KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Rabu, 20 Oktober 2010

Final Piala Malaysia 2010 kembali ke Stadium National Stadium, Bukit Jalil

Stadium Nasional Bukit Jalil kembali menjadi gelanggang perlawanan akhir Piala Malaysia 2010. FAM telah bersetuju memilih stadium Nasional Bukit Jalil sebagai stadium utam dan tidak lagi isu menggunakan stadium Melawati Shah Alam sebagai stadium utama seperti yang diwar-warkan sebelum ini.

Kekuatan seimbang - Sathia



NORFARHAN MOHAMAD (tengah) bakal bertindak sebagai penggempur Kelantan pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Kedah malam ini.


"PELUANG kami seimbang."Begitulah pendapat ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan ketika ditanya mengenai pertemuan dengan Kedah pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.
Menurut bekas jurulatih kebangsaan itu, peluang yang dimiliki oleh kedua- dua pasukan seimbang walaupun Kedah kehilangan beberapa tonggak utama bagi perlawanan tersebut.
Katanya, skuad Hijau Kuning itu masih mempunyai pemain muda berwibawa untuk diturunkan bagi menggantikan tonggak utama mereka.
Sehubungan itu katanya, beliau mengharapkan anak-anak buahnya dapat mempamerkan aksi cemerlang seperti persembahan ketika menewaskan Selangor 3-0 dalam perlawanan kedua suku akhir di Kota Bharu sebelum ini.
"Saya difahamkan, mereka kehilangan beberapa tonggak utama, namun pemain gantian mereka tidak kurang hebatnya. Saya yakin kita tetap mempunyai peluang pada perlawanan ini.
"Untuk itu kita akan turun berjuang habis-habisan dan tidak akan memberikan laluan mudah buat pasukan Kedah meskipun beraksi di tempat lawan," katanya.
Menurut Sathianathan, beliau juga berharap agar jentera serangan pasukannya dapat menggunakan setiap peluang yang dimiliki sebaik mungkin untuk mencari bekalan selesa sebelum mengharungi aksi kedua di Kota Bharu, Sabtu ini

'Tottenham bukan lawan mudah'


VAN DER VAART akan mengetuai jentera serangan Spurs ketika menentang Inter di San Siro awal pagi esok.


MILAN - Jurulatih Inter Milan, Rafael Benitez bakal menggunakan pengalaman enam tahunnya dalam saingan Liga Perdana England untuk menundukkan Tottenham Hotspur pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi esok.
Inter bakal menanti kunjungan anak-anak buah Harry Redknapp di San Siro dengan pasukan yang memenangi pertemuan itu bakal mendahului saingan Kumpulan A.
Inter dan Tottenham kini berkongsi empat mata selepas dua perlawanan tetapi Inter di tangga teratas berdasarkan kelebihan perbezaan gol.
Untuk rekod, Benitez sudah berdepan skuad kendalian Redknapp termasuk Southampton dan Portsmouth sebanyak 13 kali dalam saingan Liga Perdana England ketika beliau bergelar pengurus Liverpool sebelum ini.
Namun Benitez sedar, beliau bakal berdepan skuad kendalian Redknapp yang paling kuat kali ini dengan dibarisi penyerang, Rafael van der Vaart.
Lantas jurulatih Inter itu cukup berharap agar Esteban Cambiasso, Goran Pandev dan Ivan Cordoba benar-benar cergas untuk turun beraksi awal pagi esok.
"Jika kami bernasib baik, mereka bertiga ini dapat diturunkan menentang Tottenham. Tetapi saya menjangkakan ia suatu perlawanan yang sukar kerana secara mentalnya, Tottenham cukup kuat dan memiliki serangan balas yang mantap.
"Jadi kami perlu beraksi dengan cukup baik jika kami mahu mencatat kemenangan ke atas Tottenham," kata Benitez.
Inter dijangka bakal turun tanpa Diego Milito tetapi tempatnya mampu diisi penyerang Cameroon, Samuel Eto'o.
Sementara itu, Redknapp tidak terlalu bimbangkan ancaman Eto'o tetapi melihat kekuatan keseluruhan yang dimiliki Inter perlu lebih dirisaukannya.
"Kita berdepan sebuah pasukan yang lebih bagus dan tentunya sukar untuk menewaskan mereka di laman sendiri. Jika kami pulang dengan satu mata pun, ia sudah cukup menggembirakan," kata Redknapp

Man. City sedia melabur dapatkan Rooney RM493j


MASALAH Rooney di Old Trafford kini mendapat perhatian City.


LONDON – Manchester City sedia membuat tawaran perpindahan paling mahal dalam sejarah bola sepak dengan pakej berjumlah £100 juta (RM493 juta) bagi mendapatkan penyerang Manchester United, Wayne Rooney.
Penyerang England itu telah memaklumkan kepada United tentang niatnya yang enggan menyambung kontrak baru selepas perselisihan faham dengan pengurus, Alex Ferguson.
City kini bersedia mengambil kesempatan di atas masalah yang sedang melanda kelab Old Trafford itu.
Kelab Eastlands itu dikatakan merancang mengemukakan pakej perpindahan yang bakal menyaksikan mereka membayar United £50 juta (RM246.3 juta) ke atas Rooney dengan tambahan £50 juta (RM246.3 juta) bagi membayar gaji penyerang tersebut yang masih ada baki kontrak selama empat tahun lagi di United.
City juga sanggup menjadikan Rooney sebagai pemain yang menerima bayaran termahal dalam Liga Perdana England dengan gaji mencecah £250,000 (RM1.2 juta) seminggu atau £13 juta (RM64 juta) setahun.
Malah, Rooney yang semakin tidak gembira dengan kehidupannya di Old Trafford juga dikatakan bersedia menerima tawaran perpindahan paling kontroversi itu yang melibatkan dua kelab di Manchester.
Real Madrid telah menafikan yang mereka berminat membeli Rooney apabila musim perpindahan
dibuka Januari depan, manakala Barcelona pula tidak mempunyai sumber kewangan yang besar untuk mendapatkan penyerang berusia 24 tahun itu.
Rooney meninggalkan Everton ketika berusia 20 tahun untuk menyertai United pada musim 2004 dengan yuran perpindahan berjumlah £25.6 juta (RM126 juta)

Chelsea buka pintu


LONDON - Carlo Ancelotti membuka pintu buat penyerang sensasi Manchester United, Wayne Rooney menyertai Chelsea. Ketika ini, pengurus The Blues itu sedang memantau hubungan Rooney dengan pengurus United, Alex Ferguson yang kini dilaporkan semakin panas.
Situasi itu mencetuskan spekulasi bahawa Rooney bakal meninggalkan Old Trafford.
"Kami kena tunggu dan lihat sama ada Wayne Rooney benar-benar mahu meninggalkan Manchester United dan mereka juga mahu menjualnya.
"Sekiranya United bersedia melepaskan Rooney, bukan saja akan menarik perhatian Chelsea, bahkan kelab lain juga akan berminat," jelas Ancelotti.
Baru-baru ini, pemilik Chelsea, Roman Abramovich telah mengarahkan agar perbelanjaan skuad The Blues itu dikurangkan.
Namun, sumber rapat kepada jutawan Rusia itu memberitahu: "Sekiranya harga Rooney berpatutan, Abramovich sudah pasti berminat untuk mendapatkannya."
Rooney, 24, mempunyai baki kontrak 18 bulan lagi di Old Trafford dan difahamkan, penyerang England itu juga mahu gaji sebanyak £200,000 (RM985,772) seminggu untuk kekal bersama United

Selasa, 19 Oktober 2010

City kukuhkan reputasi


DAVID SILVA (kanan) meledak gol ketiga City pada aksi menentang Blackpool kelmarin.


LONDON – Roberto Mancini menjelaskan bahawa Manchester City kini semakin hampir mengubah reputasi mereka untuk menjadi sebuah kelab bergelar juara.
City kini mengekori rapat pendahulu Liga Perdana England, Chelsea dengan perbezaan dua mata hasil jaringan menakjubkan David Silva dan dua gol Carlos Tevez ketika mengalahkan Blackpool 3-2 kelmarin.
Kelab Eastlands itu kini telah menang empat perlawanan liga meskipun Mancini menegaskan, para pemainnya masih belum berada pada tahap prestasi terbaik.
Mancini berkata: “Kami terus mengubah mentaliti kami. Chelsea juga kadangkala boleh memenangi perlawanan yang tidak sepatutnya mereka menang dan kami juga harus melakukan perkara yang sama.
“Kami telah bermain dalam lapan perlawanan dan enam dari- padanya kami bermain dengan baik. Kami tidak beraksi dengan baik pada babak pertama tetapi kebali bangkit pada babak kedua.
“Ia penting kerana kamu tidak selalunya boleh bermain dengan baik. Kadangkala amat penting untuk menang seperti apa yang kami lakukan di sini.”
Ayam tambatan City, Tevez kini telah meledakkan 28 gol dalam 31 perlawanan liga buat kelab tersebut.
Mancini sempat pula bergurau mengenai perselisihan fahamnya dengan penyerang Argentina itu ketika menentang Newcastle dua minggu lalu yang mana City mempamer aksi kurang baik pada babak pertama.
Beliau berkata: “Saya sangat marah dengannya (Tevez) dan juga semua pemain selepas menyaksikan aksi hambar pada babak pertama

Hodgson dalam dilema


HODGSON


LONDON – Liverpool terus dihimpit sengsara.Keadaan tersebut turut menghadirkan resah kepada pengurusnya, Roy Hodgson.
Kekalahan terus menyelubungi kelab dari Anfield itu, mengakibatkan mereka menghuni tangga kedua tercorot Liga Perdana England dengan enam mata.
Sejak Hodgson menerajui kelab yang mendapat jolokan The Reds itu, tiada keistimewaan yang ditonjolkannya kecuali kekalahan walaupun beraksi di gelanggang sendiri.
Paling memalukan ialah ketika mereka tewas 1-2 kepada pendatang baru liga, Blackpool di gelanggang sendiri awal bulan ini dan penyokong Liverpool tidak boleh menerima keputusan tersebut.
Ekoran itu, mereka mendesak agar Hodgson dipecat dan digantikan dengan Kenny Dalglish yang kini menerajui akademi pembangunan bola sepak Liverpool.
Terbaru, kelab itu tewas 0-2 kepada Everton dan situasi tersebut terus meresahkan penyokong mereka yang tidak mahu melihat Liverpool yang memiliki reputasi sebagai kelab elit jatuh ke liga bawahan.
Begitupun, pemilik baru kelab, John W Henry masih belum berani untuk mengambil sebarang tindakan sama ada untuk memecat Hodgson.
Namun, sumber dalaman kelab menjelaskan, khabar angin kini bertiup kencang bahawa Hodgson bakal menjadi pengurus pertama dipecat dalam saingan Liga Perdana England musim ini.
Kedudukan Liverpool sekarang juga merupakan yang terburuk dalam sejarah kelab berkenaan.
Meskipun mengetahui tentang khabar angin bahawa beliau bakal berdepan pemecatan, Hodgson, 63, belum panik, malah masih mampu tersenyum walaupun terus gagal membawa perubahan kepada kelab.
“Ini adalah cara permainan kami dan saya yakin lama-kelamaan ia akan membawa keputusan yang lebih baik kepada pasukan.
“Saya juga tidak menolak kemungkinan masalah dalaman yang berlaku sebelum ini serba sedikit telah menjejaskan prestasi kelab. Kini semuanya sudah berakhir dan saya yakin kami akan bangkit,” katanya.
Aksi hambar Liverpool pada perlawanan di Goodison Park itu turut disaksikan oleh pemilik baru mereka yang jelas kecewa dengan apa yang disaksikannya.
Namun, penyokong setia The Reds yang tidak mahu melihat pasukan mereka tersungkur terus mendesak agar Hodgson dipecat bagi membolehkan Dalglish, 59, menerajuinya

Pertembungan dua gergasi Eropah


RONALDO kini semakin kemas dengan tindakan penyudah.


MADRID - Dua pasukan ternama di Eropah, Real Madrid dan AC Milan akan membuat perhitungan dalam aksi Liga Juara- Juara di Santiago Bernabeu awal pagi esok dengan kedua- duanya memasang impian untuk menerajui tangga teratas Kumpulan G.
Real ketika ini mempunyai kelebihan dua mata mengatasi AC Milan selepas kelab Sepanyol itu menang kedua-dua perlawanan awal tanpa dibolosi sebarang gol.
Biarpun Real cemerlang menyumbat 10 gol dalam dua perlawanan terakhir liga domestik, Milan memiliki rekod cemerlang selepas menewaskan Real 3-2 di Bernabeu pada aksi musim lalu menerusi jaringan kemenangan Alexandre Pato.
Namun penyerang Real, Cristiano Ronaldo yakin pasukannya kini sudah menemui rentak dan perlawanan tersebut tepat pada masanya untuk mereka membalas dendam atas kekalahan musim lalu.
"Kemenangan 4-1 ke atas Malaga, Sabtu lalu memberi kami keyakinan untuk menghadapi Milan. Kami sedar kemenangan ke atas Milan secara kasarnya sudah melayakkan kami ke pusingan kalah mati.
"Jadi kami akan turun pada perlawanan ini berbekalkan prestasi semasa yang cukup baik ketika ini," kata Ronaldo.
Jurulatih Real, Jose Mourinho turut memiliki rekod baik bertemu Milan ketika dia membimbing Inter Milan musim lalu dengan tiga kemenangan dan sekali tewas kepada Milan.
"Saya gembira dengan evolusi yang berlaku dalam pasukan ini. Kami berjaya menjaringkan banyak gol kerana kami memiliki penjaring gol dan jika kami menang ke atas Milan, pusingan kalah mati sudah hampir pasti milik kami," kata Mourinho.
Milan pula turut pada prestasi terbaik selepas mereka menewaskan Chievo 3-1 pada aksi Serie A, Sabtu lalu.
Pemain Milan, Andrea Pirlo yakin skuad bimbingan Massimiliano Allegri pada musim ini mampu mengulangi kejayaan lalu apabila menjuarai Liga Juara- Juara pada 2003 dan 2007 ketika dibimbing Carlo Ancelotti.
"Pasukan ini mengingatkan saya kepada skuad Milan ketika di bawah bimbi- ngan Ancelotti. Saya ketika itu beraksi sebagai pemain tengah bersama Kaka dan Rui Costa.
"Kami kini sudah mula kembali beraksi seperti itu yang mana ia telah membawa kejayaan cemerlang. Kami harap ia merupakan suatu petanda yang baik

Rajagobal tiada sasaran

SKUAD bola sepak kebangsaan memulakan latihan di Kelana Jaya semalam sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia 2010.


JURULATIH skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal mengakui sukar untuk meletakkan apa- apa sasaran pada kempen Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China (8 November) dan Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta, Indonesia bermula 1 Disember depan.
Menurut Rajagobal, jadual liga tempatan yang begitu ketat serta faktor keletihan pemain menyebabkan tidak banyak persediaan yang mampu dilakukan skuad negara dalam tempoh yang sangat singkat itu.
"Kita semua kena faham dalam situasi ini, sukar untuk saya meletakkan sasaran pada kedua-dua kejohanan ini. Kita akan beri tumpuan kepada persiapan menghadapi Sukan Asia terlebih dahulu, kemudian barulah fikirkan Piala AFF Suzuki.
"Apa-apa sasaran pun kita boleh letak tetapi tiada jaminan ia mampu dilaksanakan atau sebaliknya. Falsafah saya, lebih baik kita fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan berikutnya dari- pada buat satu sasaran yang tinggi.
"Tetapi kita tetap akan cuba buat yang terbaik. Tiada pasukan yang pergi ke sesuatu kejohanan itu untuk kalah," katanya ketika ditemuiKosmo! selepas sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Hanya 16 pemain hadir menjalani latihan hari pertama itu dengan empat lagi pemain, Shar- binee Allawee Ramli, Ashaari Shamsuddin, Farizal Marlias dan Faizal Muhammad akan menyertai pasukan hari ini.
Sharbinee bagaimanapun mengalami kecederaan pada ligamen bahu kanannya ketika beraksi dengan Terengganu menentang Kedah pada Sabtu lalu dan memerlu- kan tempoh seminggu untuk pulih sepenuhnya.
Manakala baki 10 lagi pemain iaitu lima pemain Kedah, tiga pemain Kelantan dan dua pemain Negeri Sembilan hanya akan mula menyertai latihan selepas pasukan negeri mereka tersingkir dari- pada saingan Piala Malaysia.
Rajagobal memanggil sembilan pemain melebihi usia 23 tahun untuk kem latihan kali ini sebagai persiapan serampang dua mata bagi Piala AFF Suzuki memandangkan hanya tiga daripadanya boleh dibawa ke Sukan Asia.
Sembilan pemain senior itu ialah Sharbinee, Farizal, Norshahrul Idlan Talaha, S. Kunanlan, Azmi Muslim, Amirulhadi Zainal (masing-masing berusia 24 tahun), Ashaari, 25, Safee Sali, 26, dan Norhafiz Zamani Misbah, 29.

Jangan gentar hadapi Kelantan




SABREE ABU terpaksa menjadi penonton pada aksi separuh akhir pertama menentang Kelantan esok.
"JANGAN gugup dan gunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk meraih kemenangan."
Begitu nasihat kapten Kedah, Mohd. Sabre Abu yang tidak dapat diturunkan kerana layangan kad kuning pada saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Darulaman, Alor Setar malam esok.
Sabree yang pernah membantu Kedah meraih gelaran treble pada musim 2007 dan 2008 berharap rakan sepasukannya dapat menunjukkan komitmen yang tinggi lebih-lebih lagi beraksi di depan penyokong sendiri.
Katanya, pemain juga perlu tenang dan menyerap tekanan dengan baik agar tidak menjejaskan rentak permainan pasukan.
"Pemain perlu beraksi macam biasa dan tidak gugup. Kelebihan bermain di tempat sendiri sewajarnya digunakan untuk beraksi dengan lebih baik," katanya kepada Kosmo! semalam.
Tambahnya, peluang Kedah meraih kemenangan ke atas Kelantan adalah seim- bang, namun pemain perlu mencapai kemenangan sebagai bekalan untuk dibawa ke Kota Bharu, Sabtu ini.
"Pertemuan dengan Kelantan adalah sengit. Bagaimanapun, pemain mampu meraih kemenangan apabila dapat memanfaatkan peluang dengan jaringan," katanya.
Dalam pada itu ayam tambatan skuad Hijau Kuning, Baddrol Bakhtiar pula bertekad untuk membantu Kedah meraih kemenangan pada pertemuan itu sebagai pembakar semangat kepada pemain dan penyokong.
Katanya, beliau menjanjikan aksi terbaik dan berharap rakan sepasukan dapat menunjukkan persefahaman yang mantap bagi berdepan saingan Kelantan yang mahu mencuri mata di Alor Setar.
"Pemain berdepan tugas berat menentang Kelantan. Pemain menaruh harapan untuk menang dan bertekad mempamerkan kesungguhan yang tinggi

Isnin, 18 Oktober 2010

Norhafiz antara tujuh dipanggil




TUJUH pemain dipanggil semula menyertai latihan skuad bola sepak kebangsaan yang sedang dalam persiapan menghadapi Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China bulan depan. Mereka antara 30 pemain yang akan memulakan sesi latihan di bawah kendalian jurulatih, K. Rajago- bal hari ini.

Pemain-pemain terbabit terdiri daripada pemain KL Plus, Norhafiz Zamani Misbah, Amirul- hadi Zainal (Selangor), Ashaari Shamsuddin (Terengganu), Farizal Marlias (Perlis), Khyril Muhymeen Zamri (Kedah), S. Chanturu (Kelan- tan) dan Faizal Muhammad (Hari- mau Muda A).

Namun, hanya 20 daripada 30 pelatih yang disenarai oleh Rajago- bal itu akan memulakan sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada hari ini.

Manakala baki 10 pelatih iaitu lima pemain Kedah, tiga pemain Kelantan dan dua pemain Negeri Sembilan hanya akan menyertai kem sejurus pasukan mereka tersingkir daripada saingan Piala Malaysia.

Skuad bola sepak kebangsaan akan berlepas ke Guangzhou pada 5 November depan untuk menghadapi tiga perlawanan peringkat Kumpulan A bertemu Kyrgyzstan (8 November), Jepun (10 November) dan China (13 November).

Andai berjaya muncul dua pasukan teratas Kumpulan A itu atau menjadi empat pasukan di tempat ketiga terbaik dari kalangan enam kumpulan, Malaysia akan layak ke pusingan kedua yang akan berlangsung pada 15 dan 16 November.

Aksi suku akhir dijadualkan pada 19 November, separuh akhir (23 November) dan final (25 November).

Bagaimanapun, senarai akhir 20 pemain ke Guangzhou itu akan diumumkan Rajagobal beberapa hari sebelum mereka berlepas ke sana dengan hanya tiga pemain melebihi usia 23 tahun boleh diserapkan dalam pasukan.

"Saya panggil 30 pemain ini untuk melihat prestasi mereka. Hanya tiga pemain lebih umur akan ke Sukan Asia,

'Kami masih pendahulu liga'




LONDON - Carlo Ancelotti (gambar) menjelaskan bahawa Chelsea masih lagi memegang status pendahulu Liga Perdana England meskipun diikat tanpa jari- ngan oleh Aston Villa kelmarin.

The Blues gagal menggunakan beberapa peluang yang terhidang ketika berdepan anak-anak buah Gerard Houllier itu di Villa Park.

Begitupun Ancelotti menegaskan, beliau tidak berasa terkilan setelah kehila- ngan dua mata berharga tersebut.

"Saya tidak begitu kecewa kerana Chelsea gagal mendahului pasukan lain dengan tujuh mata dalam liga," kata Ancelotti.

"Tahun lepas kami kalah di sini. Ini adalah suatu keputusan yang baik pada peringkat ini dan memiliki lima mata selesa ke atas pencabar lain, ia sudah cukup bagus.

"Kami tidak bermula dengan baik dan memberi Villa beberapa peluang terbaik menjaringkan gol tetapi pada babak kedua kami bermain sangat baik.

"Kami telah berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan gol.

"Dengan cara kami bermain pada babak kedua, kami sepatutnya berhak memperoleh kemenangan. Tetapi Villa juga bermain dengan baik pada babak pertama, jadi seri adalah keputusan yang adil."

Dengan ketiadaan Didier Drogba yang cedera, tugas memburu gol digalas oleh Nicolas Anelka.

Begitupun, penyerang Perancis itu gagal menggegar jaring termasuk terlepas peluang keemasan pada minit terakhir.

Ancelotti menambah: "Saya tidak mahu memberi komen mengenai pemain yang cedera kerana pemain hari ini menjalankan tugas dengan baik.

Sengsara Liverpool bermula


PENYERANG Liverpool, Joe Cole tidak dapat menahan kesedihan selepas pasukannya tewas 0-2 kepada Everton dalam saingan Liga Perdana England semalam.


LONDON — Zaman sengsara Liverpool bermula dan pasukan itu dilihat berpotensi untuk turun ke liga divisyen satu musim depan. Hajat kelab itu untuk memulakan era baru dalam Liga Perdana England terus terencat.

Semalam, skuad kendalian Roy Hodgson itu mengalami kekalahan 0-2 kepada Everton dalam pertemuan dua kelab jiran setempat Merseyside tersebut.

Dua gol daripada Tim Cahill dan Mikel Arteta menjamin tiga mata penuh buat Everton yang berjaya melonjak ke tangga ke-11, manakala Liverpool jatuh ke tangga kedua tercorot liga.

Dengan pemilik baru kelab itu dari Amerika Syarikat, John W. Henry hadir untuk menonton perlawanan di Goodison Park itu, Liverpool tetap gagal menghadiahkan kejayaan yang amat dinanti-nantikan peminat mereka selepas isu pengambilalihan kelab tersebut sudah diselesaikan.

Kekalahan semalam juga menyaksikan skuad kendalian Roy Hodgson itu hanya mengutip enam mata daripada lapan perlawanan musim ini.

Ia memberi gambaran mengenai tugas sukar yang menanti pemiliknya, Henry dan Kumpulan New England Sports Ventures (NESV) untuk membina semula reputasi The Reds selaku pasukan elit yang kini semakin tenggelam. Apa yang pasti, kekalahan demi kekalahan yang dialami skuad dari Anfield itu boleh dikatakan sebagai landasan untuk mereka turun ke liga bawahan

Ahad, 17 Oktober 2010

Separuh Akhir: Kedah VS Kelantan 19/10/2010




Kemenangan 3-0 Kedah menewaskan Terengganu malam tadi telah menjadikan Kedah pasukan pilihan yang akan bertempur dengan Kelantan selasa ini. Pertembungan ini dianggap klasik bagi Hashim Mustapha kerana Kelantan pernah berjumpa Kedah di separuh akhir ketika zaman kegemilangan beliau dan berakhir dengan Kelantan ditewaskan.

Menggamit kembali sejarah perlawanan Kelantan menentang Kedah dulu, pada waktu inilah kali terakhir melihat rombongan penyokong pelawat paling ramai ke stadium Sultan Muhammad ke 4 dan berlaku insiden pergaduhan kecil antara penyokong Kelantan dengan Kedah dan ianya merupakan misi balas dendam penyokong Kelantan apabila rombongan penyokong Kelantan juga diserang di Alor Star. Bandar Kota Bharu mengalami kesesakan seawal pagi lagi apabila ramai penyokong Kelantan yang datang dari jauh sudah tiba di Kota Bharu. Bendera Kelantan dengan slogan "Cawat Kote" berkibar dimana-mana saja daerah di Kelantan.

Apa yang paling tidak dapat dilupakan, para penyokong Kelantan membawa hampas budu yang diikat dengan balutan kain untuk dibaling pada penyokong Kedah. Bermacam-macam idea dilakukan bagi mencapai misi balas dendam mereka. Perlawanan di Kota Bharu pada masa itu juga merupakan misi balas dendam setelah Kedah menang selesa di Alor Star dan ramai penyokong Kelantan yakin misi balas dendam Hashim Mustapha tercapai, namun perlawanan di Kota Bharu juga memihak pada Kedah.


Akmal Rizal yang sudah kembali mengganas sejak piala Malaysia ini akan berdepan dengan pasukan negeri kelahirannya dan sudah pasti akan berlaku pertembungan jati diri beliau samada menjadikan pasukan negeri kelahirannya mangsa beliau seterusnya atau sebaliknya. Ramai penyokong Kelantan yakin Akmal Rizal seorang pemain yang hebat dan profesional, sudah pasti akan mementingkan kerjaya serta majikannya sekarang daripada tanggapan negatif para penyokong Kelantan apabila beliau mendepani para penyokong Kedah nanti. Akmal Rizal dilihat terlalu profesional dalam menjaga hati rakyat Kelantan, sebagai ingatan bersama beliau pernah dihina oleh penyokong Kelantan pada saingan TM liga Super tetapi beliau melayani karenah dan laungan cemuhan dengan senyuman. Kini dalam saingan piala Malaysia, beliau mampu membuatkan seluruh penyokong Kelantan menobatkannya hero utama yang membawa Kelantan ke separuh akhir.

Peningkatan prestasi jaringan maut dan hantaran kemas Akmal Rizal, Indra Putra, Norfarhan, Mohd Badhri dan pemain-pemain lain ketika menewaskan Selangor jumaat lalu telah menyakinkan seluruh penyokong Kelantan, Kelantan telah memiliki gandingan pemain yang mantap dan berbisa. Kekebalan posisi pertahanan dan penjaga gawang sememangnya sudah membuka mata peminat sukan bolasepak tanahair.

Ramai penyokong Kelantan yakin sekiranya Kelantan terus konsisten dan berwaspada ketika saingan dengan Kedah selasa nanti, mereka yakin sekali lagi stadium keramat The Red Warriors akan menjadi tempat menghukum pasukan lawan. Bagi B. Sathianathan, pasukan Kelantan selesa diletakkan sebagai pasukan kerdil berbanding Kedah yang juga merupakan jagoan utama dalam sejarah piala Malaysia.

Ayuh semua penyokong The Red Warriors lapangkan dada dan suaramu. Bersedia dengan hati yang terbuka untuk menerima sebarang keputusan nanti. Yakinlah dan bersemangatlah untuk bersama-sama pasukan The Red Warriors menuju puncak piala Malaysia 2010. Gegarkan stadium lawan dan stadium keramat kita. Hanya selangkah lagi untuk melihat piala Malaysia menjelajah seluruh bumi Kelantan. Yakin Piala Malaysia bakal menjadi milik kita. Gomo sampai boleh!!!!!

Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Gomo Kelate Gomo

Kelibat de Jong curi tumpuan


LONDON – Pengurus Manchester City, Roberto Mancini bimbang Nigel de Jong akan menjadi tumpuan setiap kali dia turun beraksi.

Ia gara-gara terjahan keras yang dilakukan perancang antarabangsa Belanda itu ke atas pemain sayap Newcastle United, Hatem Ben Arfa dalam aksi saingan Liga Perdana England dua minggu lalu.

Malam ini, kelibat de Jong sekali lagi menjadi perhatian apabila City berkunjung ke Bloomfield Road untuk berdepan Blackpool.

“Dia (de Jong) perlu memberi perhatian yang lebih dalam dua atau tiga perlawanan selepas ini kerana pengadil sudah pasti akan melihat dirinya daripada aspek yang berbeza kali ini,” jelas Mancini.

Aksi-aksi keras yang membabitkan de Jong telah dikecam hebat oleh banyak pihak sejak insiden dia menyepak dada perancang Sepanyol, Xabi Alonso ketika aksi final kempen Piala Dunia 2010 yang lalu.

Ekoran insiden itu, jurulatih Belanda, Bert van Marwijk telah menggugurkan nama de Jong bagi menghadapi kempen kelayakan Euro 2012.

“De Jong turut bersimpati dengan nasib yang menimpa Ben Arfa. Nasib ternyata tidak menyebelahi Ben Arfa kerana bagi saya ia merupakan terjahan biasa dalam perlawanan bola sepak.

“Saya ada bercakap dengan de Jong mengenai perkara ini dan semangatnya untuk beraksi masih lagi menebal.

“Dia seorang pemain yang kuat dan sebenarnya ramai lagi pemain perancang sepertinya,” tambah Mancini.