KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Rabu, 28 Julai 2010

'Torres tidak akan berhijrah'


TORRES (kiri) dan Gerrard antara tonggak utama Liverpool sejak beberapa musim lalu.

LONDON - Tonggak pertahanan Liverpool, Jamie Carragher yakin Fernando Torres akan terus kekal di Anfield musim depan.

Terdahulu, Torres dilaporkan bakal meninggalkan Liverpool manakala pengurus Manchester City, Roberto Mancini mendedahkan, beliau berminat membawa masuk penyerang antarabangsa Sepanyol itu ke Eastlands.

Terdapat juga laporan yang mengatakan Torres akan menyertai musuh Liverpool, Chelsea.

Pengurus Liverpool, Roy Hodgson turut mengakui, beliau sukar untuk 'mengikat' Torres, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa 'ayam tambatan' The Reds itu akan mengubah haluan musim depan.

Bagaimanapun, Carragher percaya Tor- res yang meledak 56 gol dalam 79 perlawa- nan Liga Perdana England akan tetap menyarung jersi Liverpool musim depan.

"Banyak berita yang tidak sedap didengar sejak kebelakangan ini. Namun, saya amat yakin Steven Gerrard dan Fernando Torres akan kekal bersama Liverpool musim depan," kata Carragher.

"Jika mereka terus berada di Anfield, sudah pasti sasaran utama Liverpool adalah untuk kembali bersaing dalam kempen Liga Juara-Juara.

"Kami harus bangkit kembali dan memperkemas barisan sedia ada. Ia merupakan suatu proses penambahbaikan dan diharap- kan kami kembali berada di landasan sebenar."

Bekas pemain pertahanan Liverpool, Mark Lawrenson pula khuatir penghijrahan Torres akan meranapkan impian The Reds bagi memburu kejayaan.

"Walaupun Liverpool menafikan laporan bahawa Fernando Torres tidak akan meninggalkan Anfield, saya tetap takut sebaliknya yang berlaku.

"Jika kamu seorang pemain sudah pasti kamu akan menafikan setiap laporan yang keluar dan memberitahu peminat bahawa kamu akan kekal.

"Bagaimanapun, kita semua masih belum mendengar sebarang keputusan daripadanya," kata Lawrenson

Robinho diarah pulang


ROBINHO dilaporkan enggan kembali menyarung jersi City, sebaliknya mahu terus bersama kelab Santos.

LONDON - Manchester City mengarahkan penyerangnya, Robinho kembali semula ke England sebelum 5 Ogos depan.

Tujuan City memanggil semula Robinho adalah untuk mencari jalan penyelesaian berhubung pertelingkahan yang berlaku di antara bintang antarabangsa Brazil itu dengan pengurus, Roberto Mancini.

"City telah mengarahkan agar Robinho melapor diri sebelum 5 Ogos dan pemain itu tidak mempunyai pilihan lain biarpun dia pernah menyatakan hasratnya untuk terus kekal bersama Santos.

"Dia telah jatuh hati dengan gaya hidup di sana (Brazil), corak permainan bola sepak di sana dan juga keindahan pantai- nya dan dia tidak mahu segala- nya berubah apabila dia kembali ke pangkuan City," jelas sumber terdekat kepada Robinho.

Robinho yang dibeli daripada Real Madrid dengan yuran perpindahan bernilai £32.4 (RM159.7 juta) pada 2008, kini dipinjamkan ke kelab Brazil, Santos dan masih dibayar gaji sebanyak £150,000 (RM739,485) seminggu.

"Terdapat tawaran yang dikemukakan oleh kelab dari Turki untuk mendapatkan khidmatnya, namun City tidak bersetuju dengan tawaran tersebut.

"Secara peribadinya dia sendiri tidak mahu beraksi di Turki kerana dia hanya memikirkan untuk kekal bersama Santos," jelas sumber berkenaan.

Jika beraksi bersama City, Robinho menaruh harapan yang tinggi untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

Begitupun, sekiranya City melepaskan Robinho, masa depan pemain tersebut dilihat bakal terjejas dan pastinya sukar untuk dia mendapatkan kelab baru khususnya di England.

"Robinho sanggup beraksi bersama mana-mana kelab di London yang berminat bagi mendapatkan khidmatnya tetapi ternyata tidak ada di antara kelab itu yang mampu untuk membayar gajinya.

"Jadi... persoalan utamanya adalah apa yang City boleh laku- kan untuk Robinho jika mereka tetap enggan melepaskan pemain tersebut?

"Sekiranya jawapan mereka disebabkan telah melabur banyak wang ke atas pemain tersebut, itu adalah masalah mereka," tambah sumber berkenaan

Selasa, 27 Julai 2010

Kedah juara MELC 2010


SKUAD Kedah meraikan kejayaan muncul juara kejohanan bola sepak Liga Piala Menteri Pelajaran 2010 bagi kategori B-15 dan B-17.

KEDAH muncul juara edisi ketiga kategori bawah umur 15 tahun (B-15) kejohanan bola sepak Liga Piala Menteri Pelajaran (MELC) 2010.

Kejayaan tersebut diraih setelah menewaskan Terengganu 3-2 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin.

Edisi pertama kejohanan pada 2008 dimenangi Selangor dan diikuti Sekolah Sukan Bandar Pena- war (SSBJ) pada 2009.

Ketua jurulatih Kedah, Basirul Abu Bakar merupakan individu yang paling bangga dengan kejayaan tersebut dan memuji persembahan anak-anak buahnya yang telah mempamerkan semangat juang tinggi pada aksi final tersebut.

"Pemain-pemain telah menunjuk- kan komitmen serta disiplin dan kerjasama berpasukan yang begitu tinggi sepanjang 90 minit tempoh perlawanan sehingga kami (Kedah) berjaya merangkul gelaran juara pada edisi kali ini.

"Meskipun beraksi di atas padang becak ekoran hujan yang turun, namun itu tidak menjadi penghalang buat pemain-pemain saya memberikan persembahan terbaik mereka.

"Hampir 90 peratus barisan pemain yang disenaraikan kali ini telah bersama sejak darjah empat lagi, dan diharapkan untuk kejohanan pada tahun depan kami mampu mencungkil lebih ramai bakat muda daripada program pembangunan peringkat akar umbi," jelas Basirul.

Pada aksi kelmarin, Terengganu terlebih dahulu membuka jaringan selepas Muhd. Akram Asidi membuka tirai jaringan seawal minit ke-18.

Begitupun, gol pendahuluan Terengganu itu sedikit pun tidak melunturkan semangat anak-anak buah Basirul yang kembali bangkit dengan jaringan penyamaan menerusi Muhd. Ariff Farhan Mohd. Isa pada minit ke-35.

Muhd. Fitri Che Hassan muncul wira apabila meledak dua gol buat Kedah pada minit ke-45 dan 47 untuk meletakkan pasukannya didepan sebelum Akram sekali lagi menjaringkan gol kedua buat Terengganu merapatkan jurang gol minit-minit terakhir perlawanan.

Biarpun tewas, ketua jurulatih Terengganu, Zainudin Mohd. Zain tetap berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya dan melahirkan keyakinan bahawa skuad kendaliannya itu akan kembali menebus kehampaan tersebut pada edisi akan datang.

"Kedah sememangnya layak bergelar juara kerana mereka tampil hebat berbanding Terengganu. Namun, saya akan memastikan yang Terengganu akan tampil lebih bertenaga dengan beberapa lagi muka baru yang dijangka disenaraikan untuk sekali lagi mara ke final dan sekali gus muncul juara pada edisi tahun depan," katanya.

Dalam pada itu, kejayaan skuad B-15 Kedah itu diteruskan oleh 'abang-abang' mereka yang turut merangkul kejuaraan kejohanan yang sama dalam kategori bawah 17 tahun (B-17) setelah menewaskan Pahang 2-1 pada perlawanan akhir

Tengku Abdullah, Annuar di hadapan


ANGGOTA Majlis Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu bijak memilih calon yang akan mengetuai barisan kepimpinan badan induk bola sepak negara itu.

Salah pilih, FAM akan kembali dengan cerita lama yang tiada kesudahannya.

Perwakilan seharusnya sudah tahu siapa calon yang dilihat berpotensi untuk menerajui FAM dan sudah membuktikan kredibiliti pada peringkat negeri.

Pengkritik sukan terkenal, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim turut memberi pandangan serupa khususnya untuk dua jawatan timbalan presiden.

“Dua kerusi timbalan presi den perlulah mempunyai kriteria seperti kemampuan dan pengalaman bagi memantapkan lagi badan induk bola sepak negara.

“Apa yang penting, calon itu perlu realistik dalam membawa perubahan,” katanya.

FAM akan mengadakan Kongres kali yang ke-47 pada 31 Julai ini bagi memilih barisan kepimpinan baru untuk penggal 2010/2014, iaitu seorang presiden, dua timbalan presiden, empat naib presiden dan lapan anggota eksekutif.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mengekalkan jawatan presiden apabila menang tanpa bertanding selepas

pencalonan ditutup Ahad lepas.

Setakat ini, dua calon yang dilihat paling sesuai ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Malah, dua calon itu dikatakan memiliki kredibiliti berdasarkan sumbangan mereka pada peringkat negeri.

Perwakilan juga dikatakan lebih yakin dengan dua calon berkenaan untuk diberi mandat menerajui dua jawatan No. 2 dalam FAM itu.

Penyandang jawatan, Khairy Jamaluddin yang tidak mempertahankan jawatannya, turut menyatakan keyakinannya terhadap dua calon itu untuk memegang jawatan No. 2 itu.

“Tengku Abdullah dan Annuar merupakan gandingan terbaik yang mampu memacu perkembangan bola sepak negara,” katanya.

Jika perwakilan pada Kongres ke-47 FAM mahukan perubahan, maka mereka sudah tahu siapa yang lebih layak diberi

kepercayaan untuk berada dalam barisan kepimpinan FAM kali ini.

Raul sedih tinggalkan Real


RAUL memilih untuk meneruskan karier bola sepak di Jerman dan England.

LONDON - Selepas 15 tahun beraksi bersama Real Madrid, Raul Gonzales mengesahkan yang dia bakal meninggalkan kelab gergasi Sepanyol itu.

Raul berkata: "Ini adalah hari paling sukar dan genting bagi saya," kata Raul dalam satu sidang media di Stadium Bernabeu semalam.

"Saya rasa seperti seorang pemain dan saya mahu terus menikmati perasaan seperti seorang pemain selagi boleh serta sekiranya badan saya mengizinkan.

"Saya tidak akan melupakan kamu."

Real mengadakan satu majlis perpisahan buat penyerang prolifik yang dikaitkan bakal berhijrah ke Jerman atau England itu.

Dua kelab kini sedang dalam pemburuan bagi mendapatkan khidmat bekas penyerang anta- rabangsa Sepanyol itu iaitu Tottenham Hotspur dan Newcastle United.

Selain dua kelab tersebut, kelab dari Jerman, Schalke turut menyatakan hasrat bagi menda- patkan khidmat Raul.

Sepanjang tempoh bersama Real, Raul telah meraih enam kejuaraan Liga Sepanyol dan tiga gelaran Liga Juara-Juara.

Raul, 33, menghabiskan hampir keseluruhan kariernya bersama Real sejak menandatangani kontrak pada 1994 dan turut memegang rekod kelab selaku penjaring terbanyak serta pemain yang paling banyak membuat penampilan.

Tidak cukup dengan itu, Raul juga merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Sepanyol dan penjaring terbanyak dalam kejohanan-kejohanan anjuran UEFA.

Begitupun, nasib Raul mula berubah musim lalu apabila dia sering kali memanaskan bangku simpanan disebabkan faktor usianya yang semakin meningkat

Balotelli jadi milik City

ROM - Penyerang sensasi Itali, Mario Balotelli (gambar) telah menandatangani kontrak dengan Manchester City semalam dan akan berpindah ke kelab Liga Perdana England itu minggu ini.

Balotelli, 19, telah lama dikaitkan dengan City yang kini dibimbing oleh bekas jurulatih Inter Milan, Roberto Mancini.

Media melaporkan pemain itu menerima kontrak lima tahun bernilai empat juta euro (RM17 juta) semusim dengan harga perpindahan 30 juta euro (RM124 juta).

Balotelli dijangka membuat penampilan pertama buat kelab Eastlands itu yang akan menentang bekas kelabnya, Inter dalam jelajah pramusim di Amerika Syarikat.

Pemain kelahiran Ghana itu pernah mencetuskan kontroversi mengenai keputusannya untuk mewakili Itali, namun dianggap sebagai antara permata baru bagi negara tersebut.

Begitupun, dia menjadi mangsa serangan perkauman dan mula diketepikan daripada Jose Mourinho kerana masalah disiplin ketika era dua tahun jurulatih dari Portugal itu di Inter.

Balotelli juga menimbulkan kemarahan peminat kelabnya ketika dia menanggalkan jersinya dan melemparkan ke padang ketika kejayaan 3-1 Inter ke atas Barcelona pada separuh akhir kempen Liga Juara-Juara di San Siro.

Dia juga diketepikan dalam enam perlawanan sebelum insiden tersebut selepas enggan meminta maaf secara terbuka kepada jurulatihnya berikutan satu salah faham

City sedia tawaran lebih lumayan

LONDON - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini kini bersedia mengemukakan tawaran lebih lumayan bagi mendapatkan penyerang sensasi Liverpool, Fernando Torres.

Begitupun, City perlu bersaing dengan Chelsea yang turut menyatakan minat untuk mendapatkan pemain yang dianggarkan bernilai £50 juta (RM247.2 juta) itu.

"Torres meru- pakan salah seorang pemain penyerang terbaik Eropah ngan Liga Perdana England untuk tempoh tiga tahun.

"Saya bersedia membuat tawaran sekiranya dia berminat untuk ke Eastlands.

"Namun, keputusan sama ada Tor- res akan beraksi bersama City atau tidak bergantung kepada situasi, harga dan kesediaan pemain itu sendiri.

"Ada dua atau tiga lagi penyerang yang kini sedang dalam pemerhatian kami (City) dan sudah pasti mereka semuanya adalah pemain yang menakjubkan," jelas Mancini.

Selain Torres, Mancini turut dilaporkan berminat untuk mendapatkan penyerang muda Wolfsburg, Edin Dzeko dan Mario Balotelli (Inter Milan).

Minggu lalu, ejen Didier Drogba, Thierno Seydi mendedahkan yang dia ada mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan City bagi menanda- tangani kontrak bersama bintang Chelsea itu.

Dalam perkembangan lain, Mancini memberitahu, beliau sememangnya berhasrat untuk membawa masuk perancang Aston Villa, James Milner tetapi menegaskan, beliau hanya akan membayar yuran perpindahan yang dianggap wajar.

Katanya, tawaran yang dikemukakan kepada Villa sebanyak £24 juta (RM118.7 juta) adalah muktamad

Isnin, 26 Julai 2010

UiTM juara Liga IPT

KAPTEN UiTM menerima trofi kejuaraan daripada Omar (kiri) selepas muncul juara edisi sulung Kejohanan Bola Sepak Liga IPT 2010 semalam.


SEPERTI diduga, pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara Kejohanan Bola Sepak Liga IPT 2010 edisi pertama apabila mengalahkan pasu- kan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 3-0 pada perlawanan akhir di Stadium UiTM, Shah Alam malam tadi.

Turun sebagai pasukan pilihan, UiTM yang membariskan tujuh tonggak dalam skuad Harimau Muda B dan juga Sukan Malaysia (Sukma) XIII, jelas bukan tandi- ngan UKM pada aksi penentuan bagi merebut Piala Menteri Pengajian Tinggi itu yang baru diperkenalkan tahun ini.

Bagi UiTM pula, kejayaan ini juga sudah semestinya mengukuhkan lagi reputasi mereka sebagai pasukan terhebat di kalangan IPT, sekali gus menaikkan lagi imej universiti tersebut sebagai pusat kecemerlangan bola sepak IPT.

Pada aksi semalam, gol pertama UiTM dijaringkan Amirridzwan Taj (12) sebelum Fazrul Razi menambah gol kedua pada minit ke-37.

Manakala gol ketiga diperoleh menerusi jaringan sendiri pemain UKM, Muhammed Suffian pada minit ke-82.

Jurulatih UiTM, Omar Ali merupakan insan paling gembira dengan kejayaan anak-anak buahya itu yang disifatkannya sebagai membalas kepercayaan beliau terhadap kemampuan dan kualiti sebenar yang ada dalam diri pemainnya sepanjang kejohanan ini.

"Kami memang menyasarkan untuk menjadi juara kejohanan ini sejak dari awal lagi. Selaku pusat kecemerlangan sukan, UiTM perlu memenangi kejohanan ini.

"Saya berpuas hati dengan prestasi para pemain yang dilihat semakin menunjukkan peningkatan.

"Mengenai aksi malam ini (semalam), para pemain saya bermain agak perlahan selepas mendahului 2-0 tetapi saya bersyukur kami berjaya menambah jaringan, sekali gus memenangi kejohanan ini," kata Omar.

Sementara itu, jurulatih UKM, Sulai- man Hussin tetap gembira dengan pencapaian pasukannya yang tetap berjaya mencapai misi melangkah ke final meski- pun gagal menyekat kehebatan UiTM.

"Saya akui pasukan UiTM memang kuat dan berhak untuk memenangi kejo- hanan ini.

"Manakala bagi UKM, kejayaan layak ke final dianggap suatu pencapaian yang terbaik dan sudah tentu saya berpuas hati dengan apa yang kami lakukan."

Dengan berakhirnya Kejohanan Bola Sepak Liga IPT 2010 edisi pertama ini, UiTM yang dinobatkan juara akan membawa pulang hadiah wang RM30,000 dan piala iringan.

Manakala bagi naib juara, UKM pula menerima hadiah wang tunai RM15,000.

Tempat ketiga kejohanan ini pula menjadi milik Politeknik Kota Bharu (PKB) yang telah menewaskan Universiti Teknologi Mara Sarawak (UiTM'S) 3-1 menerusi penalti setelah terikat 2-2 pada pe- nentuan ketiga dan keempat di gelanggang yang sama kelmarin.

PKB membawa pulang wang tunai RM10,000 manakala UiTM'S tidak pulang dengan tangan kosong apabila turut menerima hadiah wang tunai RM5,000.

Anugerah penjaring terbanyak dimenangi Mohd. Faizuddin Manjur (17 gol), pemain terbaik final milik Fahrul Razi (UiTM) dan UiTM dipilih pasukan paling bersih.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Omar Abd. Rahman

Ancelotti tampil pertahan Cole

LONDON - Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti tampil memberi penjelasan yang Ashley Cole akan terus kekal di Stamford Bridge.

Pemain pertahanan kiri England itu mula menjadi spekulasi hangat selepas Jose Mourinho dilaporkan berminat untuk membawanya ke Real Madrid.

Begitupun, Ancelotti menjelaskan bahawa beliau yakin Cole akan terus bersama The Blues dan tidak akan mengikut jejak Joe Cole yang menyertai Liverpool.

"Sekiranya seseorang pemain itu tidak gembira, jadi apa yang perlu dilakukan ialah mencari jalan penyelesaian," kata Ancelotti.

"Saya tidak kecewa langsung apabila ada beberapa kelab mahu mendapatkannya.

"Ashley adalah pemain Chelsea dan tiada siapa mahu menjualnya. Kami mahu kekalkan dia dalam skuad kami.

"Saya yakin sepenuhnya dia akan bersama Chelsea musim ini. Dia adalah pemain pertahanan kiri terbaik di dunia ketika ini.

"Saya tidak perlu bercakap dengannya. Dia juga gembira untuk berada di sini. Dia tidak pernah kata yang dia mahu pergi."

Ancelotti juga melihat Cole sebagai tonggak utama dalam misinya memenangi trofi Liga Juara-Juara selepas Chelsea disingkirkan juara, Inter Milan musim lepas.

"Kami mahu melakukannya dengan lebih baik berbanding tahun lepas. Kami tersingkir terlalu awal.

"Kami mahu terus dalam persaingan kempen itu sehingga ke babak akhir," kata pengurus Chelsea itu

City buat rombakan besar-besaran


LONDON - Kelab terkaya di dunia, Manchester Ci

ty dilaporkan merancang untuk melakukan penjualan pemain secara besar- besaran pemain.

Keputusan tersebut dibuat selepas pengurus kelab itu, Roberto Mancini dilihat semakin hampir melepasi nilai £100 juta (RM494 juta) dalam perbelanjaan musim panas ini.

Tiga pemain kebangsaan England, Shaun Wright-Phillips, Joleon Lescott dan Wayne Bridge antara pemain berprofil tinggi yang akan dijual oleh kelab Eastlands itu dalam usaha Mancini membentuk sebuah skuad termahal dalam Liga Perdana England.

City telah berbelanja £75 juta (RM370 juta) lagi malam kelmarin dengan mendapat- kan pertahanan kiri Serbia, Alexander Kola- rov, 24, dari Lazio.

Mancini yang telah berbelanja besar untuk membawa Jerome Boateng, David Silva dan Yaya Toure, masih belum selesai dalam misi- nya apabila penyerang skuad bawah 21 Itali, Mario Balotelli turut termasuk dalam sena- rai pemain yang akan dibelinya.

Ini bermakna, selain trio pemain England itu, City juga sudah pasti akan mendengar sebarang tawaran ke atas beberapa lagi pemain bintang, termasuk Craig Bellamy, Stephen Ireland, Roque Santa Cruz, Jo dan Felipe Caicedo.

"Situasinya tetap sama dengan apa yang berlaku kepada kelab lain apabila ada pemain baru yang masuk," kata sumber kelab itu kel- marin.

"Ada beberapa pemain yang tidak termasuk dalam senarai perancangan pengurus dan ada yang mahu berpindah.

"Jelas sekali, kelab ini tidak mahu menge- kalkan pemain yang tidak mahu berada di sini."

Kedudukan Bridge sebagai pilihan utama di posisi pertahanan kiri kini mula terjejas berikutan kehadiran Kolarov.

Manakala beberapa pemain tengah termasuk Vladimir Weiss, Kelvin Etuhu dan Michael Johnson yang belum membuat penampilan sulung dalam kempen liga turut akan dijual.

Guti' tinggalkan Real selepas 15 tahun

MADRID - Pemain tengah, Jose Maria 'Guti' Gutierrez (gambar) bakal meninggalkan Real Madrid selepas 15 tahun bersama kelab gergasi Sepanyol itu.

Guti yang masih mempunyai kontrak selama setahun bersama Real berkata, dia sedang menimbangkan tawaran dari- pada kelab Turki, Besiktas.

"Saya menerima tawaran yang baik daripada mereka (Besiktas), sangat menarik," kata bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu.

"Ia bukan satu keputusan yang mudah untuk meninggalkan Real."

Setakat ini, hanya penyerang, Raul Gonzalez berada di Real lebih lama daripada Guti yang membuat penampilan pertama bersama pasukan itu pada tahun 1995.

Sepanjang 15 tahun berada di kelab itu, Guti membantu Real memenangi gelaran Liga Juara-Juara, lima Liga Sepanyol dan dua Piala Antara Benua.

Guti telah menandatangani kontrak bersama Real sejak berusia lapan tahun dan membesar bersama pasukan Akademi Real sebelum membuat penampilan pertama pada tahun 1995.

Guti yang bersara pada peringkat antarabangsa pada tahun 2005 telah menjaringkan 86 daripada 542 gol untuk Real yang dibimbing jurulatih baru, Jose Mourinho

Malaysia kejutkan Korea Selatan



SKUAD bola sepak kebangsaan membuktikan mereka kini wajar untuk terus digeruni apabila berjaya mengejutkan skuad Olimpik Korea Selatan 1-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam.

Gol kemenangan Malaysia dijaringkan oleh pemain tengah Selangor, Safiq Rahim pada awal separuh masa kedua.

Perlawanan yang diadili pengadil ke Piala Dunia 2010, Subkhiddin Salleh itu bermula dalam keadaan hujan renyai sambil disaksikan 5,000 penonton kedua- dua negara.

Malaysia yang dibarisi pemain B-23 kecuali tiga pemain lebih umur, Sharbinee Allawee Ramli, S. Kunalan dan Norshahrul Idlan Talaha berjaya mengimbangi kekuatan lawan yang dibarisi pemain B-21 pada separuh masa pertama.

Seawal minit keempat, Malaysia sudah menguji gawang Korea Selatan tetapi percubaan Nor- shahrul hasil hantaran Zaquan Adha Radzak dari sebelah kanan sedikit sipi.

Gawang Malaysia cemas seketika pada minit ke-10 apabila tandukan penyerang Korea Sela- tan, Park Hee-seong berpunca daripada sepakan sudut berjaya menggegarkan palang gol ketika Sharbinee sudah tertewas.

Selang dua minit kemudian, Malaysia sekali lagi mengancam, kali ini menerusi pemain sayap kanan, Ahmad Fakri Saarani yang memperdayakan seorang pertahanan Korea Selatan sebe- lum rembatannya tepat ke daka- pan Lee Bum-soo.

Selepas aksi rancak pada awal permainan itu, kedua-dua pasukan sekadar bertukar serangan tanpa sebarang gerakan bahaya untuk menghasilkan gol.

Namun pada minit ke-40, Korea Selatan hampir memecah kebuntuan tetapi sepakan percuma pemain pertahanan, Park Hyung -Jin sekadar menggegar palang.

Sebaik babak kedua bermula, jurulatih kebangsaan, K. Rajago- bal tidak melakukan sebarang pertukaran dan Malaysia hanya memerlukan lima minit untuk mendahului lawan.

SAFIQ (dua dari kanan) menjaringkan gol kemenangan Malaysia pada aksi persahabatan menentang Korea Selatan semalam.


Gol pertama Malaysia diperoleh pada minit ke-50 menerusi rembatan Safiq selepas sepakan percuma yang diambilnya sebelum itu gagal dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh pertahanan Korea Selatan.

Korea Selatan yang seakan tersentak dengan jaringan itu mula bangkit mengatur serangan tetapi masih gagal menembusi kekebalan benteng pertaha- nan yang diterajui ketua pasukan, Aidil Zafuan Radzak, Nasriq Baharom, Sabre Mat Abu dan Asraruddin Putra Omar.

Rajagobal melakukan enam pertukaran dengan memasukkan Baddrol Bakhtiar, Khyril Muhymeen Zambri, Muslim Ahmad, K. Gurusamy, Ahmad Shakir Md. Ali dan Azmi Muslim menggantikan Norshahrul, Fakri, Nasriq, Amar Rohidan, S. Kunanlan dan Asraruddin

Ahad, 25 Julai 2010

Malaysia serius hadapi Korea


RAJAGOBAL (kiri) bersalaman dengan Myung-bo pada sidang media di Bukit Jalil semalam.


SKUAD bola sepak kebangsaan berpeluang menguji prestasi mereka dengan menentang skuad Olimpik Korea Selatan pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pukul 5.15 petang ini.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, objektif utama pertemuan itu adalah untuk mengenal pasti pemain yang layak beraksi pada Sukan Asia di Guangzhou, China November depan.

"Kami akan memerhati kemampuan para pemain, kerjasama dalam pasukan, dan bagaimana mereka dapat menyaingi kepantasan pemain Korea," katanya pada sidang media semalam.

Beliau berkata, walaupun anak-anak buahnya baru berkumpul untuk menjalani latihan, ia bukan alasan untuk mereka bermain sambil lewa.

"Pemain Korea Selatan kuat, mereka datang dari pelbagai kelab-kelab profesional tetapi kami berjanji untuk melakukan apa yang termampu," katanya.

Sementara itu, jurulatih Korea Selatan, Hong Myung-bo pula lebih cenderung menyuarakan rasa kecewa dengan perkembangan bola sepak Malaysia.

"Semasa saya masih muda, Malaysia cukup kuat. Kini ia amat menghampakan, pembangunan bola sepak Malaysia agak perlahan berbanding Korea," katanya.

"JANGAN pertikaikan calon yang bertanding."




Itu amaran daripada calon Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa (gambar) menjelang sesi pemilihan pada Kongres FAM Ke-47 Sabtu ini.

Annuar mengeluarkan amaran itu ketika mengulas dakwaan terdapat pihak-pihak yang meragui keikhlasan calon-calon yang akan bertanding bagi mengisi beberapa jawatan penting dalam FAM bagi penggal 2010/2014.

Menurutnya, pencalonan yang ramai bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Eksekutif (Exco) membuktikan ramai pihak bersedia dan prihatin untuk membantu FAM untuk mengembalikan era kegemilangan sukan No. 1 negara itu.

"Jangan lupa, FAM adalah NGO (Badan Bukan Kerajaan) yang bekerja tanpa mendapat bayaran yang mana penjawat jawatan perlu berkorban masa minat dan juga tenaga. Maka situasi ini (ramai pencalonan) harus dilihat dari sudut positif.

"Saya kesal ada juga kenyataan yang seolah-olah mempertikaikan calon yang bertanding. Jangan pertikaikan keikhlasan setiap calon kerana mereka ada cara sendiri.

"Saya juga mahu berterus terang, saya masuk (menyertai pemilihan) kerana saya rasa ada benda yang saya ingin buat penambahbaikan. Tumpuan utama untuk membantu Presiden (Sultan Ahmad Shah) dan Majlis FAM untuk menaikkan taraf bola sepak kita," katanya ketika ditemui semalam.

Annuar berkata, beliau juga tidak menafikan jasa yang dicurahkan oleh pihak-pihak tertentu sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, ia bukan tentang jasa semata-mata tetapi lebih kepada soal imej serta prestasi skuad bola sepak kebangsaan yang perlu diperbaiki ketika ini.

"Ketika saya menjadi Menteri Belia dan Sukan, ranking kita (skuad bola sepak) di bawah 100 dan pernah sampai ke kedudukan 76 dunia tetapi sekarang kita di tangga ke-150 dan mungkin bawah lagi. Kita tidak mahu menyalahkan sesiapa tetapi kita kata itu perlu diperbaiki.

"Untuk memperbaikinya kita tidak kata mudah tetapi ada idea-idea tertentu terutama sekali saya melihat bola kita lemah kerana persatuan akar umbi lemah, persatuan bola sepak negeri lemah dan sekarang ini saya fikir persatuan negeri perlu diperkasakan," ujarnya.

Annuar berkata, proses pemilihan itu adalah satu peluang untuk memperkasakan lagi FAM selain menjadikan setiap persatuan bola sepak negeri lebih efisien.

"Persatuan bola sepak negeri perlu diberi bantuan, kalau tidak ada bantuan tidak ada pembangunan maka mereka tidak dapat tumpu kepada pembangunan. Jadi minat masyarakat pun kurang menyebabkan penaja pun tidak berminat.

"Bila tidak ada penaja tidak ada duit dan kita akan terikat dalam satu putaran ketiadaan dana, tiada minat, tiada penonton yang akhirnya menyebabkan penurunan prestasi," jelasnya.

Riera sah milik Olympiakos



ATHENS - Pemain sayap Sepanyol, Albert Riera kini sah menjadi milik kelab Greece, Olympiakos Pireaus selepas lulus pemeriksaan kesihatan kelmarin.

Dilaporkan, Reira, 28, dibawa masuk dari Liverpool ke Olympiakos dengan yuran perpindahan bernilai £16.7 juta (RM82.5 juta).

Liverpool juga dijangka mendapat 'durian runtuh' apabila Olympiakos menjanjikan tambahan sebanyak £1.6 juta (RM8.25 juta) jika mereka berjaya menjadi juara Liga Greece.

"Sepanjang dua tahun bersama Liverpool, saya tidak meraih sebarang gelaran juara. Sebab itu saya membuat keputusan untuk berhijrah ke Olympiakos," jelas Reira

Semangat baru Toure

TOURE mahu meletakkan City sebaris kelab-kelab gergasi Eropah.


LONDON - Bintang baru Manchester City, Yaya Toure berazam menjadikan kelab England itu setaraf gergasi Sepanyol, Barcelona.

Toure mendedahkan, banyak pihak menganggapnya gila apabila menandatangani kontrak bersama City selepas menyaksikan dia meraih pelbagai kejuaraan sepanjang tiga tahun bersama Barcelona di Nou Camp.

Namun pemain antarabangsa Ivory Coast itu percaya kini sudah tiba masa buat dirinya untuk melakukan perubahan dan mencari sesuatu yang baru bersama kelab lain.

Disebabkan itu, Toure optimis City mempunyai potensi besar untuk menjadi salah sebuah kelab gergasi dunia dalam tempoh beberapa tahun daripada sekarang.

"Saya bersetuju untuk bersama City disebabkan mereka memiliki seorang pengurus yang hebat seperti Roberto Mancini dan beberapa pemain-pemain berkualiti termasuklah Carlos Tevez serta Emmanuel Adebayor.

"Harapan saya hanya satu... saya mahu melihat City menjadi sebuah kelab seperti Barcelona. Sebab itu, kami perlu menggandakan usaha dan ia pastinya memakan masa beberapa tahun.

"Namun saya tetap yakin kami mampu mencapai apa yang diimpikan itu," jelas Toure.

Ketika Barcelona telah meraih pelbagai gelaran juara sejak beberapa musim lalu, lain pula ceritanya dengan City yang masih belum merekodkan sebarang kejuaraan sejak kali terakhir menjuarai Liga Perdana England pada 1976.

Begitupun, Toure menyertai City dengan yuran perpindahan bernilai £24 juta (RM118.3 juta) memberitahu, prospek untuk namanya tertulis dalam sejarah City adalah sangat cerah.

"Saya telah mengecapi pelbagai gelaran ketika bersama Barcelona dan kini masa yang terbaik untuk saya menghadapi cabaran baru," kata Toure yang menjadi pemain termahal dibayar gaji dalam saingan Liga Perdana England iaitu sebanyak £180,000 ribu (RM887,523 ribu) seminggu.

Sementara itu, City semakin hampir untuk membawa masuk penyerang Inter Milan, Mario Balotelli ke Eastlands.

Inter dan City kini sedang melakukan rundingan dan Bolotelli dijangka dilepaskan dengan yuran perpindahan dianggarkan bernilai £30 juta (RM147.9 juta).

"Memang benar kami sedang dalam perbincangan berhubung perpindahan Balotelli ke City," jelas presiden Inter, Massimo Moratt

Henry pamer taring


HARRISON: Thierry Henry pernah menjaringkan beberapa gol penting ketika kemuncak kariernya tetapi tidak diberi harapan bersama pasukan baru, New York Red Bulls namun dia menafikannya apabila menjaringkan gol pertama untuk pasukan itu ketika tewas 1-2 kepada Tottenham Hotspur semalam.

Ia seperti aksi zaman kegemilangannya satu ketika dulu ketika menyarung jersi Arsenal apabila dia membuat pertahanan Spurs tergamam seketika dengan jaringan gol luar biasa daripada hantaran yang diterimanya sebelum terus menendang bola menerjah ke gawang lawan.


Mengikut jejak langkah Pele dan David Beckham, Henry yang berhijrah ke liga bola sepak Amerika Syarikat dari Barcelona berdepan tekanan dan kritikan seperti dihadapi rakan-rakannya itu.


Para penyokongnya menjangkakan dia akan mencetuskan minat lebih mendalam di kalangan rakyat Amerika terhadap sukan bola sepak sementara pengkritik menuduh dia mahu bersara awal dengan meraih dana dari Liga Bola Sepak Utama (MLS), cakap-cakap yang sudah didengar oleh pemain Perancis itu sejak tiba di kelab barunya itu. “Gol-gol seterusnya akan disaksikan selepas ini,” katanya ketika sidang media semalam.


“Sokongan daripada peminat sangat luar biasa apabila setiap kali saya menyentuh bola mereka bersorak gembira. Ia sangat penting untuk saya kerana seolah-olah berada di negara sendiri,” katanya.


Selepas seminggu ditemuramah beberapa stesen televisyen di New York, Henry mula mendapat perhatian ramai ketika aksi pertamanya bersama pasukan.


Beberapa sentuhan awalnya menunjukkan walaupun dia kurang pantas, Henry masih tidak kehilangan beberapa skil menarik dan tidak hairanlah apabila dia meledakkan gol pada minit ke-25 sekaligus menyaksikan pasukannya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama

Madrid henti belanja mewah


MADRID: Jurulatih, Jose Mourinho mungkin menjadi ‘bintang’ terbesar diikat Real Madrid selepas kelab gergasi Sepanyol itu dilihat mahu menyerlah dengan pemain sedia ada saja.

Pegawai Madrid, Emilio Butragueno berkata kelab itu memperkasakan pasukan dan tidak memerlukan pemain baru bertaraf bintang.


Setakat ini, Madrid membelanjakan 40 juta euro (RM165 juta) untuk mendapatkan Angel Di Maria, Pedro Leon dan Sergio Canales berbanding lebih 250 juta euro (RM1.03 bilion) untuk mendapatkan Cristiano Ronaldo, Kaka, Karim Benzema dan Xabi Alonso, musim panas lalu. Bagaimanapun, mereka gagal memenangi gelaran untuk dua musim berturut-turut.


Butragueno memberitahu stesen Radio Marca bahawa tuntutan gaji yang terlalu tinggi mungkin menjejaskan perpindahan Maicon dari Inter Milan

Mascherano sedia ke Inter Milan


LIVERPOOL: Javier Mascherano dikatakan bersedia berpindah dari Liverpool ke Inter Milan.

Dia dilapor berada di Milan semalam untuk berbincang secara tidak rasmi mengenai perpindahannya dan dijangka memikirkan mengenai tawaran Inter minggu depan.


Pengurus Inter, Rafael Benitez bersetuju meninggalkan Liverpool dengan syarat beliau tidak boleh mengambil pemain The Reds dalam tempoh tiga bulan.


Perkara yang mendorong kepada syarat itu ialah: Mascherano.


Begitupun, Liverpool sedar Inter adalah satu-satunya kelab yang berminat dengan Mascherano ketika ini.


Pemain itu dilaporkan bakal meninggalkan Liverpool dan kesempatan terbaik kelab berkenaan untuk membuat penjualan dalam masa terdekat ini kerana mereka juga tidak mahu isu itu mengganggu pelan musim baru yang dirancang pengurus baru, Roy Hodgson.


Inter tidak sanggup membuat tawaran diminta Liverpool iaitu sebanyak £30 juta (RM124.8 juta) dan hanya menawarkan £20 juta (RM83.2 juta) dan ditambah dengan seorang pemain, Sulley Muntari. Mascherano yang hingga kini belum turun menjalani latihan, sepatutnya tampil di Anfield Isnin lalu dan dikatakan memaklumkan kepada semua rakannya mengenai hasrat untuk berpindah. Liverpool yang dikekang masalah kewangan, boleh menggunakan wang hasil penjualan Mascherano untuk membeli pemain pertahanan serta penyerang

Penjaga gol cetus resah


BENTENG terakhir skuad bola sepak kebangsaan sedikit goyah menjelang pertembungan dengan pasukan bawah 23 tahun Korea Selatan esok berikutan kecederaan yang menimpa penjaga gol Mohd Farizal Marlias dan Khairul Fahmi Che Mat.

Farizal pemain Perlis, mengalami kecederaan di bahagian mata selepas bertembung dengan salah seorang pemain ketika sesi latihan kelmarin manakala Khairul Fahmi pula tidak begitu cergas akibat sakit belakang.


Situasi itu pastinya mengundang rasa kurang senang buat K Rajagobal yang tidak mempunyai pilihan selain memanggil penjaga gol Harimau Muda A, K Sasikumar sebagai langkah awal untuk berdepan sebarang kemungkinan jika dua pemain itu tidak dapat pulih dalam masa terdekat.


Ketika ini, beliau hanya mempunyai seorang pemain yang benar-benar cergas di posisi itu, Mohd Sharbinee Allawee, tonggak utama skuad bawah 23 tahun yang menjuarai pingat emas Sukan Sea di Laos tahun lalu.


“Kecederaan tidak dijangka berlaku kepada pemain Farizal Marlias yang mendapat kecederaan teruk semasa latihan. Dia mengalami luka di mata selepas bertembung dengan pemain manakala (Khairul) Fahmi pula tidak begitu sihat.


“Jadi saya membuat keputusan untuk membawa masuk Sasikumar dari pasukan Harimau Muda. Dalam masa singkat ini susah untuk saya memanggil penjaga gol pasukan lain selain Sasikumar yang hanya berlatih di Bukit Jalil,” kata Rajagobal.


Rajagobal memanggil 25 pemain bawah 23 tahun untuk menjalani latihan pusat di Wisma FAM Kelana Jaya sejak Ahad lalu sebagai persiapan menghadapi skuad Korea dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara itu.


Skuad negara bagaimanapun mendapat suntikan semangat selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas kelab dari Liga Singapura, Beijing Guoan Talent FC di Singapura Selasa lalu.


“Selepas hanya berehat sehari, skuad ini menentang kelab Beijing (Guoan Talent FC), memang ada tanda positif pada perlawanan itu tetapi bermain menentang Korea nanti pemain negara perlu berada di tahap lebih tinggi kerana kita semua sedia maklum bahawa Korea adalah pasukan yang penuh dengan tradisi, kekuatan yang tidak perlu diperkatakan lagi,” jelasnya.


Sekalipun sekadar perlawanan persahabatan, pertemuan dengan skuad Olimpik Korea bimbingan Hong Myung Bo adalah kesempatan terbaik untuk Rajagobal merencana pasukannya yang mempunyai misi besar di Sukan Asia di Guangzhou dan Piala AFF hujung tahun ini.


Manakala pasukan Taegeuk Warriors itu pula pastinya tidak mahu status mereka sebagai gergasi Asia diperlekehkan Malaysia apabila membuat penampilan pertama sejak skuad Olimpik mereka tewas 2-1 kepada pasukan senior negara dalam Pestabola Merdeka.