KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Ahad, 25 Julai 2010

"JANGAN pertikaikan calon yang bertanding."




Itu amaran daripada calon Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa (gambar) menjelang sesi pemilihan pada Kongres FAM Ke-47 Sabtu ini.

Annuar mengeluarkan amaran itu ketika mengulas dakwaan terdapat pihak-pihak yang meragui keikhlasan calon-calon yang akan bertanding bagi mengisi beberapa jawatan penting dalam FAM bagi penggal 2010/2014.

Menurutnya, pencalonan yang ramai bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Eksekutif (Exco) membuktikan ramai pihak bersedia dan prihatin untuk membantu FAM untuk mengembalikan era kegemilangan sukan No. 1 negara itu.

"Jangan lupa, FAM adalah NGO (Badan Bukan Kerajaan) yang bekerja tanpa mendapat bayaran yang mana penjawat jawatan perlu berkorban masa minat dan juga tenaga. Maka situasi ini (ramai pencalonan) harus dilihat dari sudut positif.

"Saya kesal ada juga kenyataan yang seolah-olah mempertikaikan calon yang bertanding. Jangan pertikaikan keikhlasan setiap calon kerana mereka ada cara sendiri.

"Saya juga mahu berterus terang, saya masuk (menyertai pemilihan) kerana saya rasa ada benda yang saya ingin buat penambahbaikan. Tumpuan utama untuk membantu Presiden (Sultan Ahmad Shah) dan Majlis FAM untuk menaikkan taraf bola sepak kita," katanya ketika ditemui semalam.

Annuar berkata, beliau juga tidak menafikan jasa yang dicurahkan oleh pihak-pihak tertentu sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, ia bukan tentang jasa semata-mata tetapi lebih kepada soal imej serta prestasi skuad bola sepak kebangsaan yang perlu diperbaiki ketika ini.

"Ketika saya menjadi Menteri Belia dan Sukan, ranking kita (skuad bola sepak) di bawah 100 dan pernah sampai ke kedudukan 76 dunia tetapi sekarang kita di tangga ke-150 dan mungkin bawah lagi. Kita tidak mahu menyalahkan sesiapa tetapi kita kata itu perlu diperbaiki.

"Untuk memperbaikinya kita tidak kata mudah tetapi ada idea-idea tertentu terutama sekali saya melihat bola kita lemah kerana persatuan akar umbi lemah, persatuan bola sepak negeri lemah dan sekarang ini saya fikir persatuan negeri perlu diperkasakan," ujarnya.

Annuar berkata, proses pemilihan itu adalah satu peluang untuk memperkasakan lagi FAM selain menjadikan setiap persatuan bola sepak negeri lebih efisien.

"Persatuan bola sepak negeri perlu diberi bantuan, kalau tidak ada bantuan tidak ada pembangunan maka mereka tidak dapat tumpu kepada pembangunan. Jadi minat masyarakat pun kurang menyebabkan penaja pun tidak berminat.

"Bila tidak ada penaja tidak ada duit dan kita akan terikat dalam satu putaran ketiadaan dana, tiada minat, tiada penonton yang akhirnya menyebabkan penurunan prestasi," jelasnya.

Riera sah milik Olympiakos



ATHENS - Pemain sayap Sepanyol, Albert Riera kini sah menjadi milik kelab Greece, Olympiakos Pireaus selepas lulus pemeriksaan kesihatan kelmarin.

Dilaporkan, Reira, 28, dibawa masuk dari Liverpool ke Olympiakos dengan yuran perpindahan bernilai £16.7 juta (RM82.5 juta).

Liverpool juga dijangka mendapat 'durian runtuh' apabila Olympiakos menjanjikan tambahan sebanyak £1.6 juta (RM8.25 juta) jika mereka berjaya menjadi juara Liga Greece.

"Sepanjang dua tahun bersama Liverpool, saya tidak meraih sebarang gelaran juara. Sebab itu saya membuat keputusan untuk berhijrah ke Olympiakos," jelas Reira

Semangat baru Toure

TOURE mahu meletakkan City sebaris kelab-kelab gergasi Eropah.


LONDON - Bintang baru Manchester City, Yaya Toure berazam menjadikan kelab England itu setaraf gergasi Sepanyol, Barcelona.

Toure mendedahkan, banyak pihak menganggapnya gila apabila menandatangani kontrak bersama City selepas menyaksikan dia meraih pelbagai kejuaraan sepanjang tiga tahun bersama Barcelona di Nou Camp.

Namun pemain antarabangsa Ivory Coast itu percaya kini sudah tiba masa buat dirinya untuk melakukan perubahan dan mencari sesuatu yang baru bersama kelab lain.

Disebabkan itu, Toure optimis City mempunyai potensi besar untuk menjadi salah sebuah kelab gergasi dunia dalam tempoh beberapa tahun daripada sekarang.

"Saya bersetuju untuk bersama City disebabkan mereka memiliki seorang pengurus yang hebat seperti Roberto Mancini dan beberapa pemain-pemain berkualiti termasuklah Carlos Tevez serta Emmanuel Adebayor.

"Harapan saya hanya satu... saya mahu melihat City menjadi sebuah kelab seperti Barcelona. Sebab itu, kami perlu menggandakan usaha dan ia pastinya memakan masa beberapa tahun.

"Namun saya tetap yakin kami mampu mencapai apa yang diimpikan itu," jelas Toure.

Ketika Barcelona telah meraih pelbagai gelaran juara sejak beberapa musim lalu, lain pula ceritanya dengan City yang masih belum merekodkan sebarang kejuaraan sejak kali terakhir menjuarai Liga Perdana England pada 1976.

Begitupun, Toure menyertai City dengan yuran perpindahan bernilai £24 juta (RM118.3 juta) memberitahu, prospek untuk namanya tertulis dalam sejarah City adalah sangat cerah.

"Saya telah mengecapi pelbagai gelaran ketika bersama Barcelona dan kini masa yang terbaik untuk saya menghadapi cabaran baru," kata Toure yang menjadi pemain termahal dibayar gaji dalam saingan Liga Perdana England iaitu sebanyak £180,000 ribu (RM887,523 ribu) seminggu.

Sementara itu, City semakin hampir untuk membawa masuk penyerang Inter Milan, Mario Balotelli ke Eastlands.

Inter dan City kini sedang melakukan rundingan dan Bolotelli dijangka dilepaskan dengan yuran perpindahan dianggarkan bernilai £30 juta (RM147.9 juta).

"Memang benar kami sedang dalam perbincangan berhubung perpindahan Balotelli ke City," jelas presiden Inter, Massimo Moratt

Henry pamer taring


HARRISON: Thierry Henry pernah menjaringkan beberapa gol penting ketika kemuncak kariernya tetapi tidak diberi harapan bersama pasukan baru, New York Red Bulls namun dia menafikannya apabila menjaringkan gol pertama untuk pasukan itu ketika tewas 1-2 kepada Tottenham Hotspur semalam.

Ia seperti aksi zaman kegemilangannya satu ketika dulu ketika menyarung jersi Arsenal apabila dia membuat pertahanan Spurs tergamam seketika dengan jaringan gol luar biasa daripada hantaran yang diterimanya sebelum terus menendang bola menerjah ke gawang lawan.


Mengikut jejak langkah Pele dan David Beckham, Henry yang berhijrah ke liga bola sepak Amerika Syarikat dari Barcelona berdepan tekanan dan kritikan seperti dihadapi rakan-rakannya itu.


Para penyokongnya menjangkakan dia akan mencetuskan minat lebih mendalam di kalangan rakyat Amerika terhadap sukan bola sepak sementara pengkritik menuduh dia mahu bersara awal dengan meraih dana dari Liga Bola Sepak Utama (MLS), cakap-cakap yang sudah didengar oleh pemain Perancis itu sejak tiba di kelab barunya itu. “Gol-gol seterusnya akan disaksikan selepas ini,” katanya ketika sidang media semalam.


“Sokongan daripada peminat sangat luar biasa apabila setiap kali saya menyentuh bola mereka bersorak gembira. Ia sangat penting untuk saya kerana seolah-olah berada di negara sendiri,” katanya.


Selepas seminggu ditemuramah beberapa stesen televisyen di New York, Henry mula mendapat perhatian ramai ketika aksi pertamanya bersama pasukan.


Beberapa sentuhan awalnya menunjukkan walaupun dia kurang pantas, Henry masih tidak kehilangan beberapa skil menarik dan tidak hairanlah apabila dia meledakkan gol pada minit ke-25 sekaligus menyaksikan pasukannya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama

Madrid henti belanja mewah


MADRID: Jurulatih, Jose Mourinho mungkin menjadi ‘bintang’ terbesar diikat Real Madrid selepas kelab gergasi Sepanyol itu dilihat mahu menyerlah dengan pemain sedia ada saja.

Pegawai Madrid, Emilio Butragueno berkata kelab itu memperkasakan pasukan dan tidak memerlukan pemain baru bertaraf bintang.


Setakat ini, Madrid membelanjakan 40 juta euro (RM165 juta) untuk mendapatkan Angel Di Maria, Pedro Leon dan Sergio Canales berbanding lebih 250 juta euro (RM1.03 bilion) untuk mendapatkan Cristiano Ronaldo, Kaka, Karim Benzema dan Xabi Alonso, musim panas lalu. Bagaimanapun, mereka gagal memenangi gelaran untuk dua musim berturut-turut.


Butragueno memberitahu stesen Radio Marca bahawa tuntutan gaji yang terlalu tinggi mungkin menjejaskan perpindahan Maicon dari Inter Milan

Mascherano sedia ke Inter Milan


LIVERPOOL: Javier Mascherano dikatakan bersedia berpindah dari Liverpool ke Inter Milan.

Dia dilapor berada di Milan semalam untuk berbincang secara tidak rasmi mengenai perpindahannya dan dijangka memikirkan mengenai tawaran Inter minggu depan.


Pengurus Inter, Rafael Benitez bersetuju meninggalkan Liverpool dengan syarat beliau tidak boleh mengambil pemain The Reds dalam tempoh tiga bulan.


Perkara yang mendorong kepada syarat itu ialah: Mascherano.


Begitupun, Liverpool sedar Inter adalah satu-satunya kelab yang berminat dengan Mascherano ketika ini.


Pemain itu dilaporkan bakal meninggalkan Liverpool dan kesempatan terbaik kelab berkenaan untuk membuat penjualan dalam masa terdekat ini kerana mereka juga tidak mahu isu itu mengganggu pelan musim baru yang dirancang pengurus baru, Roy Hodgson.


Inter tidak sanggup membuat tawaran diminta Liverpool iaitu sebanyak £30 juta (RM124.8 juta) dan hanya menawarkan £20 juta (RM83.2 juta) dan ditambah dengan seorang pemain, Sulley Muntari. Mascherano yang hingga kini belum turun menjalani latihan, sepatutnya tampil di Anfield Isnin lalu dan dikatakan memaklumkan kepada semua rakannya mengenai hasrat untuk berpindah. Liverpool yang dikekang masalah kewangan, boleh menggunakan wang hasil penjualan Mascherano untuk membeli pemain pertahanan serta penyerang

Penjaga gol cetus resah


BENTENG terakhir skuad bola sepak kebangsaan sedikit goyah menjelang pertembungan dengan pasukan bawah 23 tahun Korea Selatan esok berikutan kecederaan yang menimpa penjaga gol Mohd Farizal Marlias dan Khairul Fahmi Che Mat.

Farizal pemain Perlis, mengalami kecederaan di bahagian mata selepas bertembung dengan salah seorang pemain ketika sesi latihan kelmarin manakala Khairul Fahmi pula tidak begitu cergas akibat sakit belakang.


Situasi itu pastinya mengundang rasa kurang senang buat K Rajagobal yang tidak mempunyai pilihan selain memanggil penjaga gol Harimau Muda A, K Sasikumar sebagai langkah awal untuk berdepan sebarang kemungkinan jika dua pemain itu tidak dapat pulih dalam masa terdekat.


Ketika ini, beliau hanya mempunyai seorang pemain yang benar-benar cergas di posisi itu, Mohd Sharbinee Allawee, tonggak utama skuad bawah 23 tahun yang menjuarai pingat emas Sukan Sea di Laos tahun lalu.


“Kecederaan tidak dijangka berlaku kepada pemain Farizal Marlias yang mendapat kecederaan teruk semasa latihan. Dia mengalami luka di mata selepas bertembung dengan pemain manakala (Khairul) Fahmi pula tidak begitu sihat.


“Jadi saya membuat keputusan untuk membawa masuk Sasikumar dari pasukan Harimau Muda. Dalam masa singkat ini susah untuk saya memanggil penjaga gol pasukan lain selain Sasikumar yang hanya berlatih di Bukit Jalil,” kata Rajagobal.


Rajagobal memanggil 25 pemain bawah 23 tahun untuk menjalani latihan pusat di Wisma FAM Kelana Jaya sejak Ahad lalu sebagai persiapan menghadapi skuad Korea dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara itu.


Skuad negara bagaimanapun mendapat suntikan semangat selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas kelab dari Liga Singapura, Beijing Guoan Talent FC di Singapura Selasa lalu.


“Selepas hanya berehat sehari, skuad ini menentang kelab Beijing (Guoan Talent FC), memang ada tanda positif pada perlawanan itu tetapi bermain menentang Korea nanti pemain negara perlu berada di tahap lebih tinggi kerana kita semua sedia maklum bahawa Korea adalah pasukan yang penuh dengan tradisi, kekuatan yang tidak perlu diperkatakan lagi,” jelasnya.


Sekalipun sekadar perlawanan persahabatan, pertemuan dengan skuad Olimpik Korea bimbingan Hong Myung Bo adalah kesempatan terbaik untuk Rajagobal merencana pasukannya yang mempunyai misi besar di Sukan Asia di Guangzhou dan Piala AFF hujung tahun ini.


Manakala pasukan Taegeuk Warriors itu pula pastinya tidak mahu status mereka sebagai gergasi Asia diperlekehkan Malaysia apabila membuat penampilan pertama sejak skuad Olimpik mereka tewas 2-1 kepada pasukan senior negara dalam Pestabola Merdeka.

Sabtu, 24 Julai 2010

UKM, UiTM buat perhitungan pada perlawanan akhir

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengesahkan slot ke perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Liga IPT 2010 bagi merebut Piala Menteri Pengajian Tinggi.

Kejayaan mereka diraih selepas berjaya mencatatkan kemenangan ke atas lawan masing-masing pada saingan separuh akhir yang berlangsung di dua venue berlainan semalam.

Pada aksi separuh akhir di Stadium UKM itu, tuan rumah mencatatkan kemenangan selesa ke atas Universiti Teknologi Mara Sarawak (UiTM'S) 4-0.

Penyerang, Mohd. Nazri Mohd. Razali mencuri tumpuan apabila mencipta hatrik buat UKM hasil jaringannya pada minit ke-12, 33 dan 81.

Tidak cukup dengan itu, percaturan juru- latih yang membawa masuk pemain gantian, Amir Safuan Samsudin turut membuahkan hasil selepas dia meledak gol keempat UKM pada minit ke-85 dan keputu- san tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan yang dilakar UKM itu memberi kepuasan kepada jurulatihnya, Sulaiman Hussin (gambar kecil) yang menganggap anak-anak buahnya telah mempamerkan satu persembahan yang menakjubkan bagi menempah slot ke final.

"Pujian seharusnya diberikan kepada pemain saya kerana mereka telah menunjukkan kesungguhan serta bekerja keras bagi memenuhi impian yang diidamkan untuk beraksi di pentas final," katanya.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir di Stadium UiTM, Shah Alam, tuan rumah UiTM dipaksa bekerja keras sebelum menang 1-0 ke atas Politeknik Kota Bharu menerusi jaringan Mohd. Fiqri Abdullah pada minit ke-37, sekali gus membolehkan mereka mara ke final.

Aksi akhir antara UKM dengan UiTM akan berlangsung di Stadium UiTM esok manakala penentuan tempat ketiga dan keempat yang membabitkan UiTM'S menentang PKB akan diadakan di Stadium UKM, Bangi hari ini.

Vidic dapat tawaran lumayan


VIDIC masih adabaki kontrak dua tahun di Old Trafford.

LONDON - Manchester United bersedia menawarkan Nemanja Vidic gaji berjumlah £90,000 (RM443,361) seminggu.

Tawaran tersebut dibuat bagi menggagalkan usaha kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid memancing tonggak pertahanan Serbia itu dari Old Traf- ford.

Vidic yang menjadi buruan Real, mengharapkan kontrak baru sejak 12 bulan lepas, namun baru kini United bersedia untuk duduk dan berbincang mengenai kontrak lanjutan selama dua tahun.

Real dilapor sanggup membayar £25 juta (RM123 juta) ke atas pemain pertahanan tengah itu yang sebelum ini mendedahkan, dia mahu menerima gaji yang banyak seperti dua tonggak United, Wayne Rooney dan Rio Ferdi- nand.

Situasi tersebut menyaksikan United akhirnya terpaksa menawarkan kontrak baru kepada pemain berusia 28 tahun itu.

Vidic masih ada baki dua tahun lagi dalam kontrak empat tahunnya ketika menyertai United dari Spartak Moscow dengan harga £7.2 juta (RM35.5 juta) pada 2006.

Jika segala perancangan berjalan dengan baik, kontrak baru Vidic itu nanti bakal menyaksikan dia kekal di Old Trafford sehingga Julai 2014.

Ketika tahap kecergasan Ferdinand masih diragui selepas dia berehat panjang ekoran kecederaan belakang, skuad The Red Devils pastinya tidak mahu kehilangan Vidic pada musim panas ini.

Pengurus United, Alex Ferguson tiada banyak pilihan di posisi pertahanan dengan hanya memiliki Jonny Evans yang dilihat masih tercari-cari rentak.

Wes Brown pula kurang beraksi di posisi pertahanan tengah manakala Chris Smalling kurang pengalaman kerana jarang diturunkan

Situasi Mascherano masih tidak menentu

LONDON - Perancang Liverpool, Javier Mascherano sudah bersedia untuk berbincang mengenai perpindahannya ke Inter Milan.

Ejen kapten Argentina itu dilaporkan berada di Milan kelmarin untuk berbincang mengenai tawaran daripada Inter dan ia dijangka selesai dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Terdahulu, jurulatih baru Inter, Rafael Benitez yang juga bekas pengurus Liverpool bersetuju untuk tidak 'mengikat' mana-mana bekas pemainnya.

Begitupun, Liverpool kini sedar bahawa Inter menjadi kelab tunggal yang berusaha untuk mendapatkan Mascherano.

Mascherano pula telah menyuarakan hasratnya untuk berhijrah dan Liverpool menganggap ia mungkin satu keputusan yang baik jika mereka melepaskabintang Argentina itu.

Bagaimanapun, Inter tidak bersetuju dengan harga £30 juta (RM149 juta) yang diletakkan Liverpool, sebaliknya mereka sekadar membuat tawaran berjumlah hampir £20 juta (RM99 juta).

Jika kata sepakat dicapai, Liverpool mungkin boleh menggunakan wang hasil penjualan Mascherano untuk membeli pemain pertahanan kiri baru dan penyerang yang menjadi keutamaan mereka.

Mascherano yang masih belum mengikuti sesi latihan yang dikendalikan pengurus baru Liverpool, Roy Hodgson dijangka kembali ke Anfield pada Isnin ini

Hari Pertama- Karnival The Red Warriors

Hari pertama Karnival The Red Warriors meriah dengan kehadiran lebih 8000 orang pengunjung yang mengambil kesempatan cuti hujung minggu di Kelantan untuk bersantai sambil berhibur di Karnival yang pertama kali dianjurkan oleh kelab bola sepak di Malaysia dan telah tersenarai dalam "Malaysia Book Record" sebagai karnival pertama seumpamanya di Malaysia.

Kemeriahan ini diserikan lagi dengan paparan foto-foto gergasi yang dicetak dan dipamerkan menggunakan hasil nurkilan foto peserta yang menyertai pertandingan foto yang dianjurkan KAFA-TRWC. Ada yang tersenyum bangga gambar contengan muka dan aksi-aksi mereka ketika perlawanan terpapar di gerai-gerai rasmi KAFA, namun ada juga yang masih tercari-cari gambar-gambar mereka dicelah-celah paparan gambar. "Gamba Aku Ada Ko?".

Lebih 200 gerai telah dibuka dan mendapat sambutan hangat para pengunjung yang berpusu-pusu mendapatkan barangan percuma yang disediakan pemilik gerai. Selain itu terdapat pelbagai aktiviti diadakan bagi meraikan kedatangan pengunjung yang berminat menyertainya. Program ini telah berjaya mencapai matlamatnya, iaitu membawa The Red Warriors bersama masyarakat.

Berhati-hati kepada pengunjung yang merancang untuk pulang ke kampung menyaksikan karnival ini kerana masih ada 4 hari lagi dan masih banyak aktiviti belum berlangsung. Kepada seluruh penduduk Kelantan yang masih belum berkunjung ke karnival, diharap boleh merancangnya dan menghadirkan diri hari ini kerana acara berlangsung sehingga pukul 12 malam. Pastikan gambar anda menjadi kandid para jurufoto yang berkeliaran di sekitar karnival....Maghi pakat gi karnival belako....


Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Gomo Kelate Gomo

Ibrahimovic bukan milik Real


IBRAHIMOVIC gagal menyerlah bersama Barcelona musim lalu.

LONDON - Penyerang Barcelona, Zlatan Ibrahimovic tidak akan menyertai kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid musim depan.

Sebelum ini, laporan di Sepanyol mengatakan bahawa jurulatih Real, Jose Mourinho berminat mendapatkan bekas bintangnya itu.

Mourinho juga dikatakan sedia menukar Ibrahimovic dengan perancang Real kelahiran Brazil, Kaka.

Barca pula dilaporkan bersedia melepaskan Ibrahi- movic selepas prestasi hambarnya di Nou Camp musim lalu.

Begitupun ejen Ibrahimovic, Mino Raiola menjelas- kan, pemain itu tidak akan berhijrah ke mana-mana terutamanya Real.

"Saya masih belum bercakap dengan wakil Real atau tentang kemungkinan pertukaran dengan Kaka. Saya tidak tahu apa-apa tentang isu ini," kata Raiola.

"Zlatan masih ada kontrak dengan Barca dan dia mahu membuktikan kualitinya apabila dia bersedia se- penuhnya.

"Dia kini hanya memberi tumpuan terhadap pasukannya dan tidak sabar lagi untuk memula- kan musim baru sebagai pemain Barca."

Tempat Ibrahimovic dalam skuad utama Barca kini dalam keadaan bahaya berikutan kehadiran penyerang Sepanyol

Villa membara julang Barcelona

LONDON - David Villa (gambar) sudah tidak sabar untuk bekerjasama dengan jurulatih Barcelona, Pep Guardiola.

Penyerang berbisa Sepanyol itu telah menandatangani kontrak bersama Barca selepas berhijrah dari Valencia pada Mei lalu.

Pada kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, Villa telah meledak lima gol seterusnya membantu Sepa- nyol muncul juara.

Kini, Villa mengakui yang dia cukup teruja untuk bekerjasama dengan Guardiola.

"Saya mempunyai keinginan yang besar untuk berlatih bersama Pep," katanya.

"Tidak hanya kerana apa yang telah dilakukannya kepada Barcelona sebelum ini tetapi juga kerana apa yang ra- kan sepasukan beritahu kepada saya.

"Mereka memberitahu saya, beliau (Pep) adalah seorang jurulatih yang mampu menjadikan kamu lebih baik secara individu dan kolektif.

"Kapten Barca, (Carles) Puyol memberitahu saya yang dia tidak pernah bertemu jurulatih seperti Pep sepanjang kariernya."

Sebelum meninggalkan Valencia untuk ke Barca, Villa telah dikaitkan dengan beberapa kelab gergasi Eropah.

Namun, dia membuat keputusan untuk terus kekal di Sepanyol dengan menyertai kelab Catalan itu.

"Ia adalah satu kebebasan bagi saya untuk membuat sebarang keputusan," katanya.

Villa juga yakin dia mampu untuk menyesuaikan diri dengan kelab baru- nya itu.

"Pasukan kebangsaan (Sepanyol) dan Barca menggunakan formasi yang sama, 4-3-3 dan saya rasa selesa dengan tiga posisi di bahagian sera- ngan," jelas Villa

Liverpool mahu pinjam Huntelaar


HUNTELAAR gagal mendapat tempat dalam skuad utama AC Milan.

LONDON - Pengurus baru Liverpool, Roy Hodgson berminat untuk mendapatkan khidmat Klaas Jan Huntelaar secara pinjaman.

Pada mulanya, Hodgson ditawarkan £14 juta (RM69 juta) oleh pemilik The Reds untuk membawa penye- rang Belanda itu dari AC Milan.

Namun terbaru, Hodgson hanya diberi peruntukan sebanyak £2 juta (RM10 juta).

Sebelum ini, Huntelaar, 26, telah dimaklumkan khidmatnya tidak lagi diperlukan Milan.

Ketua Eksekutif Milan, Adriano Galliani turut membuat kenyataan bahawa Huntelaar akan menyertai salah sebuah kelab Liga Perdana England.

Sekiranya perjanjian pinjaman itu berjaya, Liverpool akan mempunyai pilihan untuk membeli Huntelaar apabila krisis kewangan mereka beransur pulih.

Begitupun, bekas penyerang Ajax Amsterdam dan Real Madrid itu perlu membuktikan kemampuannya terlebih dahulu.

Sebagai rekod, Huntelaar telah membuat empat penampilan pada kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan baru-baru ini dan dia menjaringkan gol kemenangan ketika skuad Oranje mengalahkan Cameroon 2-1 pada peringkat kumpulan

Jumaat, 23 Julai 2010

Stadium Kosong dan Syok Sendiri!!

"Angkat Bakul Sendiri" itulah yang dapat digambarkan apabila membaca akhbar-akhbar tempatan. Meneliti isu-isu perebutan jawatan FAM ini tidak peliklah kalau sekiranya ditafsirkan pemimpin yang ada sekarang terdiri daripada kalangan mereka yang syok sendiri. Jikalau pasaraya atau restoren akan risau apabila kurang pengunjungnya tetapi bagi FAM kekurangan pengunjung atau penyokong bukan satu masalah besar baginya yang penting mereka terus berkuasa.

Pemimpin yang dengan riak menyatakan kejayaannya di peringkat negeri atau kelab mungkin tidak sedar pasukannya hanya bermain bertemankan kerusi-kerusi kosong sahaja berbanding pasukan Kelantan yang ditemani segerombolan penyokong yang pantang melihat kerusi kosong. Apa guna mengisytiharkan kejayaan kita sedangkan kita sendiri tidak mampu mengajak penyokong ke stadium? Apakah kejayaan ini hanya boleh dinilai pada sebuah stadium yang cantik, pasukan yang kuat, pengurusan yang mantap tetapi lemah apabila melibatkan penyokong? Tidak pentingkah penyokong pada pemimpin ini? Memang mereka mampu mengurus tanpa bantuan penyokong tetapi apa guna bola sepak sekiranya tanpa penyokong.

Elemen bola sepak sudah sebati dengan elemen sokongan penyokong, sekiranya skuad kebangsaan terus dicemuh malah dipandang rendah oleh masyarakat negaranya sendiri, adakah ini menggambarkan kejayaan sebuah barisan pimpinan FAM? Populariti sesebuah pasukan amat penting bagi meningkatkan moral dan semangat para pemain agar mengetahui setiap kudrat dan tenaga mereka di padang dihargai oleh para penyokong. Melihat situasi perlawanan di Malaysia, pasukan bola sepak yang tidak mempunyai penyokong akan tunduk malu dan lemah apabila melintas masuk ke bilik persalinan manakala pasukan yang ramai penyokong dengan gah bertepuk sama dengan penyokong sambil melangkah masuk ke bilik persalinan. Di kelantan pemain dikeremuni ramai penyokong yang berebut untuk bergambar bersama pemain tetapi ianya tidak berlaku di negeri lain.

Kejayaan tidak lengkap tanpa memasukkan pakej penyokong yang ramai ke stadium. Mungkin ramai bersyukur kekurangan penyokong telah menyelamatkan stadium di sebuah negeri dahulu dari runtuh awal. Populariti pasukan bola sepak Kelantan bukan hanya popular dikalangan masyarakat Kelantan sahaja malah disokong oleh peminat bola sepak negeri lain dan negara lain. Krew kami menerima sebuah klip video yang dihantar oleh seorang penyokong Kelantan untuk dikongsi bersama dengan seluruh peminat Kelantan mengenai kekaguman 2 warga asing daripada USA yang menyaksikan bola sepak di Kuala Lumpur baru-baru ini. Warga asing ini kagum melihat sokongan dan kemeriahan yang ditunjukkan oleh penyokong Kelantan seolah-olah penyokong Kelantan ini berada di negeri sendiri sedangkan ianya pasukan pelawat.

Malahan ada satu pengalaman yang dikongsi wakil kelab penyokong The Red Warriors KLIA iaitu saudara Nazim yang pernah menyapa seorang warga asing yang masuk ke balai berlepas KLIA dengan memakai jersi The Red Warriors, dia sempat bertanya warga asing itu beli dimana dan berapa harga yang dibelinya, dengan nada selamba warga asing itu menjawab dia membelinya di Wakaf Che Yeh Kota Bharu dengan harga RM70. Peristiwa ini membuatkan saudara Nazim tersenyum bangga dengan kejayaan pasukan kesayangannya. Begitu juga dengan stastistik dan email yang direkodkan terdapat pengunjung asing yang berminat menyaksikan perkembangan semasa web dan media rasmi THEREDWARRIORS.COM.

Kejayaan seperti ini yang perlu dicipta bukan berterusan syok sendiri dengan sekelumit kejayaan dan segunung kegagalan.Berapa banyak hasil jualan jersi Harimau Muda untuk dibangga bagi memastikan ianya diminati ramai dan menilai kejayaan? Tidak pelik jika lebih ramai rakyat Malaysia lebih sanggup memakai jersi negara lain seperti Sepanyol, Brazil, Belanda, Nigeria dan sebagainya daripada memakai jersi Harimau Muda. Mereka bukan tidak sayang atau hilang semangat patriotik pada Malaysia tetapi kecewa dan cemuh melihat karenah kepimpinan FAM yang sentiasa berdolak-dalih dalam membina sebuah kejayaan. Malah ada yang berpendapat Wisma FAM sesuai dijadikan Arkib Bola Sepak Negara kerana saban tahun rakyat Malaysia hanya disajikan kejayaan bola sepak zaman lampau berbanding kejayaan zaman sekarang. Malah ada yang sudah muak dengan sikap-sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin FAM dalam mendepani kritikan peminat.

Bola sepak Malaysia sekarang perlu berada ditangan mereka yang boleh meningkatkan kembali imej bola sepak negara di mata rakyatnya sendiri bukan berada ditangan yang hanya mementingkan kelompok pimpinan yang angguk-angguk, geling-geling sahaja. Sekali lagi diingatkan bola sepak Malaysia hak milik seluruh rakyat Malaysia bukan hak milik segelintir pemimpin sahaja. Hanya rombakan drastik dan dipimpin oleh barisan yang ikhlas serta cintakan bola sepak sahaja yang mampu mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Malaysia.

YA ALLAH KEMBALIKANLAH KEGEMILANGAN DAN KECERIAAN BOLA SEPAK NEGARA KAMI.

Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Gomo Kelate Gomo

Khamis, 22 Julai 2010

'Ronaldinho tidak akan dijual'

MILAN - Pemilik AC Milan, Silvio Berlusconi menegaskan bahawa perancang kelahiran Brazil, Ronaldinho tidak akan dijual.

"Ronaldinho tidak akan terlibat dengan perpindahan dan kami semua telah bersetuju bahawa dia akan kekal di Milan selagi mana dia mahu terus bermain.

"Saya belum lagi bercakap dengan Ronaldinho dalam masa terdekat ini tetapi kami yakin dapat memperbaharui kontraknya dan dia akan terus kekal di sini.

"Saya anggap dia sebagai pemain terbaik sepanjang masa," kata Berlusconi yang juga Perdana Menteri Itali.

Ronaldinho pernah memenangi anugerah Pemain Terbaik Eropah 2005 dan mencapai kemuncak prestasinya setahun kemudian dengan membantu Barcelona merangkul kejuaraan berganda, Liga Sepanyol dan Liga Juara-Juara.

Namun dia telah mengalami penurunan prestasi selepas itu dan menyertai Milan pada Julai 2008.

Ronaldinho, 30, masih belum mengulangi tahap kecemerlangannya sepanjang berada di Itali biarpun dia dilihat kembali mempamerkan aksi terbaik ketika membantu Milan menduduki tempat ketiga Serie A musim lalu.

Baru-baru ini, Ronaldinho telah dilaporkan akan kembali beraksi di Liga Brazil bersama kelab Flamengo tetapi Berlusconi bingkas menafikan khabar angin tersebut.

"Dia (Ronaldinho) merupakan daya tarikan terbesar di AC Milan. Harganya sebenarnya bernilai 10 kali ganda lebih tinggi daripada nilai yang ditulis dalam laporan akhbar tersebut," jelas Berlusconi.

Dalam pada itu, Milan turut mengumumkan pembelian pemain pertahanan tengah Greece, Sokratis Papastathopoulos.

Pemain berusia 22 tahun itu dibeli daripada Genoa dengan harga 4.5 juta euro (RM18.6 juta) dengan kontrak selama lima tahun.

Papastathopoulos menjadi pemain pertama yang dibeli Milan sejak bekas jurulatih Cagliari, Massimiliano Allegri dinamakan sebagai pengurus baru kelab itu bagi menggantikan Leonardo

Ferguson salahkan FA England




LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson (gambar) mula menimbulkan provokasi terhadap Persatuan Bola Sepak (FA) England.

Secara terbuka, Ferguson mendakwa FA England sengaja mencacatkan peluang skuad Three Lions itu untuk mencipta kejayaan pada kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Ferguson berkata, kegagalan England itu berpunca daripada sikap FA England yang enggan mengikut jejak langkah negara lain untuk mewujudkan tempoh rehat musim sejuk pada pertengahan saingan liga domestik.

Kesannya, England sekadar mampu melepasi pusingan kedua dan beberapa pemain bintang mereka kelihatan cukup lesu sepanjang kempen Piala Dunia 2010.

"Badan induk bola sepak sepatutnya memberi peluang terbaik kepada skuad negara itu untuk beraksi baik pada Piala Dunia.

"Hanya kerana suasana perlawanan dan keperluan siaran televisyen yang mahukan perlawanan setiap minggu, idea untuk rehat musim sejuk yang saya katakan 30 tahun lalu masih belum mahu dilaksanakan di England.

"FA England harus menyedari perkara itu kerana mereka sendiri yang mencacatkan pasukan kebangsaan mereka," kata Ferguson.

Tiga daripada empat negara yang berjaya mara ke separuh akhir Piala Dunia 2010 - Sepanyol, Jerman dan Belanda telah mengamalkan tempoh rehat musim sejuk ketika saingan liga domestik masing-masing.

Penyerang United, Wayne Rooney merupakan salah seorang pemain bintang England yang mengalami masalah kelesuan di Afrika Selatan.

Justeru, Ferguson memberikan rehat sehingga 28 Julai depan untuk pemain-pemainnya yang beraksi pada Piala Dunia 2010 dan mereka langsung tidak menyertai jelajah pra musim United ke Amerika Syarikat ketika ini

Chelsea tak mahu jual Cole


LONDON - Pengerusi Chelsea, Bruce Buck telah memusnahkan harapan Jose Mourinho untuk membawa Ashley Cole (gambar) ke Real Madrid.

Buck menegaskan, pemain pertahanan kiri skuad kebangsaan England itu tidak akan dijual sekalipun Real membuat tawaran yang tinggi.

Cole mula dikaitkan dengan perpindahan ke Real selepas Mourinho yang merupakan bekas pengurus Chelsea dilantik sebagai jurulatih baru kelab Sepanyol itu.

Ia ditambah dengan laporan yang mengatakan Cole tidak lagi gembira dengan kehidupan di England selepas dia bercerai dengan isterinya, Cheryl dan mahu meninggalkan saingan Liga Perdana England bagi mencari kehidupan peribadi yang lebih selesa.

Namun Buck berkata, perpindahan ke kelab luar tidak akan membantu pemain berusia 29 tahun itu dan menegaskan, Chelsea tidak berhasrat menjual bekas bintang Arsenal itu.

"Cole bukan untuk dijual, itu yang mahu saya tekankan. Tanpa ragu-ragu lagi, dia tetap akan menjadi pemain Chelsea musim ini.

"Cole seorang pemain yang hebat. Dia begitu senang dengan suasana kelab ini dan hubungannya cukup baik dengan setiap orang di sini," kata Buck.

Buck turut menegaskan, Chelsea akan terus mengekalkan khidmat Didier Drogba biarpun ejen kepada kapten skuad kebangsaan Ivory Coast itu mendakwa telah mengadakan perbincangan dengan Manchester City.

"Bagi kami ia mudah sahaja. Drogba telah menang penjaring terbanyak dan juara liga bersama kami pada musim lalu," jelas Buck.

"Dia juga sebahagian daripada perancangan kami musim ini dan masa akan datang. Jadi dia juga bukan untuk dijual

Rabu, 21 Julai 2010

Guardiola mengalah





BARCELONA - Jurulatih Barcelona, Pep Guardiola seakan-akan sudah menyerah kalah dalam misinya mendapatkan khidmat kapten Arsenal, Cesc Fabregas (gambar).

Guardiola mengakui peluang Barca untuk 'mengikat' Fabregas kini bergantung kepada Arsenal.

Spekulasi mengenai perpindahan Fabregas ke Nou Camp semakin hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini biarpun pengurus Arsenal, Arsene Wenger menegaskan, kaptennya itu tidak akan meninggalkan Emirates.

Lebih malang buat Barce- lona apabila tawaran yang dikemukakan mereka kepada Arsenal sebanyak £21 juta (RM102 juta) telah ditolak.

"Dia (Fabregas) merupakan seorang pemain yang penting buat Arsenal dan saya faham situasi yang dialami kelab tersebut kerana perbelanjaan bagi membawa masuk pemain itu menelan belanja yang besar.

"Kini, semua keputusan sama ada Fabregas akan beraksi bersama kami (Barcelona) ataupun tidak terletak di tangan pihak pengurusan Arsenal," jelas Guardiola.

Beliau turut memahami masalah kewangan yang dialami Barca sehingga memaksa mereka melepaskan beberapa pemain senior dalam skuad The Catalan itu termasuk perancang Ivory Coast, Yaya Toure, penyerang Perancis, Thierry Henry dan pemain pertahanan, Dmytro Chygrynskiy.

"Ia merupakan satu tamparan hebat buat kami apabila menyaksikan bebe- rapa pemain terpaksa dilepaskan termasuklah Toure yang telah pun menandatangani kontrak bersama Manchester City.

"Saya telah cuba sedaya upaya untuk terus mengekalkannya di sini (Nou Camp), namun dia tetap dengan keputusannya untuk berhijrah.

"Saya berterima kasih di atas segala sumbangan yang telah diberikannnya kepada Barcelona selama ini dan diharapkan dia dapat kerap beraksi bersama City yang mana dia tidak dapat melakukan itu di sini

Drogba milik City?



DROGBA antara tonggak utama Chelsea sejak berhijrah dari Marseille enam tahun lalu.

LONDON - Penyerang sensasi Chelsea, Didier Drogba dilapor sedang mengadakan perbincangan untuk menyertai Manchester City dengan nilai perpindahan melebihi £20 juta (RM97.5 juta).

Ejen Drogba, Thierno Seydi mengesahkan bahawa dia telah berbincang secara terus dengan pihak pengurusan City mengenai kemungkinan penyerang berusia 32 tahun itu berhijrah ke Eastlands.

"Memang hari ini (kelmarin) Drogba masih bersama Chelsea tetapi mungkin akan ada kejutan sebelum 31 Ogos depan.

"Saya tidak beritahu sesiapa lagi kerana saya berhubung terus dengan City. Dalam usia Didier ketika ini, saya tidak perlu menyembunyikan aspek kewangan.

"Kelab yang mahu mendapatkan khidmat Drogba perlu meme- nuhi nilai pasarannya," kata Sey- di.

City turut dilapor bersedia untuk menawarkan Drogba, 32, kontrak selama tiga tahun bernilai £18 juta (RM87.7 juta).

Bagaimanapun, City yang telah berbelanja £60 juta (RM292 juta) bagi mendapatkan Jerome Boateng, David Silva dan Yaya Toure pada musim panas ini menafikan laporan tersebut.

"Tiada sebarang perbincangan antara kedua-dua belah pihak. Kami tidak pernah berbincang dengannya (Seydi)," jelas jurucakap City semalam.

Dalam pada itu, Seydi juga tidak menolak kemungkinan Drog- ba kembali menyertai kelab Marseille.

Untuk rekod, Drogba hanya beraksi semusim bersama kelab Perancis itu sebelum dia dipancing bekas pengurus Chelsea, Jose Mourinho enam tahun lalu.

"Didier sentiasa mengimpikan untuk menamatkan kariernya di Marseille tetapi masih ada keka- ngan antara impian dan realiti.

"Buat masa ini, dia gembira berada di Chelsea," jelas Seydi.

Droga yang juga kapten skuad kebangsaan Ivory Coast merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana England musim lalu selepas dia meledak 29 gol.

Andai Drogba berhijrah ke City, Chelsea akan kembali mengalih tumpuan untuk mendapat khidmat penyerang berbisa Liverpool, Fernando Torres