KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Jumaat, 24 Disember 2010

Arsenal miliki barisan terkuat


VAN PERSIE (kanan) dan Nasri antara pemain muda yang sedang meningkat naik di Arsenal musim ini.


LONDON - Berdepan Chelsea pada Isnin ini sedikit melegakan Arsenal apabila mereka berpeluang menurunkan kesemua pemain utama yang sudah pulih daripada kecederaan.
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata, kekuatan penuh itu akan digunakan sebaiknya untuk terus menekan pendahulu Liga Perdana England, Manchester United.
Antara pemain yang dimaksudkan Wenger bakal menerima kunjungan Chelsea itu ialah Robin van Persie, Cesc Fabregas, Abou Diaby dan penjaga gol, Lukasz Fabianski.
"Mereka sempat cergas selepas perlawanan ditunda minggu lalu. Tempoh tersebut digunakan khusus untuk bersiap menghadapi Chelsea. Ia memang banyak membantu," katanya.
Arsenal tidak boleh kalah apabila berdepan Chelsea di Stadium Emirates pada 27 Disember ini jika tidak mahu melihat United lebih jauh meninggalkan mereka.
Malah selepas tewas 0-1 kepada United dua minggu lalu, Arsenal juga perlu sedar mereka tidak lagi kebal apabila sudah tiga kali kalah di gelanggang sendiri musim ini.
Sementara itu, Wenger berkata, mereka sudah bersedia untuk beraksi tanpa khidmat Thomas Vermaelen sekurang-kurangnya untuk tempoh satu bulan lagi.
Pemain pertahanan Belgium itu tidak beraksi sejak Ogos lalu selepas mengalami kecederaan Achilles.
Awal bulan ini, Arsenal berharap Vermaelen akan sembuh sepenuhnya tetapi Wenger berkata: "Saya memberi jaminan dia akan beraksi semula pada akhir Januari.
"Dia masih belum cergas dan kami perlu membentuknya. Ia akan mengambil masa tiga atau empat minggu lagi.
"Dia sudah mula bermain dan memberi petanda yang baik. Tetapi saya telah melalui banyak peristiwa hitam, sekali gus menjadi saya lebih berhati-hati dengan Vermaelen."

Bruce mahu padam badi United


BRUCE hampir mencipta kemenangan di Old Trafford musim lalu.


SUNDERLAND, England - Steve Bruce kembali ke Old Trafford pada Ahad ini dengan matlamat untuk membantu Sunderland menamatkan badi tidak pernah menang ke atas Manchester United dalam saingan Liga Perdana England.
Bekas pemain pertahanan United itu yang kini merupakan pengurus Sunderland gagal mengakhiri kemarau 42 tahun sejak memegang jawatan tersebut.
Kali terakhir Sunderland menang ke atas United dalam liga domestik ialah pada 1968 manakala 10 tahun lalu pernah menang 2-1 dalam saingan Piala Liga.
Sejak itu termasuk di era Bruce, Sunderland terus kempunan. Namun mereka hampir menamatkan badi itu musim lalu di Old Trafford.
Ketika itu Sunderland mendahului 2-1 sebelum mereka dikecewakan gol sendiri Anton Ferdinand pada masa kecederaan untuk keputusan berakhir 2-2.
Musim ini, penampilan Sunderland lebih menyerlah termasuk menewaskan Chelsea 3-0 di tempat lawan. Mereka kini di tangga keenam dengan hanya dipisahkan tujuh mata berbanding United yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah.
"Saya telah berusaha keras tetapi belum lagi berjaya (atasi United). Tapi kami akan terus mencuba. Mungkin ramai pengurus yang sedar United belum kalah lagi setakat ini.
"Kami juga sedar tentang perkara itu dan boleh menjangkakan bakal berdepan kesukaran. Jadi kami akan mempamerkan permainan terbaik untuk berdepan pasukan terbaik," katanya.
United berjaya mencatat sembilan kemenangan dan tujuh seri setakat ini namun Bruce percaya apa jua yang berlaku, pasukannya tidak gentar untuk mencari kemenangan yang diharapkan.
Sementara itu, Sunderland bakal beraksi tanpa tujuh pemain utama termasuk Danny Welbeck yang tidak cedera tetapi terikat dengan perjanjian pinjaman dengan United.
Welbeck berpindah secara pinjaman daripada United. Menyertainya adalah ketua pasukan, Lee Cattermole yang digantung manakala Titus Bramble, Michael Turner, John Mensah, Fraizer Campbell dan David Meyler masih cedera

Indonesia dilabel jaguh kampung

RAJAGOBAL tidak menganggap Indonesia hebat kerana menang kesemua lima perlawanan di gelanggang sendiri iaitu Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.


JAGUH kampung. Itulah label yang sepatutnya diberikan kepada skuad bola sepak Indonesia.
Biarpun para penyokong skuad garuda itu menganggap pasukan mereka yang dilatih jurulatih dari Austria, Alfred Riedl sebagai paling ampuh pada saingan Piala AFF Suzuki 2010, sebenarnya mereka tidaklah hebat mana.
Memang Indonesia menang kesemua lima perlawanan yang diharungi mereka iaitu membelasah Malaysia 5-1, membelasah Laos 6-0, menundukkan Thailand 2-1 serta dua kali menewaskan Filipina 1-0 pada aksi separuh akhir.
Namun kesemua kemenangan tersebut dicatat kerana mereka hanya beraksi di laman sendiri iaitu gelanggang keramat mereka, Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.
Atas faktor tersebut, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal mahu membina keyakinan di kalangan para pemain mudanya bahawa tiada apa yang perlu digentarkan sangat untuk menghadapi Indonesia pada final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad ini.
“Apa yang memberi saya keyakinan untuk menghadapi final ini ialah kita dapat lihat bahawa inilah kali pertama skuad Indonesia beraksi di luar gelanggang mereka pada Piala AFF Suzuki kali ini.
“Saya teruja untuk melihat bagaimana tahap permainan sebenar pasukan Indonesia apabila beraksi di tempat lawan kerana mereka begitu selesa dari peringkat kumpulan hingga separuh akhir beraksi di Jakarta.
“Situasi ini sama sekali berbeza dengan pasukan kita. Main dua perlawanan awal menentang Indonesia dan Thailand di Jakarta kemudian bertemu pula Laos di Palembang.
“Hanya sekali saja kita main di Bukit Jalil dan kemudian berdepan Vietnam di Hanoi,” kata Rajagobal ketika ditemui selepas perlawanan ujian menentang Felda United di Wisma FAM, Kelana Jaya malam kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, Rajagobal menurunkan barisan pemain simpanan pada separuh masa pertama sebelum memasukkan kesebelasan utamanya pada babak kedua dan mencatat kemenangan 2-0 hasil jaringan Ashari Samsudin dan Safee Sali.
RAJAGOBAL (kanan) dan pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal berharap para pemain tidak gentar untuk berdepan Indonesia pada perlawanan akhir pertama, Ahad ini.


Seperkara lagi yang menarik tentang final kali ini, Malaysia hanya membuat persiapan suntuk untuk Piala AFF Suzuki selain dibelenggu masalah kecederaan berbanding Indonesia yang persiapannya lebih mantap.
“Sudahlah ramai tonggak utama kita terpaksa diketepikan akibat kecederaan, kita juga hanya sempat berlatih seminggu saja selepas menyertai Sukan Asia di Guangzhou.
“Indonesia pula, tidak menghantar langsung pasukan ke Sukan Asia kerana mereka mahu melakukan persiapan penuh bagi kejohanan ini. Apa pun, sesuatu yang boleh dibanggakan apabila kita tetap berjaya mara ke final,” jelas Rajagobal.

Khamis, 23 Disember 2010

Fadhli makin matang

FADHLI (kanan) merupakan pemain paling muda dalam skuad negara yang akan beraksi pada final Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.


PEMAIN pertahanan tengah, Mohamad Fadhli Shas merupakan pemain paling muda dalam skuad kebangsaan untuk saingan Piala AFF Suzuki 2010.
Fadhli akan berusia 20 tahun pada 21 Januari tahun depan tetapi peluang beraksi pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China bulan lalu dan kini saingan Piala AFF Suzuki telah mematangkan dirinya.
Menurut Fadhli, kesilapan yang dilakukannya bersama rakan-rakan di barisan pertahanan ketika dibelasah 5-1 oleh Indonesia pada aksi sulung Piala AFF Suzuki pada 1 Disember lalu menjadi pengajaran yang cukup bermakna.
"Memang saya akui, ketika turun aksi sulung di Jakarta itu, perasaan gementar memang ada kerana saya perlu beraksi di peringkat tertinggi dan di hadapan puluhan ribu penyokong tuan rumah.
"Tapi kesilapan tersebut telah dijadikan pengajaran dan pengalaman cukup bermakna untuk saya memperbaikinya sedikit demi sedikit setiap perlawanan," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Fadhli telah bergandingan baik dengan Muslim Ahmad, 21, di posisi pertahanan tengah setelah ketiadaan tiga tonggak utama skuad kebangsaan, Aidil Zafuan Radzak, Norhafiz Zamani Misbah dan Nasriq Baharom yang mengalami kecederaan panjang.
Fadhli, Muslim, Asraruddin Putra Omar serta Mahali Jasuli atau Sabre Mat Abu sekali lagi bakal dipertaruhkan jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal untuk merantai pergerakan barisan serangan Indonesia yang diketuai penyerang berasal dari Uruguay, Cristian Gonzales.
"Apabila sudah sampai di peringkat ini, sudah tentu kami tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Saya mahu menamatkan tahun 2010 ini dengan kejayaan menjuarai Piala AFF Suzuki.
"Sebagai pemain paling muda dalam pasukan, saya mahu menjadi sebahagian daripada sejarah dengan kejayaan membawa Malaysia menjulang piala ini buat kali pertama," ujar Fadhli penuh yakin.
Pemain Harimau Muda A yang berasal dari Johor Bahru itu turut menyimpan hasrat beraksi bersama kelab luar negara andai ditawarkan peluang sedemikian bagi mengembangkan karier bola sepaknya.

Indonesia ancam mahu boikot


DUTA BESAR Republik Indonesia di Malaysia, Tan Sri Da’i Bachtiar (kiri) ditemani Nugraha pada sidang akhbar di ibu negara semalam bagi menjelaskan ancaman boikot skuad Indonesia.


“TINDAKAN walk out (keluar padang) bererti pasukan kita (Indonesia) pengecut.
“Jadi Indonesia tidak akan sesekali atau tak boleh walk out. Itu akan menjadi kerugian kepada kita sendiri.”
Demikian penegasan dibuat Setiausaha Agung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Nugraha Besoes pada sidang akhbar di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pagi semalam.
Ia rentetan laporan pihak media di negara republik itu kelmarin bahawa skuad Indonesia mengancam untuk memboikot aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil andai pemain mereka diganggu sinaran laser oleh penyokong Malaysia.
Dakwa mereka, pada aksi separuh akhir pertama Malaysia bertemu Vietnam minggu lalu, penjaga gol Vietnam telah diganggu sinaran laser sehingga menyebabkan pasukan juara bertahan itu tewas 0-2.
“Memang perkara ini berlaku ketika Malaysia bertemu Vietnam tempoh hari. Tapi permainan telah dihentikan seketika sehingga individu yang memancarkan sinaran laser itu ditangkap.
“Jadi kami telah bertemu pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam (kelmarin) bagi meminta jaminan hal yang sama tidak berulang pada Ahad ini.
“Tapi jika ia berlaku sekali pun, permainan akan dihentikan seketika sehingga individu terbabit ditangkap. Jadi tak wajar untuk kita melakukan tindakan walk out kerana kita sendiri yang rugi,” jelas Nugraha pada sidang akhbar tersebut.
Pihak media di Indonesia mungkin mahu sengaja mensensasikan berita berhubung pemboikotan tersebut apabila mereka memetik komen daripada Ketua Umum PSSI, Nurdin Halid ketika pertemuan dengan media di Pejabat PSSI di Senayan, Jakarta kelmarin.
Nurdin dipetik sebagai berkata pada pertemuan tersebut: “Soal sinar laser pernah dikeluhkan jurulatih Vietnam kerana ia berbahaya jika terkena mata secara berlebihan.
“Jika itu terjadi lagi, kami akan memboikot pertandingan. Pasukan kami akan terus menghentikan permainan.”
Namun, dakwaan Nurdin ini agak keterlaluan sekali gus disensasikan oleh media Indonesia.
Apalah sangat pada sinar laser, dan tidak mungkin ia boleh menjejaskan rentak permainan seseorang pemain itu.
Indonesia seharusnya tidak perlu membuat helah seperti itu, sebaliknya berterima kasih kerana terlalu diberi keistimewaan sepanjang kejohanan ini.
Mereka beraksi di tempat sendiri sehingga ke perlawanan separuh akhir berbanding pasukan lain.
Ancaman untuk memboikot hanya disebabkan sinaran laser, membuktikan betapa pengecutnya mereka untuk beraksi di gelanggang lawan.
Indonesia boleh dianggap bernasib baik melangkah ke final kerana dua perlawanan separuh akhir dilangsungkan di Gelora Bung Karno, Jakarta ekoran masalah stadium dihadapi lawan mereka, Filipina.
Sepatutnya, aksi kedua separuh akhir antara Indonesia dengan Filipina itu diadakan di gelanggang berkecuali sama ada di Singapura atau di Kuala Lumpur.
Indonesia tidak perlu membuat sebarang helah menjelang perlawanan akhir pertama ini kerana mereka sudah terlalu banyak mendapat keistimewaan sepanjang kejohanan ini.

Rabu, 22 Disember 2010

Tiket final RM30 dijual esok


PEMINAT boleh mendapatkan tiket final pertama Piala AFF Suzuki 2010 bermula esok.


TIKET-TIKET bagi menyaksikan final pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini akan dijual pada harga RM30 dan RM50 bermula pagi esok.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperuntukkan sejumlah 88,000 keping tiket dengan 72,500 daripadanya untuk penyokong Malaysia dan baki 15,500 untuk penyokong Indonesia.
Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM, Datuk S. Sivasundaram berkata, tiket berharga RM30 adalah untuk tempat duduk terbuka manakala tiket berharga RM50 untuk tempat duduk utama.
"Bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, tiket untuk tempat duduk terbuka masih kita kekalkan RM5. Nak beli dalam jumlah lima keping atau 10 keping boleh tetapi jika nak beli sekali gus 500 keping, kami tidak akan benarkan.
"Untuk penyokong Malaysia, mereka boleh mula membeli tiket di Kaunter Pintu Kuning, Stadium Nasional pada Khamis (esok) dari pukul 10 pagi hingga 7 malam, juga pada waktu yang sama pada Jumaat dan Sabtu.
"Jika masih ada tiket, ia akan dijual pada Ahad bermula 10 pagi," katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad pada sidang media sama memberitahu, hanya 15,500 tiket daripada jumlah keseluruhan 88,000 tiket itu diperuntukkan kepada penyokong Indonesia.
"Saya menerima kunjungan Setiausaha Agung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Nugraha Besoes hari ini (semalam) untuk membincangkan tentang peruntukan tiket penyokong Indonesia.
"Kita beri peruntukan 15,000 keping tiket RM30 dan 500 keping tiket RM50 kepada mereka. Nughara akan berbincang dengan Kedutaan Indonesia di Malaysia pagi esok (hari ini).
"Jika dibenarkan, tiket untuk penyokong Indonesia ini akan dijual di pekarangan kedutaan. Jika tidak, FAM akan menjualnya di Kaunter Pintu Biru, Stadium Nasional bermula Khamis (esok)," jelas Azzuddin.
Menurut Azzuddin, skuad kebangsaan Indonesia akan tiba dengan pesawat sewa khas di Lapangan Terbang Subang pada 12.30 tengah hari Jumaat ini dan mengadakan latihan pada pukul 5 petang di Padang MSN, Bukit Jalil.
Ditanya soal keselamatan kedua-dua penyokong, Azzuddin berkata: "Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) bagi perlawanan ini akan bermesyuarat esok (hari ini) untuk membincangkan secara terperinci tentang isu ini."

Beckham kekal di Galaxy


BECKHAM tidak akan dilepaskan beraksi di Eropah meskipun MLS kini sedang berehat.


LONDON - Kelab Amerika Syarikat, LA Galaxy menyatakan bahawa David Beckham akan kembali bersama mereka bulan depan dan tidak akan dipinjamkan ke kelab lain sepanjang tempoh rehat Liga Bola Sepak Major (MLS).
Pemain tengah berusia 35 tahun itu masih berharap dapat beraksi di Eropah sewaktu cuti rehat musim sejuk ini bagi membuka peluang dia dipanggil semula menyarung jersi skuad kebangsaan England.
Sepanjang dua musim lalu, Beckham telah dipinjamkan ke AC Milan ketika waktu rehat MLS.
Namun kali ini, LA Galaxy enggan membenarkannya lagi setelah Beckham mengalami kecederaan Achilles tendon ketika beraksi di Serie A pada Mac lalu.
Dalam satu kenyataan semalam, LA Galaxy memberitahu bahawa mereka tidak akan menimbang sebarang permohonan pinjaman dan Beckham diminta melaporkan diri bersama rakan-rakan sepasukannya pada Januari depan untuk persiapan musim baru.
Ia berikutan hasrat yang disuarakan Beckham baru-baru ini bahawa dia berminat untuk sekali lagi beraksi secara pinjaman dengan kelab-kelab di Eropah.
"Saya mungkin tidak akan ke Milan kali ini kerana tempoh masa yang singkat bersama kelab itu. Tapi saya mungkin akan ke kelab lain untuk mendapatkan semula tahap kecergasan supaya dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan," kata Beckham.
Namun Beckham berkata, hanya satu pasukan Liga Perdana England yang akan dipertimbangkannya iaitu Manchester United, kelab yang ditinggalkannya untuk menyertai Real Madrid pada 2003.
"Mungkin satu hari nanti saya akan kembali ke England tetapi hanya untuk United. Kita tunggu dan lihatlah apa yang akan berlaku nanti,

Tevez setuju kekal di Eastlands


TEVEZ bersetuju kekal di Eastlands selepas berbincang dengan pemilik kelab.


MANCHESTER – Carlos Tevez membawa khabar gembira buat Manchester City.
Semalam, dia telah memberi persetujuan untuk terus kekal dengan kelab di Eastlands itu.
Namun berita tersebut gagal membantu City meraih kemenangan apabila tewas 1-2 kepada Everton di laman sendiri, sekali gus melepaskan peluang merampas tangga teratas Liga Perdana England daripada Manchester United.
Penyerang Argentina itu telah membatalkan hasrat untuk meninggalkan City setelah mengadakan pertemuan dengan pengerusi kelab, Khaldoon Al Mubarak dan ketua eksekutif kelab, Garry Cook sebelum aksi bertemu Everton itu.
Pengurus City, Roberto Mancini berkata: “Keputusan Tevez untuk kekal sesuatu yang cukup penting. Tapi hanya itu saja berita gembira buat kami malam ini (awal pagi semalam) kerana kami telah tewas kepada Everton.”
Everton mendahului menerusi jaringan Tim Cahill seawal minit keempat dan Leighton Baines (19) sebelum gol sendiri Phil Jagielka (72) menghidupkan sedikit peluang City.
Namun Everton yang dibimbing David Moyes cekal bertahan biarpun penyerangnya, Victor Anichebe dibuang padang pada minit ke-60 sebelum pertahanan City, Kolo Toure turut dibuang padang pada minit ke-90.
“Kami gembira kerana segala masalah berhubung Tevez telah selesai. Tevez seorang pemain kelas dunia dan sumbangannya kepada kelab ini tidak ternilai.
“Saya lega kerana kini boleh fokus semula perhatian kepada pasukan tetapi pada masa sama sedikit kecewa kerana kami melepaskan peluang untuk merampas tangga teratas liga,” jelas Mancini.
Sementara itu, Moyes pula berkata: “Kami bukan pada prestasi terbaik dan ternyata kemenangan ini cukup menggembirakan. Sukar untuk beraksi 10 pemain terutama untuk mengawal pergerakan Tevez.” 

Selasa, 21 Disember 2010

Nasri pandang rendah keupayaan Red Devils


NASRI anggap United bernasib baik kerana aksi di Stamford Bridge ditangguh.


LONDON - Bintang Arsenal, Samir Nasri menegaskan Manchester United bernasib baik kerana pertemuan menentang Chelsea pada aksi Liga Perdana England kelmarin telah ditangguhkan.
"United bernasib baik kerana perlawanan di Stamford Bridge telah ditangguhkan kerana salji semalam (kelmarin) kerana mereka tidak akan memperoleh kemenangan.
Pemain tengah skuad The Gunners turut menegaskan, Red Devils bakal bergelut untuk mencipta kemenangan di Blackpool pada perlawanan seterusnya.
Ketika kapten Arsenal, Cesc Fabregas mempersoalkan kemampuan kelab London itu untuk memenangi beberapa perlawanan penting, Nasri yakin perebutan gelaran masih terbuka.
Arsenal terlepas kedudukan teratas liga selepas mereka tewas 0-1 kepada United di Old Trafford minggu lalu.
"Saya fikir, kami masih mampu untuk memenangi gelaran liga.
"Sebagai satu permulaan, United sepatutnya bermain menentang Chelsea dan saya tidak nampak mereka akan memenangi perlawanan itu.
"Saya juga tidak fikir, perlawanan menentang Blackpool akan memihak kepada mereka kerana Blackpool bukan pasukan yang mudah.
"Saya yakin, kami memiliki kualiti dan kami kelihatan lebih matang ketika ini.
"Kami akan lihat bagaimana kami menghadapi perlawanan selepas Krismas ini dan kami selepas itu kami akan mengetahui kedudukan sebenar kami tetapi saya yakin sepenuhnya." 

'Malaysia pasukan underdog'



BARISAN pemain Malaysia yang akan berentap pada final Piala AFF Suzuki 2010 menentang Indonesia.


KEKALAHAN 1-5 kepada Indonesia pada perlawanan pembukaan Kumpulan A di Gelora Bung Karno, Jakarta 1 Disember lalu tidak boleh dijadikan ukuran kerana skuad negara akan turun sebagai pasukanunderdog apabila kedua-dua pasukan berentap pada final Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2010 pada Ahad ini dan 29 Disember ini.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar kecil) berkata, kekalahan yang dialami oleh skuad bola sepak negara sebelum ini seharusnya dijadikan pengajaran buat para pemain agar lebih berhati-hati dan komited pada pertemuan 'ulangan' ini.
Tengku Abdullah memberitahu, baginda yakin dengan keupayaan pemain negara dan amat berbangga dengan kekuatan mental yang dipamerkan ketika mereka beraksi di hadapan penonton Vietnam pada perlawanan separuh akhir kedua, Sabtu lalu.
Pada perlawanan itu, Malaysia mencatat keputusan seri 0-0 dengan Vietnam, sekali gus melayakkan diri ke final dengan agregat 2-0 dan akan menentang Indonesia yang berjaya menumpaskan Filipina 1-0 Ahad lalu.
Tengku Abdullah berkata, berdasarkan prestasi skuad negara ketika menentang Vietnam, beliau mendapati Malaysia bermain terlalu bertahan dan ia boleh membawa padah jika pemain pertahanan membuat kesilapan semasa menentang Indonesia nanti.
"Bahagian pertahanan dan hadapan perlu seimbang kerana kita memerlukan gol awal.
Kita perlu menjaringkan sebanyak yang boleh ketika bertemu Indonesia, dan jika boleh lebih banyak daripada lima gol yang kita bolos kepada Indonesia (pada perlawanan pembukaan lalu).
"Kekalahan 1-5 kepada Indonesia sepatutnya menjadi pengajaran yang baik dan untuk mereka bermain dengan lebih baik, saya pasti jurulatih (K.Rajagobal) lebih mengetahui apa yang perlu dilakukan seterusnya," kata Tengku Abdullah ketika ditemui pemberita di Wad Diraja Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan malam kelmarin selepas menjalani pembedahan kecil di bahagian hidung, Jumaat lalu.


Tambah Tengku Abdullah, baginda menyaksikan perlawanan tersebut secara langsung menerusi televisyen dari katilnya di hospital berkenaan.
Dalam pada itu, baginda berharap agar para pemain dapat menggunakan peluang sebaik-baiknya apabila beraksi di halaman sendiri pada hari Ahad ini untuk meraih kemenangan.
"Saya berbangga dengan para pemain kerana boleh menahan tekanan daripada penyokong Vietnam (baru-baru ini) dan mereka seharusnya mengekalkan ujian mental sebegitu apabila berhadapan dengan penyokong Indonesia di Jakarta kelak (29 Disember).
Baginda berkata, selain daripada kecergasan fizikal, pemain juga perlu memiliki kekuatan mental untuk berjaya.
"Skuad negara telah membuktikan mereka mencapai tahap kekuatan mental yang tinggi di Vietnam, bermain tanpa rasa takut dan gentar. Jadi mereka kini perlu mengekalkannya dengan penuh keazaman,"

Muslim akan pastikan Gonzales dirantai




PENYERANG berasal dari Uruguay, Cristian Gonzales boleh dianggap sebagai nadi utama jentera serangan Indonesia sepanjang kempen Piala AFF Suzuki 2010.
Andai pendahulu senarai penjaring terbanyak itu dapat dirantai pergerakannya, ia pasti akan melumpuhkan jentera hadapan Indonesia ketika menghadapi Malaysia pada aksi final timbal balik Ahad ini dan Rabu depan.
Bagi pemain pertahanan tengah skuad kebangsaan, Muslim Ahmad (gambar), dia menamakan Gonzales, 34, dan pemain sayap Indonesia, Oktovianus Maniani, 20, sebagai dua pemain yang perlu dikawal rapi olehnya serta tiga rakan pertahanan, Fadhli Shas, Sabre Mat Abu dan Asraruddin Putra Omar.
"Gonzales merupakan kunci utama kekuatan pasukan Indonesia. Selain itu, Oktovianus juga perlu disekat kelincahannya menerusi gerakan dari bahagian sayap.
"Misi kami adalah mencari bekalan gol yang selesa untuk dibawa ke Jakarta pada Rabu depan. Pengalaman beraksi di Slovakia bersama Harimau Muda A banyak membantu saya terutama untuk memberi cabaran fizikal kepada lawan.
"Final ini merupakan peluang terbaik untuk kami menebus kekalahan 1-5 pada aksi sulung 1 Disember lalu. Kami akan ikut segala arahan jurulatih (K. Rajagobal) dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sebelum ini," kata Muslim.
Pemain muda berusia 21 tahun berasal dari Terengganu itu merupakan salah seorang daripada dua pemain Malaysia yang beraksi sepenuh masa (450 minit) dalam lima perlawanan setakat ini selain kapten, Safiq Rahim.
Turut beraksi penuh sepanjang kejohanan ini ialah dua pemain Indonesia iaitu penjaga golnya, Markus Harison Rihihina dan pemain pertahanan, Maman Abdurahman.
Tambah Muslim: "Secara peribadi, saya berjanji akan mempamerkan satu permainan paling baik pada kedua-dua perlawanan akhir nanti untuk mencipta sejarah menjulang Piala AFF Suzuki buat kali pertama."
Skuad kebangsaan yang diberi rehat selama dua hari selepas pulang dari Hanoi, Vietnam kelmarin akan menyambung semula sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula hari ini.