KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Jumaat, 3 September 2010

Van Bommel ganti tempat Bronckhorst



VAN BOMMEL (depan) mengambil alih tugas kapten Belanda daripada van Bronckhorst yang bersara selepas Piala Dunia 2010.


AMSTERDAM - Jurulatih Belanda, Bert van Marwijk memilih menantunya, Mark van Bommel sebagai kapten baru skuad kebangsaan negara itu pada aksi sulung kelayakan Euro 2012 menentang San Marino awal pagi esok.

Pemain tengah itu mengambil alih tugas kapten daripada Giovanni van Bronckhorst yang sudah bersara selepas membantu Belanda muncul naib juara pada kempen Piala Dunia 2010.

"Kami telah membincangkan perkara ini sesama tenaga kejurulatihan pasukan dengan hanya beberapa minit sebelum membuat keputusan ini.

"Umur dan posisi van Bommel adalah sesuai untuk memikul peranan tersebut. Dia juga telah melakukan tugas yang sama ketika bersama PSV dan kini bersama Bayern Munich," kata Van Marwijk.

Sementara itu, pengendali Belanda itu turut memberitahu, mereka akan kekal dengan corak permainan yang sama seperti pada Piala Dunia 2010 tetapi mengakui agak terhad memiliki bakat baru seperti pada masa lalu.

"Terdapat banyak visi yang boleh membawa kepada kejayaan pasukan tetapi jika dilihat kepada beberapa pasukan utama dunia, mereka menggunakan pendekatan yang sama.

"Kestabilan pasukan merupakan kekuatan utama dan para pemain perlu tahu apa yang perlu dilakukan mereka apabila diperlukan," jelas van Marwijk.

Bagi perlawanan menentang San Marino awal pagi esok, van Marwijk akan melakukan empat pertukaran berbanding barisan yang beraksi pada Piala Dunia 2010.

Di barisan pertahanan, Ron Vlaar akan menggantikan John Heitinga yang digantung manakala Vurnon Anita mengisi tempat van Bronckhorst.

Manakala di barisan serangan, van Marwijk menghadapi sedikit kesukaran untuk menggantikan Robin van Persie dan Arjen Robben yang cedera.

Eljero Elia dijangka menggantikan van Persie manakala tiga pemain berpeluang mengisi tempat Robben iaitu sama ada Klaas-Jan Huntelaar, Dirk Kuyt atau Ruud van Nistelrooy yang kembali dipanggil menganggotai skuad kebangsaan

Tiada ulasan: