KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 16 Disember 2010

Malaysia Boleh Ceria Tetapi Perlu Waspada Terbang Ke Hanoi


SAFEE SALI (kiri) muncul wira apabila menjaringkan kedua-dua gol Malaysia pada perlawanan menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.


Jaringan 2 gol oleh Safee Sali berjaya menutup segala tohmahan yang diberikan kepada pasukan Malaysia. Kemenangan ini juga berjaya membuka mata seluruh rakyat Malaysia yang ramai memandang rendah pencapaian pasukan Malaysia dan liga Malaysia sejak seabad lalu. Malah ada yang sudah bosan dengan bolasepak Malaysia. Pencapaian semalam telah merubah segala-galanya apabila ramai yang berpuas hati dengan kemenangan dan aksi perlawanan ini.
Terdapat lagi kelemahan dapat disaksikan melalui hantaran yang kurang kemas dikalangan pemain, kawalan bola yang masih tidak kemas dan barisan tengah yang masih tiada keserasian. Namun kehebatan gandingan Amirulhadi, Norshahrul, S Kunalan dan Safee Sali merobek dan menyerang hendap kubu lawan tampak menjadi berjaya menenggelamkan kelemahan aksi pemain yang dilihat masih perlu digilap bagi mencapai status pemain antarabangsa.
Peminat yakin Malaysia mampu ke final pada saingan separuh akhir kedua nanti sekiranya Malaysia memperkemaskan barisan pertahanan yang sedia ada dan mengekalkan corak bertahan. Kehadiran ramai penyokong Malaysia turut memberi perangsang kepada para pemain untuk beraksi cemerlang. Mungkin bagi sesetengah pemain ini merupakan kejutan bagi mereka apabila dapat bermain dihadapan ribuan penyokong namun bagi 2 pemain Kelantan Norshahrul dan Khairul Fahmi yang sudah lali dengan jumlah penyokong, ianya baru menyamai perlawanan biasa Kelantan.Jika diperhatikan media elektronik kurang memberi promosi pada perlawanan ini berbanding perlawanan jemputan antarabangsa lain. Ini jelas menggambar sikap patriotik berjaya dikalahkan dengan sikap mementingkan keuntungan media tempatan.
Kemenangan ini telah sedikit sebanyak berjaya mengembalikan kegemilangan bolasepak Malaysia yang sudah lama suram. Tahniah pasukan Malaysia teruskan kecemerlangan anda di Hanoi. Gomo Malaysia Gomo....Final milik kita...

Rabu, 15 Disember 2010

Wenger menyalahkan keadaan padang

WENGER menyalahkan keadaan padang licin selepas pasukannya tewas kepada United semalam.


MANCHESTER - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengkritik mutu padang di Old Trafford dengan menganggap ia tidak cukup bagus untuk digunakan selepas pasukannya itu tewas 0-1 kepada Manchester United awal pagi semalam.
Kelab London itu gagal mempamerkan aksi menyerang dengan baik seperti dilakukan mereka sepanjang musim ini sekali gus terlepas kedudukan tangga teratas kepada United selepas kekalahan tersebut.
"Bagi kedua-dua pasukan, kamu boleh melihat berlakunya kesilapan teknikal berpunca daripada keadaan padang yang tidak cukup baik untuk mempamerkan satu permainan bola sepak yang menarik.
"Ia (padang) tampak tidak rata dan kadang kala agak licin," kata Wenger.
Pengurus veteran itu yang sering dilihat enggan bertentang mata dengan pengurus United, Alex Ferguson yang cuba untuk tidak terlalu terlibat dengan sebarang provokasi sebelum bermulanya pertembungan tersebut.
"Kualiti teknikal dalam perlawanan ini pada tahap biasa saja untuk kedua-dua pasukan kerana padang cukup teruk pada padangan saya dan ia telah menjejaskan rentak perlawanan.
"Jika saya tanya kamu, mahu padang yang baik atau padang yang teruk, apakah jawapan kamu?" soal Wenger ketika membidas keadaan padang di Old Trafford itu.
Kakitangan stadium telah menggunakan penyembur air untuk melembabkan padang sebelum perlawanan dan beberapa pemain kelihatan sering tergelincir sepanjang perlawanan tersebut.
Namun, kehebatan lima tonggak tengah United selain kecemerlangan pemain pertahanan, Rafael menghalang hantaran lintang pemain Arsenal sebenarnya turut menyumbang kepada kegagalan pasukan pelawat itu menjana serangan.
Sebelum perlawanan, pemain pertahanan United, Patrice Evra telah melabelkan Arsenal hanya sebagai pusat latihan kerana mereka hanya mampu beraksi dengan cantik tetapi bukanlah pencabar kejuaraan yang sebenar.
Jelas Wenger: "Memang ia satu yang amat mengecewakan tetapi apa yang lebih penting, kami perlu bangkit semula pada perlawanan seterusnya. Kami masih pasukan yang baik secara keseluruhannya biarpun tewas perlawanan ini.

Ji-sung musnahkan Arsenal


JI-SUNG menjaringkan gol kemenangan United pada aksi menentang Arsenal di Old Trafford semalam.


MANCHESTER - Jaringan tunggal pemain Korea Selatan, Park Ji-sung membantu Manchester United menewaskan Arsenal 1-0 untuk merampas semula tangga teratas Liga Perdana England awal pagi semalam.
Namun pengurus United, Alex Ferguson berkongsi perrasaan suka dan duka memandangkan Ji-Sung bakal terlepas beberapa perlawanan selepas ini.
Ji-sung mempunyai tugasan antarabangsa bersama Korea Selatan untuk pusingan akhir Piala Asia di Qatar pada 7 hingga 29 Januari depan.
Pada aksi di Old Trafford itu, Ji-sung melakukan tandukan menarik untuk menghasilkan gol tunggal United pada minit ke-41.
Namun, Wayne Rooney mempersiakan peluang untuk memberikan kemenangan selesa buat United selepas sepakan penaltinya pada minit ke-73 melepasi palang.
"Dia (Ji-sung) kini sedang berada pada prestasi yang cukup baik tetapi kami bakal kehilangannya selepas perlawanan 26 Disember ini.
"Dia akan terlepas tujuh perlawanan kerana menyertai Piala Asia. Ia sesuatu yang membuatkan saya sedih dan kecewa," kata Ferguson.
Dengan kemenangan ke atas Arsenal itu, United bakal berdepan Chelsea pada aksi berikutnya Ahad ini dengan tahap keyakinan yang cukup tinggi.
Andai menang pada aksi di Stamford Bridge itu, United buat pertama kali akan merasai nikmat menghuni tangga teratas liga ketika sambutan Hari Krismas selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2006.
"Kami beraksi cukup baik ketika bertemu Arsenal ini. Kami benar-benar mahu mempamerkan aksi terbaik dan berjaya melakukannya pada separuh masa pertama.
"Tapi saya tak rasa ia satu permainan yang penuh bersemangat selain pengadil turut terlalu tegas pada babak pertama.
"Arsenal cuba bangkit pada babak kedua tetapi kami masih memiliki beberapa peluang terbaik menerusi serangan balas," jelas Ferguson.
Arsenal yang sebelum ini menghuni tangga teratas liga kini dipintas dua mata oleh United tetapi skuad bimbingan Ferguson itu masih kurang satu perlawanan

22,000 tiket habis dijual


PARA peminat bola sepak tempatan nampaknya begitu teruja untuk menyaksikan pertemuan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 menemukan Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Buktinya, sebanyak 22,000 keping tiket telah pun habis dijual dalam tempoh dua hari.
Namun, memandangkan Stadium Nasional boleh memuatkan sehingga 90,000 penonton, para peminat yang belum mempunyai tiket masih boleh membelinya di kaunter tiket stadium bermula pukul 10 pagi ini sehingga perlawanan bermula.
Pengerusi Jawatankuasa Tiket & Pintu Masuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram berkata, penjualan tiket yang laris sepanjang kelmarin dan semalam membuktikan skuad kebangsaan kali ini mendapat sokongan penuh peminat tempatan.
"Pada hari pertama penjualan tiket di Wisma FAM semalam (kelmarin), sebanyak 5,000 keping tiket telah terjual. Hari kedua penjualan tiket di kaunter Stadium Nasional hari ini (semalam) menyaksikan sebanyak 17,000 keping tiket lagi telah terjual.
"Keseluruhannya, kita sudah menjual 22,000 keping tiket daripada sejumlah 50,000 keping tiket yang kita cetak. Tapi jika tidak mencukupi, kita akan tambah lagi cetakan," katanya ketika dihubungi Kosmo!malam tadi.
Namun, Sivasundaram yang juga Bendahari Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menambah, jika 50,000 penonton hadir malam ini, ia sudah cukup membanggakan kerana sudah lama aksi melibatkan skuad kebangsaan gagal menarik penonton seramai itu.

'Jersi kuning tak bawa tuah'



WIRA-WIRA bola sepak negara sudah bersiap sedia untuk menghadapi ancaman Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.


BIARPUN turun selaku tuan rumah, Malaysia bakal menggunakan jersi kedua mereka berwarna biru untuk menghadapi Vietnam pada separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Pada dua aksi Kumpulan A sebelum ini, Malaysia menggunakan jersi kedua berwarna biru dan berjaya mengikat Thailand 0-0 dan membelasah Laos 5-1. Ketika mereka menggunakan jersi kuning pada aksi pertama menentang Indonesia, skuad negara dibelasah 5-1.
Penentuan untuk menggunakan jersi berwarna biru itu disahkan jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal pada sidang media di Stadium Nasional petang semalam.
"Kami baru saja membuat keputusan pada mesyuarat pengurus pasukan sebentar tadi (semalam) bahawa Malaysia akan menggunakan jersi biru pada perlawanan esok (hari ini)," kata Rajagobal.
Namun jurulatih Vietnam, Henrique Calisto yang turut sama dalam sidang media itu pantas mencelah dan sambil berseloroh berkata: "Kalau Malaysia pakai jersi biru, biarlah kami pakai jersi kuning."

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan malam ini, Rajagobal berkata, dia berkeyakinan tinggi bahawa barisan pemain mudanya akan memberikan satu keputusan positif selepas berakhir 90 minit permainan.
"Vietnam saya akui sebuah pasukan yang kuat walaupun jurulatih mereka beritahu tiga pemain cedera dan seorang digantung. Lagipun mereka hadir selaku juara bertahan.
"Cuma saya harap para pemain kita tidak takut dan gentar dengan reputasi pasukan lawan dan gunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di tempat sendiri.
"Saya mahu pemain memberikan aksi terbaik sebagai balasan penyokong hadir ke stadium supaya kita dapat mencatat satu lagi kenangan manis sebelum menutup tahun 2010," ujarnya.
Bekalan gol selesa cukup penting untuk dibawa ke perlawanan kedua di Hanoi pada Sabtu ini sambil peraturan gol di tempat lawan turut digunapakai pada kejohanan kali ini.

Jumaat, 10 Disember 2010

Bayern pamer kehebatan sebenar


RIBERY (tengah) menamatkan kemarau jaringan sejak April lalu dengan menjaringkan dua gol awal pagi semalam.


MUNICH - Finalis musim lalu, Bayern Munich mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara selaku juara Kumpulan E selepas menang 3-0 ke atas Basel di Munich awal pagi semalam.
Dua jaringan Franck Ribery yang merupakan gol pertamanya selepas kemarau panjang sejak April lalu serta satu lagi gol menerusi Anatoliy Tymoshchuk memastikan kemenangan bergaya kelab gergasi Jerman itu.
Ia kemenangan kelima dicatat Bayern pada saingan Eropah musim ini dan skuad bimbingan Louis van Gaal itu diiringi AS Roma di tempat kedua kumpulan manakala Basel di tempat ketiga sekadar meneruskan saingan di Liga Europa.
"Tak banyak pasukan yang mampu menang lima daripada enam aksi peringkat kumpulan. Pada perlawanan ini, kami berjaya menjaringkan tiga gol dan saya cukup berasa gembira.
"Kemenangan selesa ini turut akan memberi kami keyakinan diri untuk menghadapi perlawanan seterusnya," kata van Gaal.
Begitupun ujian sebenar Bayern hanya akan menanti pada saingan kalah mati yang akan berlangsung Februari depan dengan majlis undian bakal berlangsung pada 17 Disember depan.
Kapten Bayern, Mark van Bommel bagaimanapun masih tidak berpuas hati dengan persembahannya dan rakan-rakan sepasukan.
"Kami memulakan perlawanan ini dengan teruk. Tiada banyak pergerakan menarik sehingga Ribery membuka jaringan.
"Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol. Ia cukup penting bagi membina keyakinan menjelang aksi Liga Jerman menentang St. Pauli selepas ini," jelas van Bommel.

Benzema ledak hatrik


BENZEMA (kanan) meledakan hatrik ketika membantu Real Madrid membelasah Auxerre 4-0 awal pagi semalam.


MADRID - Karim Benzema membuktikan ketajaman sentuhannya apabila berjaya meledak hatrik ketika membantu Real Madrid membelasah Auxerre 4-0 pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Benzema, 22, sebelum ini hanya menjaringkan tiga gol dalam mana-mana kejohanan sepanjang musim ini dan sekadar menjadi pilihan kedua di belakang penyerang utama, Gonzalo Higuain sejak Jose Mourinho mengemudi kelab Sepanyol itu.
Biarpun Real hanya menurunkan barisan simpanan setelah layak ke pusingan kalah mati, Benzema tetap bertenaga meledak tiga gol manakala satu lagi gol disumbang oleh Cristiano Ronaldo.
Ia merupakan gol ke-20 berjaya dijaringkan Ronaldo dalam semua kejohanan musim ini.
"Saya cukup gembira kerana dapat menjaringkan tiga gol dalam perlawanan ini. Saya berasa semakin baik setiap hari dan ia ternyata memberi kesan terhadap persembahan saya di atas padang.
"Saya akan terus bekerja keras supaya dapat melakukan apa yang telah saya pamerkan pada perlawanan ini pada setiap perlawanan lain," kata Benzema.
Real kini mahu menamatkan badi dalam saingan Liga Juara-Juara apabila mereka sudah enam musim sering terkandas pada pusingan kalah mati tanpa berjaya melangkah ke suku akhir.
Peluang mereka tampak cerah kali ini apabila dapat mengelak daripada diundi bertemu pasukan handalan di pusingan kedua apabila menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga teratas.
Pada perlawanan awal pagi semalam, Mourinho yang menjulang kejuaraan musim lalu bersama Inter Milan terpaksa berada di tempat duduk penonton.
Dia digantung satu perlawanan apabila didapati bersalah kerana mengarahkan Xabi Alonso dan Sergio Ramos sengaja menerima kad merah ketika bertemu Ajax bulan lalu

Arsenal tidak gentar jumpa Barcelona


VAN PERSIE (tengah) menjaringkan gol pertama Arsenal ketika menang 3-1 ke atas Partizan Belgrade pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam.


LONDON - Arsene Wenger melontarkan amaran selepas Arsenal menang 3-1 ke atas Partizan Belgrade untuk menempah slot ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Pengurus skuad The Gunners itu berkata, dia tidak gentar berdepan dengan mana-mana lawan yang bakal dihadapi selepas ini.
Arsenal dijangka bertemu pasukan gergasi dan pilihan Eropah termasuk Barcelona selepas menamatkan saingan peringkat Kumpulan H selaku naib juara di belakang Shaktar Donetsk.
Kemenangan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan di tempat sendiri itu memberi keyakinan kepada Wenger, sekali gus mengakui mereka mampu pergi jauh musim ini.
Pada pertemuan itu, Arsenal bangkit daripada ketinggalan menerusi gol Theo Walcott dan Samir Nasri sebaik dikejutkan dengan jaringan penyamaan Cleo bagi menafikan gol pembukaan Robin Van Persie.
"Saya tidak nafikan kemungkinan itu adalah untuk diundi bertemu Barcelona. Kami perlu realistik bahawa mereka memang antara pasukan terhebat musim ini.
"Tetapi kami perlu terima hakikat jika ia Barcelona. Kami pernah hadapi mereka musim lalu dan ditewaskan. Namun tahun ini, kita lihat siapa yang kena," katanya.
Musim lalu, Arsenal berjaya mengikat Barcelona 2-2 di tempat sendiri sebelum dibelasah 1-4 di Nou Camp dan tersingkir awal.
Selain Barcelona, Arsenal turut berdepan kemungkinan terpaksa berdepan Real Madrid, Bayern Munich atau Schalke 04.
Saingan pusingan kedua bakal disambung pada Februari depan dan ia memberi keyakinan dan kesempatan kepada Wenger untuk menyenaraikan pemain terbaiknya.
"Secara keseluruhannya, cabaran besar menanti kami. Namun kami punya banyak ruang untuk memperbaiki prestasi dan saya percaya kami mampu melakukannya," tegas Wenger.
Arsenal bakal menghadapi satu lagi ujian besar menentang Manchester United dalam Liga Perdana England, Isnin ini.

Rekod Chelsea tercalar


BRANDAO (kiri) meledakkan gol tunggal perlawanan ketika menang 1-0 ke atas Chelsea awal pagi semalam.


MARSEILLE - Chelsea terus dirundung malang apabila tewas 0-1 kepada Marseille pada aksi terakhir Kumpulan F saingan Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Ternyata hasrat skuad The Blues ini untuk mengubah rentak sumbang mereka ketika ini tidak kesampaian.
Dengan dua peluang untuk mendapatkan sepakan penalti telah dinafikan pengadil, kekalahan itu membuatkan Chelsea gagal mencatat rekod bersih selepas menang lima aksi awal peringkat kumpulan itu.
Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti sebelum perlawanan mahu anak-anak buahnya turun dengan penuh bersemangat untuk mencipta kemenangan setelah mereka hanya menang sekali pada enam aksi terakhir Liga Perdana England.
"Kami tidak beraksi 100 peratus. Mungkin hanya 50 peratus saja. Apa pun kami perlu tingkatkan semula prestasi terutama apabila berdepan Tottenham Hotspur, Manchester United dan Arsenal selepas ini.
"Memang saya akui, kami kini kehilangan tahap keyakinan," jelas Ancelotti.
Sementara itu, kapten Chelsea, John Terry berkata, dia sedar bahawa mereka gagal beraksi dengan baik tetapi masih berharap agar ia dapat dipertingkatkan dalam masa terdekat.
"Pengurus (Ancelotti) telah beritahu kami betapa pentingkan untuk mengembalikan persembahan baik. Lagipun kami mempunyai tugas berat bertemu Tottenham pada Ahad ini. Harap keadaan akan berubah," kata Terry.
Pada perlawanan awal pagi semalam, Ancelotti telah membuat tiga pertukaran dengan Paulo Ferreira, Josh McEachran dan Ramires berada dalam kesebelasan utama, John Mikel Obi di bangku simpanan manakala Ashley Cole dan Nicolas Anelka direhatkan.
Gol kemenangan Marseille dijaringkan penyerang dari Brazil, Brandao pada minit ke-81

Rabu, 8 Disember 2010

Malaysia ke separuh akhir


MOHAMAD Muslim (kanan) bertindak cemerlang pada aksi menentang Laos semalam untuk menutup benteng Malaysia daripada dibolosi.


MULA-mula kena belasah, sekarang melangkah bergaya ke separuh akhir.Begitu cabaran yang dilalui skuad bola sepak negara pada Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2010.
Semalam, skuad bimbingan K. Rajagobal itu mara ke separuh akhir selepas membelasah Laos 5-1 pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A di Stadium Jaka Baring, Palembang.
Pada masa yang sama, terima kasih kepada bekas penyerang import Selangor, Bambang Pamungkas yang menjadi watak penting dalam membantu skuad negara layak ke separuh akhir, semalam.
Bambang mengesahkan kemenangan Indonesia apabila menjaringkan gol kemenangan pasukannya ke atas Thailand dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A di Gelora Bung Karno, Jakarta.
Pada aksi semalam, skuad kebangsaan mudah membelasah Laos 5-1 menerusi dua jaringan Amri Yahyah serta masing-masing satu gol daripada Amirulhadi Zainal, Norshahrul Idlan Talaha dan Mahali Jasuli.
Kemaraan Malaysia dibantu kejayaan Indonesia menewaskan Thailand 2-1 hasil dua sepakan penalti Bambang pada minit ke-81 dan 88 biarpun Thailand mendahului hasil jaringan Suree Sukha pada minit ke-68.
Dengan keputusan itu, Indonesia muncul juara Kumpulan A dengan sembilan mata maksimum diikuti Malaysia di tangga kedua dengan empat mata, Thailand ketiga dengan dua mata dan Laos menduduki kedudukan tercorot dengan satu mata.
Malaysia selaku naib juara Kumpulan A akan berdepan juara Kumpulan B iaitu sama ada Filipina, Vietnam atau Singapura pada 15 Disember di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan di tempat lawan pada 18 Disember depan.
Pada aksi malam tadi, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal membuat empat pertukaran dalam kesebelasannya.
Sabre Mat Abu, Faizal Muhammad, Khyril Muhymeen Zambri dan Amri Yahyah mengisi tempat Asararuddin Putra Omar, Fadhli Shas, Amirulhadi dan Safee Sali.
Amri menanduk masuk gol pertama Malaysia seawal minit ketiga hasil hantaran Norshahrul tetapi Laos pantas menyamakan kedudukan menerusi Lamnao Singto pada minit ketujuh.
Namun Malaysia berjaya menamatkan separuh masa pertama dengan mendahului 2-1 hasil jaringan kedua Amri yang menolak masuk bola hantaran kapten, Safiq Rahim pada minit ke-39.
Sisa perjuangan Laos semakin luntur selepas Malaysia menambah gol ketiga menerusi pemain gantian, Amirulhadi pada minit ke-73 dan gol keempat menerusi Norshahrul pada minit ke-76, kedua-duanya hasil kesilapan pertahanan Laos, Kitsada.
Pesta jaringan Malaysia diakhiri bek kanan, Mahali yang naik ke atas untuk menyumbat gol kelima pada minit ke-90.

Senarai Pemain 2011

Barisan Pemain 2011 yang dijangka akan diumumkan nanti. Untuk pengesahan, nantikan pengumuman rasmi Tan Sri Annuar Musa.

Ahad, 5 Disember 2010

Malaysia berjaya ikat Thailand

SKUAD bola sepak kebangsaan berjaya mengikat juara tiga kali, Thailand dengan keputusan seri tanpa jaringan pada aksi kedua Kumpulan A saingan Piala AFF Suzuki 2010 di Gelora Bung Karno, Jakarta petang semalam.
Secara matematik, Malaysia masih berpeluang ke separuh akhir jika menewaskan Laos pada aksi terakhir Selasa ini biarpun skuad bimbingan K. Rajagobal itu tewas teruk 1-5 kepada tuan rumah, Indonesia pada Rabu lalu.
Namun secara realitinya, peluang Malaysia tampak sudah tertutup kerana Indonesia bakal ‘menghadiahkan’ kemenangan kepada Thailand.
Indonesia yang mudah membelasah Laos 6-0 malam tadi kini telah mengumpul enam mata diikuti Thailand (2 mata), Malaysia (1 mata) dan Laos (1 mata).
Jika Indonesia tewas kepada Thailand, kedudukan mereka selaku juara Kumpulan A tidak akan terjejas biarpun Malaysia menewaskan Laos.
Justeru harapan skuad negara kini hanyalah supaya Indonesia terus bersikap profesional dengan tidak sengaja beraksi untuk tewas ketika bertemu Thailand sambil Malaysia pula pada masa sama menang ke atas Laos.
Pada aksi petang semalam, Rajagobal membuat tiga perubahan dalam kesebelasan utamanya dengan menyenaraikan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli dan Amar Rohidan bagi mengisi tempat Sharbinee Allawee Ramli, Razman Roslan dan Amri Yahyah.
Separuh masa pertama menyaksikan Malaysia lebih banyak bertahan.
Pada babak kedua, Malaysia mula mengimbangi perlawanan tetapi beberapa peluang keemasan yang dimiliki terutamanya menerusi dua pemain gantian, Amri dan Khyril Muhymeen Zambri.

S. KUNANLAN (kanan) cuba melepasi kawalan pemain Thailand ketika seri tanpa jaringan petang semalam.


“Para pemain menunjukkan komitmen tinggi, rajin dan beraksi lebih baik berbanding ketika bertemu Indonesia. Apa yang penting, kita tak tewas kepada Thailand yang menyenaraikan barisan utama dengan pemain senior.
“Selepas ini, saya mahu pemain hanya fokus untuk menang ke atas Laos. Kita tidak boleh buat apa-apa jika Indonesia berpakat dengan Thailand.
“Cuma saya harap dapat bertemu Alfred Riedl (jurulatih Indonesia) dan minta mereka turun beraksi seperti biasa dan bersikap profesional,” kata Rajagobal ketika dihubungi Kosmo! selepas perlawanan malam tadi.

Benitez berdepan krisis terbaru




ROM - Pengurus Inter Milan, Rafael Benitez (gambar) berdepan krisis terbaru selepas juara Itali itu tewas 1-3 kepada Lazio dalam saingan Serie A kelmarin.
Giuseppe Biava meletakkan Lazio di hadapan pada minit ke-24 sebelum Mauro Zarate menambah gol kedua sebaik babak kedua berlangsung enam minit.
Bekas penyerang Lazio, Goran Pandev berjaya merapatkan jurang pada minit ke-74 tetapi penyerang Brazil, Hernanes melengkapkan kemenangan pasukan tuan rumah dua minit sebelum permainan tamat.
"Ini adalah kemenangan terbaik Lazio musim ini," kata pemain tengah Lazio, Hernanes yang menyertai kelab itu awal musim ini dari Sao Paolo.
"Saya telah bekerja keras untuk menikmati perlawanan seperti ini, menjaringkan satu gol dan mengumpan gol untuk rakan-rakan. Kami berada di landasan terbaik dan tidak akan berputus asa.
Dengan kekalahan itu, Inter yang ketika ini menghuni tempat keenam liga ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, AC Milan dan Lazio yang berkongsi 30 mata.
"Lazio bermain dengan baik tetapi mereka terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan bola, bukannya kami. Itu adalah perbezaan antara kami dan mereka," kata Benitez.
Perlawanan itu merupakan penampilan terakhir Inter dalam kempen Serie A tahun ini kerana mereka bakal beraksi dalam saingan Piala Kelab Dunia.
Tekanan kembali dirasai Benitez selepas bekas penggendali Liverpool itu berada di kedudukan selesa sebaik Inter menang ke atas Twente Enschede dan Parma baru-baru ini.

Redknapp sedia lepaskan Keane


KEANE mungkin akan meninggalkan White Hart Lane pada Januari ini.


LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Harry Redknapp bakal memberi kebenaran kepada kapten Republik Ireland, Robbie Keane untuk meninggalkan White Hart Lane pada Januari ini.
Pemain berusia 30 tahun yang dipinjamkan daripada Celtic tahun lalu, hanya beraksi dua kali musim ini selepas Peter Crouch, Roman Pavyluchenko dan Jermain Defoe menjadi pilihan.
“Saya fikir, dia mahu berpindah. Dia mahu lebih banyak bermain,” kata Redknapp.
“Membazir jika dia tidak bermain. Sepanjang karier, dia bermain dan merupakan pemain yang besar dan dia mahu terus bermain. Dia boleh kekal di sini, menerima gaji tetapi itu bukan impiannya.
“Dia mahu bermain bola sepak. Dia berlatih bersungguh-sungguh, bekerja keras setiap hari, dia menunjukkan perwatakan yang hebat.
“Sudah tentu ia adalah satu keputusan yang sukar untuk saya lakukan minggu lalu. Saya tidak dapat meletakkan dia di bangku simpanan.
“Ia tidak mudah apabila kamu menghormati seseorang dan sebagai seorang pemain yang baik. Ia sungguh sukar kerana dia masih lagi seorang pemain yang baik

Jumaat, 3 Disember 2010

Birmingham mara ke separuh akhir



KEMENANGAN 2-1 Birmingham ke atas Aston Villa di Stadium St. Andrew awal pagi semalam dicemari dengan rusuhan penonton.




LONDON - Birmingham City layak ke separuh akhir saingan Piala Liga selepas menewaskan Aston Villa 2-1 pada perla- wanan suku akhir yang dicemari rusuhan penonton awal pagi semalam.
Beratus anggota polis yang lengkap memakai topi keselamatan dan penghadang plastik terpaksa di bawa masuk ke dalam padang bagi menghalang kemaraan penyokong yang bertindak liar.
"Ia agak mengecewakan kami. Tidak elok rasanya melihat penyokong berlari sesuka hati di dalam padang seperti kita kembali ke zaman gelap," kata pengurus Birmingham, Alex McLeish.
Persatuan Bola Sepak England mengecam insiden itu ter- utama ketika negara itu sedang membida untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018 yang dijadual diumumkan keputusannya hari ini.
Sehubungan itu FA England akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca berlakunya insiden buruk tersebut.
Ini pasti membimbangkan McLeish yang tidak menolak kemungkinan pasukannya akan digantung berikutan kejadian itu.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sekiranya ia boleh menjejaskan peluang England untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia.
Dalam perlawanan suku akhir lain, pasukan divisyen dua, Ipswich Town mengejutkan West Bromwich Albion 1-0 untuk mara ke separuh akhir.
Ipswich akan menentang pasukan pilihan, Arsenal sele- pas ini manakala Birmingham menentang West Ham United yang menewaskan Manchester United 4-0, Selasa lalu