap Sepanyol itu dari Valencia.

Namun, Silva tidak berilusi mengenai ancaman yang boleh diberikan Arsenal dan rakan senegaranya Cesc Fab- regas.

“Arsenal bermain dengan amat bagus, mereka mempunyai pemain muda dengan keinginan kuat untuk bermain,” kata Silva.

“Mereka adalah satu ancaman, tiada keraguan mengenainya - mereka akan berjuang merebut kejuaraan dengan Manchester United, Chelsea dan sudah tentu, Manchester City.

“Tapi jika kami menang, kami akan berada enam mata di depan mereka. Ia satu jarak yang bagus pada peringkat ini dan ia juga akan meningkatkan tekanan terhadap Chelsea.

“Cesc dan saya amat baik, kami kawan baik. Kami bermain bersama dalam pasukan Bawah 17 Tahun buat Sepanyol dan daripada situ kami semakin rapat.

“Kami bercakap dan menghantar mesej ringkas. Tapi saya tidak akan menghantar sebarang mesej kepadanya sebelum perlawanan, kerana saya tidak mahu menimbulkan kemarahan - dan saya harap saya akan melahirkan simpati kepadanya selepas itu!” Emmanuel Adebayor menjaringkan hatrik menentang Lech Poznan dan tidak sabar untuk berdepan bekas kelabnya selepas menjaringkan satu gol menentang lawan musim lalu.

Reaksi Adebayor - dia berlari sepanjang padang untuk meraikan gol itu di depan penyokong Arsenal - mencetus kritikan hebat tetapi Mancini memberikan bayangan penyerang Togo itu akan bermula dalam kesebelasan utama.

Seperti City, pasukan Wenger turut menikmati kempen selesa di Eropah minggu ini, dengan Gunners membelasah Shakhtar Donetsk 5-1 di Stadium Emirates dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah

Tiada ulasan: