KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Ahad, 25 Julai 2010

"JANGAN pertikaikan calon yang bertanding."




Itu amaran daripada calon Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa (gambar) menjelang sesi pemilihan pada Kongres FAM Ke-47 Sabtu ini.

Annuar mengeluarkan amaran itu ketika mengulas dakwaan terdapat pihak-pihak yang meragui keikhlasan calon-calon yang akan bertanding bagi mengisi beberapa jawatan penting dalam FAM bagi penggal 2010/2014.

Menurutnya, pencalonan yang ramai bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Eksekutif (Exco) membuktikan ramai pihak bersedia dan prihatin untuk membantu FAM untuk mengembalikan era kegemilangan sukan No. 1 negara itu.

"Jangan lupa, FAM adalah NGO (Badan Bukan Kerajaan) yang bekerja tanpa mendapat bayaran yang mana penjawat jawatan perlu berkorban masa minat dan juga tenaga. Maka situasi ini (ramai pencalonan) harus dilihat dari sudut positif.

"Saya kesal ada juga kenyataan yang seolah-olah mempertikaikan calon yang bertanding. Jangan pertikaikan keikhlasan setiap calon kerana mereka ada cara sendiri.

"Saya juga mahu berterus terang, saya masuk (menyertai pemilihan) kerana saya rasa ada benda yang saya ingin buat penambahbaikan. Tumpuan utama untuk membantu Presiden (Sultan Ahmad Shah) dan Majlis FAM untuk menaikkan taraf bola sepak kita," katanya ketika ditemui semalam.

Annuar berkata, beliau juga tidak menafikan jasa yang dicurahkan oleh pihak-pihak tertentu sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, ia bukan tentang jasa semata-mata tetapi lebih kepada soal imej serta prestasi skuad bola sepak kebangsaan yang perlu diperbaiki ketika ini.

"Ketika saya menjadi Menteri Belia dan Sukan, ranking kita (skuad bola sepak) di bawah 100 dan pernah sampai ke kedudukan 76 dunia tetapi sekarang kita di tangga ke-150 dan mungkin bawah lagi. Kita tidak mahu menyalahkan sesiapa tetapi kita kata itu perlu diperbaiki.

"Untuk memperbaikinya kita tidak kata mudah tetapi ada idea-idea tertentu terutama sekali saya melihat bola kita lemah kerana persatuan akar umbi lemah, persatuan bola sepak negeri lemah dan sekarang ini saya fikir persatuan negeri perlu diperkasakan," ujarnya.

Annuar berkata, proses pemilihan itu adalah satu peluang untuk memperkasakan lagi FAM selain menjadikan setiap persatuan bola sepak negeri lebih efisien.

"Persatuan bola sepak negeri perlu diberi bantuan, kalau tidak ada bantuan tidak ada pembangunan maka mereka tidak dapat tumpu kepada pembangunan. Jadi minat masyarakat pun kurang menyebabkan penaja pun tidak berminat.

"Bila tidak ada penaja tidak ada duit dan kita akan terikat dalam satu putaran ketiadaan dana, tiada minat, tiada penonton yang akhirnya menyebabkan penurunan prestasi," jelasnya.

Tiada ulasan: